Syarikat Balak Malaysia Didakwa Jarah Hutan Di Papua New Guinea [Video]
Analisis turut mendedahkan bahawa 65 daripada 67 lesen FCA dikawal oleh syarikat yang berkaitan dengan Malaysia. Ia merangkumi 97% daripada keseluruhan lesen yang dikeluarkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada hujung Oktober lalu, tular di Facebook satu video memaparkan luahan hati penduduk-penduduk kampung di Papua New Guinea (PNG) yang tidak berpuas hati dengan mendakwa ada syarikat-syarikat balak dari Malaysia telah ‘merampas tanah’ mereka.
Menerusi pendedahan yang dimuat naik di akaun Bruno Manser Founds (BMF), video yang bertajuk ‘Hentikan Perampasan Tanah oleh Malaysia di PNG’ itu mendakwa syarikat-syarikat pembalakan berkenaan telah menjarah hutan-hutan di sana.
Dakwa penduduk, orang-orang Malaysia secara tamak telah mengaut hasil bumi di sana dan syarikat-syarikat pembalakan itu melayani mereka dengan teruk seperti hamba di tanah air sendiri.
“Orang-orang Malaysia tamak dan mementingkan diri, lihat apa yang mereka lakukan terhadap hutan kami. Mereka datang untuk menjarah kayu balak dan segala hasil hutan,” kata seorang penduduk Kampung Karapi, West New Britain, PNG.

Masalah rampasan tanah ini telah berlaku sejak 30 tahun lalu
Video versi penuh pendedahan itu di YouTube mendakwa masalah rampasan tanah oleh syarikat-syarikat balak termasuk dari Malaysia ini telah berlaku sejak 30 tahun yang lalu.
Dalam laporan sama, selain merampas tanah, syarikat-syarikat itu didakwa telah memusnahkan hutan dan sumber kehidupan masyarakat di PNG.
“Sekurang-kurangnya 15% daripada hutan telah ditebang menjadikan Papua New Guinea pengeksport kayu kayan tropika terbesar di dunia.
“Hari ini, hampir seluruh negara PNG diliputi oleh konsesi pembalakan atau kelapa sawit,” katanya.

Lesen FCA punca syarikat bebas jarah kayu balak di PNG kononnya untuk pertanian
Menurutnya, syarikat-syarikat asing berminat mendapatkan lesen berskala besar untuk menebang kawasan hutan yang lebih luas di bawah satu lesen yang dikenali sebagai Forest Clearing Authorities (FCA).
Difahamkan, permit ini sepatutnya membolehkan penebangan hutan secara besar-besaran bagi tujuan pertanian dan membawa pembangunan kepada masyarakat setempat.
Bagaimanapun, sebaliknya pula yang berlaku apabila lesen berkenaan disalahguna untuk menebang habis kawasan hutan hujan yang luas, tanpa sebarang bukti kukuh adanya pembangunan pertanian.
“FCA kini menjadi antara punca utama kehilangan hutan di Papua New Guinea. Sekurang-kurangnya 1.68 juta hektar hutan hujan primer kini terancam akibat lesen itu.
“Wilayah West New Britain, East New Britain dan Sandaun kini menjadi tumpuan utama aktiviti pembalakan yang semakin giat dijalankan di PNG,” katanya.

65 lesen FCA dikawal oleh syarikat berkaitan dengan Malaysia
Dakwa laporan itu lagi, analisis turut mendedahkan bahawa 65 daripada 67 lesen FCA dikawal oleh syarikat yang berkaitan dengan Malaysia. Ia merangkumi 97% daripada keseluruhan lesen yang dikeluarkan.
Jelasnya, beberapa individu yang dikaitkan dengan Malaysia juga sudah dikenal pasti di mana mereka ini berdepan tuduhan pembalakan haram, penipuan dan pelbagai salah laku lain.
Sebahagian individu ini dikatakan mempunyai kaitan dengan keluarga berpengaruh dalam politik serta syarikat pembalakan utama yang berpangkalan di Sarawak.
Pada minit 3.43 di dalam video itu, jelas kelihatan seorang lelaki memakai baju yang sinonim dengan identiti Malaysia iaitu pakaian dengan logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang menulis nombor pada kayu-kayu balak yang sudah ditebang.
Menurut BMF, pendedahan ini dibuat bertujuan mendapatkan tandatangan orang ramai bagi menyokong petisyen mereka untuk menghentikan penjarahan hutan oleh syarikat dari Malaysia.



