Trend Kod QR Ganti Salam Kaut Jadi Perdebatan, Ini Pendapat Pendakwah
Menurut Ustazah Asmak Husin, pemberian sumbangan kepada pengantin melalui kod QR sepatutnya tidak menjadi isu jika tidak bertentangan dengan adat dan berniat memudahkan tetamu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sudah menjadi kebiasaan apabila kita menghadiri sebuah majlis perkahwinan pasti akan membawa wang di dalam sampul untuk diberikan kepada tuan rumah atau pengantin ketika bersalam yang dipanggil sebagai ‘duit salam kaut’.
Malah, ada yang membawa hadiah sebagai tanda meraikan kenalan mereka yang bergelar raja sehari itu. Perkara ini bukan sesuatu yang baru, malah telah lama dilakukan oleh masyarakat di Malaysia.
Pun begitu, sejak kebelakangan ini tular pula trend pengantin meletakkan kod QR di majlis kahwin bagi memudahkan tetamu memberi sumbangan sehingga mencetuskan perdebatan di media sosial.
View on Threads
Majlis kahwin letak kod QR dibolehkan dalam Islam
Susulan itu, pendakwah dan Ketua Sekretariat Muslimat Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustazah Asmak Husin tampil menjelaskan bahawa tindakan sedemikian dibolehkan dalam Islam selagi tidak membawa kepada fitnah, salah tanggapan dan berbentuk paksaan.
Menurutnya, apa yang lebih penting tujuan ia dibuat adalah murni, iaitu bagi memudahkan tetamu yang ingin menyumbang atau berkongsi rezeki.
“Mengadakan kenduri perkahwinan adalah sunah Rasulullah SAW dan tuan rumah harus menerima hadiah atau duit yang diberi tetamu yang datang. Secara asas, (adalah lebih baik kaedah beri sumbangan majlis perkahwinan) ini dilihat dan dipraktikkan mengikut adat dan budaya setempat.
“Misalnya budaya orang dulu, ‘salam kaut’ ini bukan paksaan tapi konsep takaful, kerjasama atau gotong royong dalam kalangan orang kampung.
“Contohnya bila ada saudara kahwin, kita beri sumbangan wang, kemudian bila anak kita pula kahwin, individu tadi balas semula (beri wang tunai), begitu juga dengan adat di tempat lain yang mereka buat kenduri kahwin bersekali dengan kenduri arwah atau kesyukuran, biasanya majlis sebegini kita tak beri sumbangan wang tapi bawa hadiah,” katanya dipetik Berita Harian.

Kod QR tidak jadi isu selagi mana tak bertentangan dengan adat
Menurutnya lagi, pemberian melalui cara sedemikian sepatutnya tidak menjadi isu jika tidak bertentangan dengan adat dan berniat memudahkan tetamu.
“Pertama, ada sesetengah orang yang jarang bawa wang tunai, jadi berbaloi juga bila ada kod QR, masih boleh sumbang bila-bila masa. Begitu juga ada yang rasa lebih mudah bagi dalam bentuk QR sebab tak tahu nak beri hadiah yang bagaimana, jadi ini bukan satu paksaan, jika dipaksa (menyumbang), itu cerita lain.
“Cuma bila guna kod QR ini, nilai yang kita beri akan terpapar dalam akaun penerima, ini sahaja yang perlu difikirkan, berbanding salam kaut, siapa yang bagi dan berapa nilai pun kita tak tahu,” katanya.
Lebih baik kekal tradisi lama – Hushim Salleh
Bagaimanapun, perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh pula berpendapat bahawa trend memberi sumbangan melalui kod QR tidak selari tujuan diadakan majlis perkahwinan iaitu mengeratkan silaturahim, bermasyarakat dan saling mendoakan.
Beliau berpandangan tradisi lama sewajarnya dikekalkan selari tujuan asal majlis perkahwinan diadakan.
“Dalam Islam semua perbuatan, perkataan ada niat. Niat untuk buat majlis kahwin ialah beritahu masyarakat, anak kita kahwin secara sah.
“Bila jemputan hadir, selesai makan dan minum, ketika itu mereka boleh jumpa ibu bapa kedua pengantin untuk ucap selamat dapat menantu dan tahniah, di samping hulur sumbangan ikhlas dan bersalam.
“Tapi bila guna QR tiada salam dan sentuhan, jadi trend ini tak kena. Baiklah masyarakat ikut cara Islam dan jika nak buat kenduri, ikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.
Sebelum ini, pakar kewangan, Faiz Azmi atau lebih dikenali sebagai Financial Faiz menzahirkan rasa kurang setuju dengan trend kod QR di majlis perkahwinan.






