fbpx
Now Reading
Dikritik Dakwa Orang Rom Belajar Bina Kapal Dari Orang Melayu, Ini Respon Profesor Dr Solehah

Dikritik Dakwa Orang Rom Belajar Bina Kapal Dari Orang Melayu, Ini Respon Profesor Dr Solehah

Menurut Pensyarah UIAM, Dr Solehah Yaacob hipotesis yang diberikan berpaksikan sumber Arab Klasik yang mencadangkan bahawa orang Rom telah memperoleh sebahagian seni pembinaan kapal daripada bangsa Alam Melayu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini tular video memaparkan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malayisa (UIAM), Profesor Dr Solehah Yaacob mendakwa teknik pembuatan kapal ketika tamadun Rom dahulu dipercayai dipelajari dari pelaut Melayu menerusi satu ceramah.

Jelas Dr Solehah, kepakaran orang Melayu di dalam bidang maritim serta pembinaan kapal telah bermula sejak era kerajaan Funan dan ia berkembang pesat di Alam Melayu sebelum mempengaruhi tamadun luar termasuk Rom kuno.

Dakwaan itu kemudiannya menjadi perdebatan dan kritikan di media sosial yang meminta agar bukti diberikan untuk menyokong perkara itu.

Pakar Sejarah Teknologi Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datur Ir Dr Wan Ramli Wan Daud kemudiannya menjelaskan tiada bukti mengenai perkara itu dan menyifatkan persamaan antara kaedah pembuatan kapal orang Rom dengan Orang Melayu hanyalah kebetulan serta hasil pengaruh langsung atau pertukaran teknologi.

Memetik laporan Sinar Harian, Wan Ramli mengatakan tiada bukti menunjukkan bangsa-bangsa berkenaan diajar oleh orang Melayu di dalam hal pembinaan kapal sebaliknya persamaan adalah lebih tepat kerana ia dianggap sebagai hasil ‘penemuan berbilang’ atau ‘ciptaan serentak.’

Dr Solehah tampil jelaskan selepas video syarahan dikritik

Ekoran daripada kritikan orang ramai, Dr Solehah tampil memberikan penjelasan berhubung video tersebut.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan Dr Solehah di Facebook, syarahan awam yang tular itu telah disampaikan olehnya di Masjid Gombak Setia pada 31 Disember 2022.

Katanya dalam syarahan itu antara yang dibincangkan adalah hubungan sejarah antara bangsa Rom dan dunia Melayu namun dirinya telah menjadi bahan ejekan di media sosial, tabloid serta media arus perdana.

Menurutnya pelbagai platform telah mempermainkan kenyataan yang diberikan dengan tajuk seperti “Orang Rom belajar membina kapal daripada orang Melayu” atau “Isteri Nabi Muhammad, Khadijah ialah orang Melayu.”

Kenyataan diberikan berdasarkan hipotesis – Dr Solehah

Menjawab tentang pembinaan kapal orang Melayu mengajar orang Rom membina kapal, ujarnya kenyataan itu berasaskan hipotesis penyelidikan yang telah dilakukan hasil kajian mendalam sejak Dr Solehah menamatkan pengajian dalam jurusan kedoktoran (PhD) pada tahun 2005.

“Penyelidikan saya mengenai salasilah keturunan daripada Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW telah membukan pandangan baharu terhadap asal-usul sebenar tamadun manusia.

“Menurut dapatan penyelidikan saya, pelayaran maritim utama pertama dalam sejarah manusia berlaku pada zaman Nabi Nuh AS yang meliputi kawasan dunia yang amat luas. Ahli teologi British, Thomas Brightwell berpandangan bahawa orang Melayu merupakan satu bangsa tersendiri yang muncul selepas peristiwa Banjir Besar Nabi Nuh AS dan bangsa ini mungkin termasuk antara pelayar awal dalam sejarah manusia,” ujarnya.

Kata Dr Solehah, hipotesisnya itu turut disokong dengan pelbagai rujukan yang juga disenaraikan dalam kenyataan terbabit.

Selain itu Dr Solehah turut menjelaskan mengenai kerajaan Rom yang tidak terlibat dalam aktiviti maritim antarabangsa yang besar sebelum tahun 31 S.M (sebelum masihi) iaitu selepas penaklukan ke atas Mesir. Menurutnya sebelum tempoh berkenaan orang Rom belum lagi memliki keupayaan pelayaran yang maju.

Ia disebabkan jarak antara Rom dan Mesir adalah dekat dan tidak memerlukan pelayaran samudera yang sebenar.

“Namun begitu, bangsa Rom, Viking dan Slav diketahui sering mencari besi berkualiti tinggi untuk pembuatan senjata dalam peperangan dan penaklukan. Beberapa sumber Arab menyebut tentang al-qal’a al-Rumi yang bermaksud ‘pedang Rom Qal ‘a’ yang juga dikenali sebagai al-Sharbuqan.

“Ulama Islam klasik seperti al-Biruni menjelaskan bahawa seni pelaburan besi telah berkembang di kawasan Qal’a.

“Menurut ahli falsafah arab al-Kindi, lokasi al-Qal’a ini terletak di bahagian barat laut wilayah yang kini dikenali sebagai Malaysia yang dikenal pasti sebagai Kedah purba,” katanya.

Perkembangan sistem tulisan bangsa Rom bukti kemajuannya lahir dari proses pinjam-meminjam

Menurut Dr Solehah lagi, perkembangan teknologi bangsa Rom seperti sistem tulisan dari bangsa Yunani dan akhirnya dari Bangsa Fenesia telah membuktikan bahawa kemajuan bangsa itu lahir dari proses pinjam-meminjam daripada tamadun terdahulu.

Katanya, tidak boleh dinafikan kemungkinan teknik pembinaan kapal bangsa Melayu dan hubungan awal mereka dengan dunia India dan Mediterranean juga memberi pengaruh pada perkembangan berkenaan.

“Walaupun sukar untuk menentukan secara tepat bagaimana teknologi maritim Melayu sampai kepada Rom, proses pemindahan ilmu tersebut pasti melibatkan pelayaran merentasi lautan luas. Namun, berdasarkan cataatan sejarah, Kayu Eropah pada waktu itu tidak sesuai untuk pelayaran jarak jauh, dan hal ini berkemungkinan mendorong orang Rom mendapatkan pelayar berpengalaman dari Mesir, bahkan mungkin dari dunia India atau Alam Melayu untuk membimbing mereka ke sumber besi Qal’a.

“Bukti sokongan daripada arkib muzium di Australia menunjukkan bahawa pembinaan kapal laut dalam yang terbaik berasal daripada Austronesia (Indonesia moden). Malah, laporan akhbar lama turut merakamkan kenyataan menarik: “The first man to sail around the world was a Malay.”

Hipotesis diberikan berdasarkan sumber Arab klasik

Dr Solehah turut mengatakan hipotesisnya itu adalah berpaksikan sumber Arab klasik mencadangkan bahawa orang Rom telah memperoleh sebahagian seni pembinaan kapal daripada bangsa Alam Melayu.

“Tidak seperti bangsa Eropah yang berbudaya benua, orang Melayu merupakan tamadum maritim yang unggul. Kecekapan mereka dalam ilmu pelayaran dan pembinaan kapal menjadikan mereka antara penguasa lautan terawal dalam sejarah manusia.

“Saya berpendapat bahawa orang Melayu adalah antara bangsa pertama dalam sejarah manusia yang membangunkan seni pembinaan kapal, dan bahawa orang Rom seperti banyak tamadun lain, mewarisi ilmu pelayaran daripada tamadun maritim yang lebih awal, khususnya dunia Melayu,” jelasnya lagi.

Buat laporan polis, nafi pernah keluar kenyataan dakwaan Siti Khadijah berasal dari dunia Melayu

Dr Solehah bagaimanapun menafikan dakwaan yang beliau ada menyatakan Siti Khadijah R.A yang juga isteri Nabi Muhammad SAW berasal dari dunia Melayu.

Menurut Dr Solehah video yang tular di media sosial itu telah disunting serta diambil luar daripada konteks.

Dalam kenyataan tersebut Dr Solehah turut memaparkan dua pautan di mana satu menunjukkan video tidak disunting dan satu lagi vide di TikTok yang telah disunting.

Video asal:

Video disunting:

@fitnahapahariini

Ya Allah .. Hebat Sungguh Alam Melayu Ni .. Sampai Isteri Nabi Muhamad Pun Datang Dari Alam Melayu – Dedah Prof Dr Solehah Yaakob .. #anwaribrahim #PMX #sanusimdnor #MISI #jauhifitnah #perikatannasional #malaysiamadani❤️💛💙 #kerajaanperpaduan #infosahih #Fyp #Viral

♬ bunyi asal – FitnahApaHariIni – FitnahApaHariIni

“Saya telah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan menafikan secara tegas bahawa saya pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.”

Katanya, dia berharap agar sebarang bentuk fitnah, penghinaan, penyelewengan maklumat serta ejekan di media sosial, tabloid dan media rasmi dapat dihentikan dengan segera.

“Hipotesis saya mengenai kejayaan bangsa Melayu dan pengaruh pinjaman bangsa Rom mungkin benar atau mungkin salah. Namun, dalam tradisi akdemik dan Islam, kita diajar untuk menghormati perbezaan pandangan,” katanya.

Terdahulu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut memaklumkan pihaknya sedang meneliti kenyataan Dr Solehah yang tular sehingga ia mendapat kritikan orang ramai mengenai ketepatan fakta sejarah yang dibangkitkan.

Dalam kenyataan tersebut, pihak UAIM menegaskan pandangan berkenaan adalah bersifat peribadi dan ia tidak mewakili pendirian rasmi universiti.

Memetik laporan Malaysia Gazette, pihak pengurusan UIAM juga memandang serius isu itu serta kesal dengan tindakan ahli akademik terbabit yang menjejaskan integriti akademik serta imej univerisiti awam berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM, universiti terbabit akan melakukan penelitian secara dalaman mengikut tatacara yang sedia ada.

Katanya lagi, tindakan sewajarnya juga bakal dibuat selepas siasatan selesai dilakukan.

UIAM dalam masa sama turut menegaskan pihaknya membawa prinsip kebebasan akademik akan tetapi menekakan setiap pandangan yang diberikan hendaklah berpaksi kepada ketepatan ilmiah serta tanggungjawab.

Perkara itu kerana tidak mahu ia menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.