fbpx
Now Reading
Shamsul Iskandar Letak Jawatan Setiausaha Politik Kanan PM

Shamsul Iskandar Letak Jawatan Setiausaha Politik Kanan PM

Sebelum ini, ahli perniagaan Albert Tei membongkar maklumat mengejutkan dengan mengaitkan Shamsul dalam skandal perlombongan di Sabah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (25 November), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosial miliknya, Shamsul berkata surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan kepada Anwar.

“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani, justeru saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Albert Tei dakwa Shamsul terlibat skandal perlombongan

Sebelum ini, ahli perniagaan Albert Tei membongkar maklumat mengejutkan ketika beberapa hari sahaja lagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan pada 29 November ini.

Memetik MalaysiaKini, Albert yang sebelum ini menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineral mengaitkan Shamsul dalam skandal perlombongan itu.

Albert dakwa beri Shamsul lebih RM600,000

Usahawan kontroversi itu mendakwa beliau memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.

Menurutnya, beliau telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat termasuk tangkap layar perbuatan WhatsApp dan resit untuk menguatkan dakwaannya.

Albert dakwa membayar pengubahsuaian dan pelbagai perabot

Dalam laporan sama, Albert mendakwa membayar untuk pengubahsuaian, perkakas dan perabot untuk dua hartanah iaitu satu di Bangsar, Kuala Lumpur dan kediaman pegawai kerajaan di Putrajaya.

Senarai itu didakwa meliputi perabot kulit, meja makan, sistem hiburan rumah (home theatre), mesin basuh, pengering pakaian dan kerusi urut.

Albert turut berkongsi gambar ‘sebelum dan selepas’ pelbagai bilik di rumah didiami Shamsul di Putrajaya yang menunjukkan perabot, katil, lampu dan langsir yang dinaik taraf.

Beliau kemudiannya mendakwa berbelanja ribuan ringgit lagi bagi barangan seperti cerut (cigar) premium dan servis menjahit beberapa sut untuk pembantu politik itu serta mendedahkan salinan resit tukang jahit dengan ukuran badan Shamsul.

Beliau juga mendedahkan tangkap layar WhatsApp dari Disember 2023 yang menunjukkan Shamsul didakwa meminta wang kepadanya semasa berada di luar negara, lapor MalaysiaKini.

Albert mendakwa dia juga mempunyai bukti wang tunai bertukar tangan seperti berikut:

  • RM20,000 (8 Nov 2023 di Kota Kinabalu)
  • RM100,000 di Kuala Lumpur (24 Nov 2023)
  • RM100,000 di Bukit Puching (15 Dis 2023)
  • RM50,000 di Kuala Lumpur (22 Jan 2024)
  • RM50,000 di Kuala Lumpur (26 April 2024)
  • USD$6,000 di Kuala Lumpur (3 Okt 2024)

Sejak November lepas, Albert mendedahkan rentetan video, dokumen dan tangkap layar WhatsApp yang mengaitkan lebih daripada sedozen ahli politik GRS dalam skandal itu, menuduh mereka menerima rasuah sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.

Albert dan dua anggota Dewan Undangan Negeri kemudian didakwa di mahkamah.

Pengerusi GRS dan ketua menteri sementara Datuk Seri Hajiji Noor menuduh Albert menjadi sebahagian daripada kartel yang bertujuan memonopoli perlombongan di negeri itu.

Rafizi gesa PM ambil tindakan berhubung sepucuk surat sokongan daripada Shamsul

Terdahulu, memetik Bernama, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa agar perdana menteri mengambil tindakan termasuk kemungkinan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sepucuk surat sokongan yang dikeluarkan oleh seorang daripada setiausaha politiknya.

Anwar menjelaskan bahawa surat sokongan berkenaan adalah ‘kabur’ dan tidak membawa maksud arahan selain menegaskan bahawa proses kelulusan projek tidak dipengaruhi oleh itu kerana pihak berkuasa berkaitan maklum sepenuhnya mengenai prosedur standard.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.