Ditinggalkan Isteri & 3 Tahun Dalam Penjara Bukan Penghalang Lelaki Ini Genggam Ijazah Sarjana
Mohd Razin ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan terbabit penyeludupan imigran pada Jun 2022 sebelum didapati tidak bersalah pada 1 April tahun lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pasti dunia ini umpama terhenti dan gelap seketika apabila kita ditimpa dengan pelbagai musibah dan ujian hidup bukan?
Terkadang hingga ada yang bertanya kepada Tuhan apa salah dirinya sehingga diuji sebegitu berat.
Namun, seberat mana ujian yang dilalui bukanlah penghalang untuk kita bangkit semula dan melakar kejayaan. Malah Tuhan tahu kekurangan dan kelebihan yang kita miliki.
Lelaki 3 tahun huni penjara berjaya tamatkan Master di UUM
Seperti kisah seorang lelaki ini, tiga tahun di dalam tahanan penjara di Alor Setar, Kedah bukanlah penghalang untuk dirinya menggenggam segulung Ijazah Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook UUM, bekas anggota keselamatan dalam bahagian risikan, Mohd Razin Razali, 35, pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Semuanya bermula pada 20 Jun 2022, hari iu segalanya gelap. Tidak pernah terlintas walau sekelumit dalam fikirannya bahawa suatu hari dia akan menghuni penjara.
“Sehari demi sehari berlalu seolah-olah jarum jam berhenti bergerak dan burung di angkasa turut berhenti untuk terbang. Tiada jaminan, tada kebebasan, hanya tembok besi dan sunyi menemani,” tulis UUM.
Isteri tuntut fasaskh ketika beliau dalam penjara
Menurut Mohd Razin, semasa dipenjara beliau bukan sahaja diuji dengan masalah kewangan selepas gajinya ditahan, tetapi juga konflik keluarga apabila isteri tercinta bertindak memohon fasakh.
“Akhirnya perceraian berlaku ketika saya di dalam penjara. Itu saat paling sukar dalam hidup saya. Jiwa saya hampir rebah. Tetapi di saat itulah saya sedar, luka yang disuluh dengan cahaya Tuhan tetap akan sembuh.
“Tentunya Allah tidak menghukum saya. Dia sedang mendidik untuk saya menjadi manusia yang baru,” kata Mohd Razin.
Mohd Razin bangkit sambung ijazah sarjana, tulis tesis dalam penjara
Dengan berbekalkan semangat dan doa, beliau kemudiannya bangkit semula selepas dibenarkan untuk menyambung pengajian Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) dari tirai besi.
Memetik Harian Metro, Mohd Razin berkata, cabaran terbesar dihadapi adalah akses yang terhad terhadap bahan rujukan dan penyelidikan, selain situasi dalam penjara yang serba kekurangan.
“Boleh bayangkan sebagai seorang tahanan, diletakkan dalam satu sel berukuran 8×15 kaki di situlah tandas, tempat belajar, ruang solat dan di situlah tempat saya menulis tesis.
“Di waktu malam dengan gelap, keadaan lampu di luar sel masuk ke dalam sel. Itulah waktu saya membaca buku setiap hari. Dalam seminggu, dua hingga tiga kali saya akan dibawa saya ke satu pejabat untuk saya menaip tesis di komputer riba.
“Apabila pengerusi panel penilai mengumumkan saya lulus viva, saya tunduk dan menangis. Hari itu, saya tahu Allah tidak pernah meninggalkan saya,” ujarnya.
Semalam (10 November), beliau melangkah menaiki pentas di Dewan Mu’adzam Shah untuk menerima ijazah daripada Pro-Canselor UUM, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah.
Mohd Razin dibebaskan dari penjara selepas didapati tidak bersalah
Untuk info, pada Jun 2022 lalu, Mohd Razin ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan terbabit penyeludupan imigran.
Bagaimanapun, menurutnya, ketika itu beliau sebenarnya sedang bertugas dalam operasi khas.
Beliau kemudiannya terbukti tidak bersalah apabila mahkamah membebas dan melepaskannya dan tiga rakan sepasukan daripada pertuduhan pada 1 April lalu.
“Saya bersyukur dapat kembali ke pangkuan keluarga. Selama tiga tahun saya tidak merasai kebebasan.
“Saya pandang ujian ini sebagai satu motivasi untuk saya bangkit semula untuk saya berjaya dapatkan segulung ijazah sarjana sebagai tanda saya masih lagi kuat, tidak berputus asa dan dapat buktikan kepada masyarakat di luar sana saya bukanlah penjenayah.
“Saya bukanlah orang yang bersalah, saya masih ada maruah dan harga diri saya sendiri,” katanya.