Bekas PM & Menteri Dalam Negeri Bangladesh Dijatuhi Hukuman Mati
Menurut hakim, Sheikh Hasina didapati bersalah atas tiga pertuduhan termasuk menghasut, mengeluarkan perintah untuk membunuh dan tidak bertindak untuk mencegah kekejaman.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (17 November), sebuah mahkamah di Dhaka menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina atas jenayah kemanusiaan.
Hasina yang berusia 78 tahun itu mengingkari perintah mahkamah untuk kembali dari India bagi menghadiri perbicaraan sama ada beliau mengarahkan tindakan keras yang membawa kematian pelajar-pelajar yang cuba menggulingkannya pada tahun lalu.
Keputusan yang sangat dinanti-nantikan itu, disiarkan secara langsung di kaca televisyen menjelang pilihan raya pertama sejak beliau digulingkan pada Ogos 2024 lalu.
Orang ramai di mahkamah bersorak Hasina dijatuhi hukuman mati
Menerusi satu video yang dikongsikan oleh agensi berita BBC News di Instagram, turut kelihatan orang ramai yang hadir ke mahkamah bersorak dan bertepuk tangan selepas keputusan berkenaan dijatuhkan oleh Hakim Golam Mortuza Mozumder.
“Semua… elemen yang membentuk jenayah terhadap kemanusiaan telah dipenuhi,” kata Mortuza dipetik Kosmo.
Menurut Mortuza, Hasina didapati bersalah atas tiga pertuduhan termasuk menghasut, mengeluarkan perintah untuk membunuh dan tidak bertindak untuk mencegah kekejaman.
“Mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hanya satu hukuman ke atasnya iaitu hukuman mati,” tambah hakim sama.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman turut dijatuhi hukuman mati
Selain Hasina, bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Kham Kamal turut dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan jenayah kemanusiaan.
Bekas ketua polis, Chowdhury Abdullah Al-Mamun yang berada di mahkamah dan mengaku bersalah pula dihukum penjara lima tahun.
Bangladesh tuntut India serahkan Hasina
Sementara itu, memetik Malaymail, Bangladesh menuntut India menyerahkan Hasina sebaik mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap beliau secara in absentia.
Hasina melarikan diri dan bersembunyi di India selepas kerajaan pimpinannya digulingkan kerana semasa pemerintahannya, beliau mendapat sokongan dari New Delhi.
Bangladesh turut menuntut ekstradisi Asaduzzaman meskipun keberadaan bekas menteri itu tidak diketahui, namun dipercayai turut berada di India.
Pada ketika ini, India belum memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu.