fbpx

FIFA Arah FAM Dedah Dalang Sebenar Isu Pemalsuan Dokumen 7 Pemain Warisan

Sementara itu, FAM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima alasan penuh keputusan FIFA dan akan memulakan proses membawa kes terbabit ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Berikutan isu hangat mengenai pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya, Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada hari ini (18 November) telah mengarahkan dua siasatan dalaman dilakukan secara terperinci oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia berkaitan isu pentadbiran sekretariat FAM serta status tujuh pemain yang digantung FIFA sebelum ini.

Arahan dan cadangan itu dinyatakan FIFA dalam ‘motivated decision’ atau alasan bertulis penuh yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan badan induk dunia itu pada pagi tadi.

FIFA mahu FAM dedah dalang yang memalsukan dokumen tujuh pemain warisan

Menerusi alasan bertulis penuh itu, FIFA memaklumkan peranan sekretariat FAM perlu disiasat segera selain mahu dalang sebenar yang memalsukan dokumen tujuh pemain terbabit didedahkan oleh FAM.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk mengambil langkah segera bagi melancarkan satu siasatan formal terhadap operasi dalaman FAM.

“Siasatan ini bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen; menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM; serta menentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai-pegawai FAM.

“Sebagai fokus awal, siasatan tersebut mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen FIFA yang dinamakan dalam prosiding ini: Encik Nicolás Puppo dan Encik Frederico Moraes. Penglibatan mereka menimbulkan keraguan serius yang wajar disiasat secara menyeluruh.

“Selari dengan itu, Jawatankuasa turut mengarahkan Sekretariat untuk memulakan satu siasatan berasingan berhubung penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan yang dirujuk dalam prosiding ini.

“Siasatan ini hendaklah menentukan keadaan yang membolehkan beberapa pemain terlibat serta sama ada hukuman tambahan perlu dikenakan,” kata FIFA dipetik Harian Metro.

FIFA dakwa pemain tandatangan dokumen tanpa teliti kandungan

Dalam perkara 54 di dokumen setebal 64 muka surat itu, FIFA mendakwa lagi para pemain menegaskan bahawa proses tersebut diuruskan oleh FAM dan kakitangannya serta ejen-ejen terlibat.

Menurut FIFA, para pemain mengakui telah menandatangani dokumen permohonan dan hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia tetapi menafikan membaca mahupun menyedari isi kandungan dokumen yang telah mereka tandatangani.

Malah, para pemain semasa (sesi) pendengar, mengesahkan bahawa sebahagian dokumen adalah dalam Bahasa Melayu, yang mana mereka kurang fasih selain tiada terjemahan disediakan mahupun dipinta oleh pemain.

Dalam perkara 244 pula, FAM mendedahkan pemain membuat pengesahan yang mereka tidak menanyakan sebarang soalan mengenai proses naturalisasi, bahkan tidak mendapatkan penjelasan walaupun selepas prosiding tatatertib dibuka dan tindakan dikenakan.

Para pemain menyatakan rasa terkejut, terhadap keputusan rayuan tetapi masih gagal bertanya kepada FAM atau ejen tentang apa sebenarnya yang berlaku.

“Kekurangan rasa ingin tahu dan tanggungjawab ini (pemain) tidak boleh diterima dan para pemain mungkin mengetahui tentang ‘obscure scheme’ (rancangan rumit) yang akan diselesaikan untuk mereka memperolehi kerakyataan Malaysia,” katanya.

FAM mulakan proses bawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan

Sementara itu, FAM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima alasan penuh keputusan FIFA berhubung penolakan rayuan berkaitan status kelayakan tujuh pemain terbabit.

Menurut Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, sehubungan itu pihaknya akan memulakan proses membawa kes terbabit ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.

“FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya,” kata Mohd Yusoff.

FAM sahkan FIFA mohon alasan bertulis berhubung keputusan Jawatankuasa Rayuan

Sebelum ini, FAM mengesahkan FIFA memohon alasan bertulis penuh mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuannya yang mengekalkan hukuman ke atas tujuh pemain berkenaan.

Susulan keputusan itu FAM telah diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA.

Manakala tujuh pemain terbabit pula dikenakan denda masing-masing seebanyak CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada aktiviti bola sepak.

Tujuh pemain warisan itu adalah:

  • Gabriel Felipe Arrocha
  • Facundo Tomas Garces
  • Rodrigo Julian Holgado
  • Imanol Javier Machuca
  • Joao Vitor Brandao Figueiredo
  • Jon Irazabal Iraurgui
  • Hector Alejandro Hevel Serrano

Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM dan mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib badan induk dunia itu yang mendapati FAM dan tujuh pemain warisan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Baca Artikel Berkaitan: FIFA Tolak Rayuan FAM, Kekal Hukuman Denda & ‘Gantung’ 7 Pemain

Baca Artikel Berkaitan: Didakwa Kemuka Dokumen Palsu, FIFA Denda FAM & 7 Pemain Warisan Digantung 12 Bulan

Baca Artikel Berkaitan: Media Argentina Dakwa Dokumen Kelahiran Datuk Garces Tiada Darah Malaysia

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.