Banjir Hatyai: Penyelamat Bingung, Rakyat Malaysia Enggan Diselamatkan Kerana Belum Waktu ‘Check-out’
Menurut seorang lelaki dikenali sebagai Alez Ander, pasukan penyelamat terpaksa berundur dan pergi menyelamatkan mangsa lain apabila individu itu terus berkeras enggan menaiki bot.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hujan lebat berterusan di selatan Thailand pada Sabtu lalu (22 November) menyebabkan beberapa kawasan termasuk Hatyai dilanda banjir.
Bencana berkenaan bukan hanya melumpuhkan kawasan pelancong yang terkenal itu, malah turut menyebabkan kira-kira 1,000 rakyat Malaysia di sana terkandas.
Susulan itu, kerajaan Malaysia telah meningkatkan usaha bantuan kecemasan bagi membantu rakyat yang terperangkap di Hatyai dan kawasan berhampiran.
Ada pelancong Malaysia enggan dipindahkan kerana ‘belum waktu check-out’ hotel
Bagaimanapun, di sebalik bencana itu, terdapat satu insiden pelik berlaku apabila ada seorang pelancong Malaysia yang terperangkap di sebuah hotel di Hatyai enggan dipindahkan kerana ‘belum waktu check-out’ lagi.
Kisah terbabit dikongsikan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Alez Ander di Facebook yang menerima banyak mesej SOS daripada rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand.
Memetik Weird Kaya, Alez menjelaskan bahawa dia bukanlah sebahagian daripada mana-mana kumpulan operasi menyelamat, sebaliknya hanya membantu menyampaikan lokasi mangsa kepada pasukan penyelamat apabila mereka menghubunginya untuk mendapatkan bantuan.
Rakyat Malaysia terperangkap di hotel minta bantuan daripada Alez
Menurut Alez, beberapa rakyat Malaysia meminta bantuan selepas terperangkap dalam keadaan banjir yang semakin memburuk.
Bimbang akan keselamatan mereka, Alez menghubungi kenalannya di sana dan berjaya mengatur pasukan penyelamat untuk menghantar sebuah bot ke salah sebuah hotel yang terjejas.
“Saya check-out esok, sekarang tak boleh keluar” – pelancong Malaysia
Selepas mengharungi arus deras, bot yang membawa pasukan penyelamat akhirnya tiba di pintu masuk hotel berkenaan.
Pun begitu, ketika mereka ingin membawa ke semua mangsa ke tempat selamat, salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas telah berkata ‘saya check-out esok, sekarang tak boleh keluar’ menyebabkan para penyelamat tergamam.
Alez berkata ini adalah kali pertama pasukan penyelamat berdepan situasi di mana seseorang enggan diselamatkan hanya kerana waktu pendaftaran keluar hotel belum tiba.
Pasukan penyelamat terpaksa berundur, selamatkan mangsa lain pula
Mereka hanya terpaku melihat mangsa banjir itu tetap berkeras mahu berada di dalam bilik walaupun paras air semakin meningkat.
Pasukan penyelamat akhirnya terpaksa berundur dan pergi menyelamatkan mangsa lain yang benar-benar memerlukan bantuan apabila individu itu terus berkeras enggan menaiki bot.
“Walaupun banjir serius, mereka tetap tak mahu tinggalkan hotel untuk tempat yang lebih selamat,” katanya sambil meluahkan rasa hairan terhadap keutamaan individu tersebut dalam situasi bahaya.
Alez bagaimanapun memuji pasukan penyelamat yang bekerja tanpa henti selama 40 jam demi membantu mangsa-mangsa banjir.
“Saya berborak dengan seorang penyelamat sehingga jam 5 pagi. Dia memberitahu yang dia tidak tidur lebih daripada 40 jam.
“Saya katakan kepadanya, ‘kamu dah buat yang terbaik, kamu adalah hero’.”
Gelombang kedua banjir Hatyai lebih besar
Sementara itu, memetik laporan Kosmo, paras banjir di Hatyai dilaporkan naik semula sejak semalam (24 November) selepas surut kelmarin dipercayai susulan gelombang kedua banjir.
Pengurus Besar Cuti Cuti Langkawi Sdn Bhd, Dr. Baharin Baharom berkata, hujan masih tidak berhenti sejak kelmarin dan paras banjir didapati terus meningkat.
“Semalam masih nampak kereta tetapi hari ini sudah ada yang tenggelam dan saya difahamkan gelombang kedua lebih besar. Semalam surut sekejap, hari ini air naik semula,” katanya.
Seorang wanita warga Malaysia turut berkongsi di Facebook situasi banjir di sana pada ketika ini.



