“Tolong La Berubah” – Ustazah Asma’ Harun Tegur Gaya & Penampilan Dolla Dalam MV Question
Ustazah Asma’ Harun berpendapat penampilan Dolla dalam muzik video terbaharu itu dilihat tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan M-Pop, Dolla? Kumpulan yang dianggotai tiga wanita cantik iaitu Tabby, Sabronzo dan Angel sering mendapat perhatian dek kerana aksi bertenaga serta imej dan gaya ‘berani’ ketika membuat persembahan.
Pada minggu lalu, kumpulan yang pernah memenangi Artis Baharu Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang ke-34 pada tahun 2021 baru sahaja melancarkan video muzik terbaharu mereka, Question.
Video muzik itu nyata mendapat reaksi positif khususnya dari peminat setia kumpulan berkenaan namun ada juga yang kurang senang dengan penampilan mereka dalam video berkenaan.
Ustazah Asma’ Harun Tegur Penampilan Dolla Dalam Video Muzik
Terbaharu, pendakwah dan penceramah bebas, Ustazah Asma’ Harun tampil memberi teguran terbuka terhadap kumpulan Dolla.
Teguran itu dibuat oleh beliau dalam satu hantaran di Instagram miliknya. Melalui hantaran berkenaan, Ustazah Asma’ menegur penampilan Dolla dalam video muzik Question yang dilihat agak keterlaluan.
Bukan itu sahaja, beliau turut berkongsi tangkap layar komen positif dari peminat setia kumpulan berkenaan yang dilihat amat membimbangkan.
“Dolla, inikah yang kita banggakan sebagai wajah seni hiburan negara kita? Dolla – tolonglah berubah.
“Bila ada lagu baru dari kumpulan ini, saya cuba fikir, ‘mungkin kali ini lebih sopan, mungkin kali ini lebih bermaruah.’
“Jujurnya saya tak pernah ikuti atau tengok, tapi ada sahaja sesiapa berikan link untuk diusahakan sesuatu.
“Makin lama makin parah, makin terbuka sana sini, makin ghairah, makin memalukan. Apa yang dipertontonkan bukan lagi satu seni hiburan, Ia sudah sampai satu tahap pertunjukan dalam laman gelap atau club tapi secara terangan atas nama seni!
“Pakaian ketat melekat, singkat terbuka melampau, gerakan menggiurkan semuanya dipakejkan sebagai satu seni lagu,” tulis beliau.
Anggap Muzik Video Tidak Bermoral & Memalukan Wanita Islam
Ustazah Asma’ turut berpendapat penampilan Dolla dalam video muzik terbaharu itu dilihat tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam.
“Paling menyedihkan, salah seorang anggotanya adalah wanita Islam dan walau yang bukan Islam sekalipun, anda tetap bawa imej negara Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara ke-5 iaitu kesopanan dan kesusilaan.
“Seni apa yang dibina di atas aksi memalukan begini? Kemajuan apa yang dibina di atas dosa? Kemodenan apa yang dibina di atas runtuhnya rasa malu?
“Bagi saya videonya amat tidak bermoral, memalukan wanita Islam, memalukan negara yang namanya Malaysia, negara Islam. Lebih perit, ada orang yang mempertahankan dengan pujian dan rasa bangga.
“Inilah bahaya apabila normalisasi maksiat mula dianggap trend. Apa yang salah dianggap biasa. Apa yang haram dianggap ‘tak apa’. Apa yang menjolok mata dianggap ‘artistic’,” tulisnya lagi.
Pada masa yang sama, Ustazah Asma’ turut menjelaskan bahawa kenyataannya itu bukanlah untuk menyebarkan kebencian. Sebaliknya, dia mahu orang ramai berhenti menyokong budaya yang salah.
“Ini bukan kempen benci. Ini kempen sedarkan diri. Kalau budaya salah berhenti disokong, budaya itu akan mati. Kalau budaya itu berubah, masyarakat pun berubah.
“Semoga Allah SWT menjaga Malaysia daripada hilangnya rasa malu dan kembalikan kita kepada hiburan yang lebih sopan, terdidik, berkat dan diredhai,” tulisnya lagi.
Hantaran Lebih Panjang Dikongsikan Di Facebook Ustazah Asma’
Namun, hantaran ini hanyalah separuh dari apa yang dikongsikan di Facebook.
Pendakwah itu menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi hadis mengenai wanita akhir zaman yakni yang berpakaian tetapi telanjang.
“Sedangkan Nabi SAW sudah memberi amaran keras tentang wanita ‘berpakaian tetapi telanjang’, berjalan berlenggak-lenggok menggoda”.
“Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ‘Wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berjalan berlenggak-lenggok serta menggoyangkan tubuh, dan rambut mereka disanggul seperti bonggol unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal bau syurga itu tercium dari jarak yang sangat jauh.'(HR Muslim),” tulisnya.
Ustazah Asma’ dalam masa yang sama turut menegaskan beliau juga manusia biasa yang tidak sempurna dan banyak kelemahan.
Namun, berdiam diri atas beberapa perkara adalah pengkhianatan kepada generasi iaitu:
- Maksiat dijadikan seni
- Aurat dijadikan hiburan
- Dosa dijadikan trend
- Teguran dijadikan bahan ketawa
- Pujian diberikan kepada apa yang Allah murkai
DOLLA, inikah yang kita banggakan sebagai wajah Seni Hiburan Negara kita ? Dolla – tolonglah berubah 🙏 Bila ada lagu…
Posted by Ustazah Asma' Harun on Thursday 13 November 2025
Ramai Setuju Dengan Kenyataan Ustazah Asma’ Harun
Hantaran itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial. Menjengah ke ruangan komen, majoriti mereka bersetuju dan menyokong kenyataan pendakwah berkenaan.
Malah, ada yang menzahirkan ucapan terima kasih malah mahu penceramah itu terus bersuara dalam memberi teguran dan kesedaran kepada orang ramai.
Untuk info, penampilan berani kumpulan Dolla sebelum ini juga pernah ditegur oleh pendakwah bebas, PU Syed.
Ini antara komen menarik pengguna Instagram:
“Teruskan Bersuara Ustazah, Sungguh Memalukan”

“Terbaik Ustazah Kerana Teguran & Nasihat Yang Diberi”

“Jika Teguran Ini Nampak Salah, Mungkin Hati Kita Kekurangan Hidayah”

Baca Artikel Berkaitan: “Macam Mana Boleh Terfikir Skrip Macam Ni?” – Ustazah Asma’ Tegur Dialog Drama Tak Sensitif Di Tanah Suci [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Lagu & Klip Paling Sampah” – PU Syed Tegur Penyanyi Muda Pamer Adegan Separa Luc*h Dalam MV
Baca Artikel Berkaitan: ‘Dua Daripadanya Adalah Muslim’ – PU Syed Tegur Kumpulan Dolla Berpakaian Seksi



