Air Beroksigen Tinggi Tak Boleh Rawat Batuk & Paru-paru, Ini Penjelasannya
Menurut Public Health Malaysia, beberapa kajian ke atas air beroksigen telah dibuat untuk menilai stamina, pemulihan otot, kadar oksigen dalam darah dan prestasi atlet.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Terdapat pelbagai jenis air minuman yang ada di pasaran pada ketika ini seperti air mineral, air beroksigen tinggi, air pH tinggi (alkali) dan banyak lagi.
Tidak dinafikan, setiap air minuman ini baik untuk kesihatan terutamanya dalam mengekalkan hidrasi dalam tubuh badan
Pun begitu, ada pula segelintir individu yang ‘overclaimb’ dan mendakwa air beroksigen tinggi boleh melegakan batuk, beri tenaga, detoks dan baik untuk paru-paru sehingga menimbulkan persoalan ramai.
Tak benar air beroksigen tinggi boleh legakan batuk dan bagus untuk paru-paru – PHM
Susulan itu, laman Public Health Malaysia (PHM) telah tampil menjelaskan bahawa perkara terbabit adalah tidak benar sama sekali.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik pada Khamis lalu (13 November), PHM menjelaskan bahawa air yang diminum akan turun ke sistem pencernaan, manakala oksigen pula perlu masuk melalui paru-paru di mana ia diserap oleh alveoli untuk dibawa ke seluruh badan.
“Jadi walaupun botol itu ditulis ‘high oxygen’, oksigen tersebut tidak boleh ‘melompat’ dari perut ke darah lalu memperbaiki paru-paru atau legakan batuk,” tulisnya.
Kajian dapati tiada beza air beroksigen tinggi dengan air kosong biasa
Menurut PHM, beberapa kajian ke atas air beroksigen telah dibuat untuk menilai stamina, pemulihan otot, kadar oksigen dalam darah dan prestasi atlet.
Jelasnya, hasil kajian itu mendapati tiada perubahan kadar oksigen dalam darah (kekal normal), prestasi atlet juga tidak meningkat dan tiada manfaat tambahan berbanding air kosong.
“Air memang boleh melarutkan sedikit oksigen, tetapi oksigen itu tidak stabil, mudah hilang apabila botol dibuka atau suhu berubah. Jadi ‘kandungan tinggi oksigen’ itu pun sebenarnya tak kekal.
“Untuk batuk atau penyakit pernafasan, tiada satu pun kajian menunjukkan air beroksigen dapat membantu. Batuk biasanya berpunca daripada keradangan saluran pernafasan, lendir, jangkitan atau alahan. Semua ini tidak berubah hanya kerana perut mendapat air yang ada kandungan lebih tinggi oksigen,” tulisnya lagi.
Bagaimanapun, PHM menyatakan tiada masalah untuk meminum minuman air mineral tinggi oksigen. Tetapi dari sudut sains, tiada manfaat kesihatan yang terbukti.







