fbpx
Now Reading
Batal Ke Solat Kalau Menguap, Batuk & Bersin Ketika Baca Al-Fatihah? Ini Penjelasan UAI

Batal Ke Solat Kalau Menguap, Batuk & Bersin Ketika Baca Al-Fatihah? Ini Penjelasan UAI

Menurut Ustaz Azhar Idrus, perbuatan tidak dirancang (idhtirari) ketika membaca al-Fatihah dalam solat tidak akan membatalkan solat tersebut sebagaimana perbuatan yang dilakukan sendiri (ikhtiari).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Saat mendirikan solat, seorang Muslim haruslah melakukannya secara tertib dan mengikut segala rukun solat yang ditetapkan.

Salah satu daripadanya ialah membaca surah al-Fatihah di setiap rakaat, yang merupakan rukun qauli iaitu wajib dilafazkan dengan bacaan dan perkataan sehingga didengar oleh telinga sendiri.

Namun kadangkala seseorang mungkin tidak dapat menahan diri daripada menguap, bersin mahupun batuk ketika sedang membaca surah ini.

Situasi ini menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai sama ada bacaan itu menjadi sah ataupun tidak.

Baca Artikel Berkaitan: “Sejuk Hati Dengar” – Suami OKU Pendengaran Gigih Lafaz Surah Al-Fatihah Undang Sebak

Baca Artikel Berkaitan: Makmum Baca Al-Fatihah Serentak Dengan Imam, Sah Atau Tidak Solatnya?

Baca Artikel Berkaitan: Sebutan ‘Amin’ Surah Al-Fatihah Dalam Solat, Sah Atau Tidak? Ini Jawapannya

Perbuatan Idhtirari Ketika Dalam Solat Tidak Membatalkan Ibadah

Pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus sebelum ini pernah beberapa kali mengulas mengenai isu menguap, batuk atau bersin ketika membaca al-Fatihah dalam solat.

Mengulas lanjut, dia berkata bahawa perbuatan manusia boleh dibahagikan kepada ‘idhtirari’ (اضطرارى) dan ‘ikhtiari’ (اختياري).

Katanya ikhtiari merupakan perbuatan yang seseorang boleh melakukan sendiri seperti berdiri, berjalan dan bercakap. Manakala idhtirari adalah perbuatan yang tidak dirancang termasuk menguap, bersin serta sedu.

UAI menjelaskan bahawa perbuatan idhtirari ketika membaca al-Fatihah dalam solat tidak akan membatalkan solat tersebut sebagaimana ikhtiari.

Ayat al-Fatihah Wajib Diulang Jika Batuk, Bersin Atau Menguap Di Tengah Ayat

Bukan sahaja tidak membatalkan solat, namun bacaan ayat al-Fatihah juga tidak perlu diulang semula jika seseorang melakukan perbuatan idhtirari ketika berhenti di hujung ayat. Contohnya, menguap selepas selesai bacaan ayat ketiga surah.

Akan tetapi, suatu ayat wajib diulang semula jika perbuatan idhtirari berlaku di tengah-tengah ayat. Sebagai contoh, menguap selepas menyebut ‘مَـٰلِكِ يَوْمِ’ di ayat ketiga.

“Yang jadi masalah ialah menguap di tengah ayat. Kalau di tengah ayat bersin, menguap, batuk dan lain-lain, kena ulang ayat tersebut,” jelasnya.

Bacaan Rukun Qauli Perlu Diulang Jika Batuk, Bersin Atau Menguap

Selain bacaan al-Fatihah, terdapat empat lagi rukun qauli solat yakni lafaz Takbiratul ihram, bacaan tahiyyat akhir, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dalam tahiyyat akhir dan lafaz salam.

Berdasarkan hantaran di Facebook Menjawab Kemusykilan Agama, rukun qauli solat perlu diulang semula bacaan atau ayat apabila berlakunya perbuatan idhtirari seperti menguap, batuk dan bersin.

Jelasnya jika bacaan atau ayat tidak diulang semula, rukun akan menjadi tidak sah seterusnya turut menyebabkan solat tidak sah.

Hukum Ucap ‘Alhamdulillah’ Selepas Bersin Ketika Dalam Solat

Apabila bersin, seorang Muslim kebiasaannya akan mengucapkan tahmid (Alhamdulillah). Tetapi bolehkan bacaan ini diucapkan ketika solat?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang yang bersin ketika solat secara ringkasnya boleh mengucapkan tahmid dan tidaklah membatalkan solat.

Namun suaranya tidak boleh terlalu kuat sehingga mengganggu orang lain dan hanya didengari oleh dirinya sendiri.

Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat yang disebutkan apabila seorang sahabat bersin ketika sedang solat di belakang Rasulullah SAW.

Diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ Bin ‘Afra’, maksudnya:

“Aku solat di belakang Rasulullah SAW lantas aku bersin. Maka aku mengucapkan alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan ‘alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha. Apabila Rasululullah saw selesai solat Baginda memalingkan wajah Baginda seraya bertanya :” Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Tiada siapa yang menjawab. Kemudian Baginda bertanya lagi :”siapa yang bercakap di dalam solat tadi?”. Tiada siapa yang menjawab. Baginda bertanya untuk kali ketiga :” Siapa yang bercakap di dalam solat tadi?” Rifa’ah bin Rafi’ bin ‘Afra’ menjawab :” Aku wahai Rasulullah.”.

“Baginda bertanya :” Bagaimana engkau menyebut tadi?”. Rifa’ah menjawab :” Aku menyebut alhamdulillah hamdan kathiran toyyiban mubarakan fih mubarakan ‘alaih kama yuhibbu Robbuna wa yardha. Maka Nabi SAW bersabda :” Demi Tuhan yang mana nyawaku berada di tangan-Nya, sebanyak 30 lebih malaikat berbondong-bondong naik ke langit dengan ucapan tersebut.”

Ulama Sheikh al-Romli, Sheikh Abdul Rahman Bin Muhammad al-Ba’lawi dan Allamah Syed al-Bakri al-Dimyati juga menyatakan sunat bertahmid dengan perlahan selepas bersin ketika solat.

Namun sekiranya ucapan ini dinyatakan ketika sedang membaca al-Fatihah, ia akan memutuskan muwalat dan seseorang perlu mengulang semula keseluruhan surah tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Ini Hukum Berdehem Dalam Solat Yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Baca Artikel Berkaitan: Hati-Hati Ketika Lafazkan Takbiratul Ihram, Solat Akan Batal Jika Salah Sebut

Baca Artikel Berkaitan: Jangan Suka Hati Batalkan Solat Fardu, Haram Hukumnya Walaupun Kerana Anak Menangis

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.