Bukan CEO? Pendedahan FIFA Rob Friend Adalah Konsultan Cetus Tanda Tanya Ramai
Menurut FIFA, Friend mengakui dirinya adalah seorang konsultan skuad kebangsaan yang menetap di Kanada dan hanya datang ke Malaysia untuk menghadiri perlawanan babitkan Harimau Malaya sahaja.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada awal pagi tadi (18 November) telah mendedahkan secara terperinci alasan menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menerusi alasan bertulis setebal 64 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, badan induk dunia itu mengarahkan FAM untuk mendedahkan dalang sebenar di sebalik isu pemalsuan dokumen tujuh pemain berkenaan.
FIFA turut mendakwa bahawa para pemain mengakui telah menandatangani dokumen permohonan dan hadir tetapi menafikan membaca mahupun menyedari isi kandungan dokumen yang telah mereka tandatangani.
Rob Friend hanya konsultan, bukan CEO Harimau Malaya?
Apa yang lebih mengejutkan, dalam ‘motivated decision’ sama, FIFA turut mendedahkan status sebenar Rob Friend dalam projek skuad kebangsaan yang bergerak berasingan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hujung tahun lalu.
Menurut FIFA, Friend yang dipanggil memberi keterangan mengakui dirinya adalah seorang konsultan skuad kebangsaan.
Ujar Friend, dia menetap di Kanada dan hanya datang ke Malaysia untuk menghadiri perlawanan membabitkan skuad negara sahaja.

Friend akui beliau adalah perunding FAM yang berpusat di Kanada
“Friend menjelaskan dia berperanan sebagai perunding kepada FAM, berpusat di Kanada dan melakukan perjalanan ke Malaysia pada hari perlawanan, serta menyatakan tugasnya adalah membantu projek tersebut, terutamanya dalam aspek penambah baikan kejurulatihan dan staf teknikal.
“Dia menyatakan semua proses berkaitan naturalisasi pemain diuruskan sepenuhnya oleh FAM di Malaysia dan dirinya hanya ditugaskan untuk membantu prosiding tersebut sejak ia dibuka pada 22 Ogos 2025.
“Dia juga menyatakan tidak mengetahui sebarang salah laku dan tidak terlibat dalam mana-mana proses sebelum tarikh tersebut,” kata FIFA dipetik Harian Metro.
Pendedahan ini membuatkan ramai pihak tertanya-tanya adakah Rob Friend hanya berfungsi sebagai konsultan dan bukannya CEO Harimau Malaya seperti yang diumumkan sebelum ini.
FAM umum Rob Friend sebagai CEO Harimau Malaya tahun lalu
Sebelum ini, FAM mengumumkan Friend sebagai CEO Harimau Malaya bagi menguruskan pasukan kebangsaan yang diasingkan daripada pengurusan FAM.
Friend diumumkan sebagai CEO Harimau Malaya sejak bulan Disember tahun lalu, jika beliau hanyalah perunding mengapa statusnya itu tidak dimaklumkan kepada orang ramai.
Malah dalam beberapa temubual bersama media sejak awal tahun ini, Friend sendiri mengaku di depan jutaan penyokong status dirinya yang menguruskan pasukan negara dengan dibantu bekas CEO Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard sebagai Timbalan CEO skuad Harimau Malaya.
FAM akan bawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS)
Terdahulu, FAM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima alasan penuh keputusan FIFA berhubung penolakan rayuan berkaitan status kelayakan tujuh pemain terbabit.
Menurut Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, sehubungan itu pihaknya akan memulakan proses membawa kes terbabit ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.
“FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya,” kata Mohd Yusoff.
Baca Artikel Berkaitan: FIFA Arah FAM Dedah Dalang Sebenar Isu Pemalsuan Dokumen 7 Pemain Warisan



