“Tolong Lah Touch, Bukan Tugas Pekerja Ke?” – Cara Lelaki Ini Layan Jurutol Raih Kecaman Ramai [Video]
Pemandu lelaki terbabit menyangka bahawa tugas jurutol yang berada di dalam pondok tol adalah untuk membantu menyentuh kad Touch ‘n Go pada mesin pengimbas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kebanyakan pemandu di Malaysia pasti pernah melalui lebuh raya bukan? Jadi sudah faham sangat sistem yang digunakan di tol.
Sama ada hanya perlu melalui mesin pengimbas jika menggunakan SmartTag atau RFID (Radio-frequency identification) atau menyentuh sendiri kad Touch ‘n Go di mesin ‘scanner’.
Sementara tugas jurutol yang berada di dalam pondok tol pula adalah seperti berikut:
- Mengutip tol dan memastikan jumlah kutipan adalah sama dengan jumlah transaksi.
- Menyerahkan wang apungan dan kutipan tol kepada Penyelia ketika syif tamat.
- Memastikan butiran transaksi adalah tepat mengikut panduan operasi yang telah ditetapkan.
- Melaporkan kepada Penyelia Tol sebarang kejadian luar biasa dan kerosakan peralatan pondok tol.
Lelaki sangka tugas jurutol bantu sentuhkan kad
Pun begitu, baru-baru ini tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang pemandu lelaki menyangka bahawa menyentuh kad Touch ‘n Go pada mesin pengimbas adalah sebahagian daripada tugas jurutol.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok pemandu itu sendiri, dia juga berasa bengang apabila seorang jurutol wanita enggan membantunya menyentuhkan kad.
“Haa tolong lah touch. Ouh kena sentuh sendiri, bukan ini tugas pekerja ke? Sebagai pekerja tol dia kena touch (kad) bukan pemandu yang kena touch, bahaya! Kita viral,” kata pemandu itu.
Pemandu tak sediakan baki duit dalam kad, siap tak nak turun kereta untuk ‘top-up’
Kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki terbabit tidak menyediakan baki duit yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go miliknya menyebabkan dia tidak dapat melepasi palang tol.
Susulan itu, dia diminta oleh seorang lelaki untuk turun daripada kenderaan dan menambah nilai kad terbabit secara sendiri, namun dia enggan melakukannya kerana mendakwa boleh mendatangkan bahaya.
Oleh kerana itu, seorang jurutol wanita telah membantunya menambah nilai kad terbabit sebelum menyerahkannya semula kepada pemandu itu.
Bagaimanapun, dia sebaliknya mengarahkan pula jurutol berkenaan untuk menyentuh kad terbabit di mesin pengimbas.
Untuk tonton video penuh, klik di [SINI]
@nickhishamofficial360 apa kes ni #carabat ♬ bunyi asal – NICK HISHAM
Netizen pakat kecam, persoal adakah kali pertama lelaki itu melalui lebuh raya
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberi kecaman kepada lelaki terbabit kerana sikapnya ketika melayani jurutol wanita itu.
Bukannya berterima kasih kerana membantu menambah nilai kad, sebaliknya diarahkan pula untuk bantu menyentuh kad berkenaan.
Kebanyakan netizen juga mempersoal lelaki terbabit adakah ini kali pertama dia melalui lebuh raya sehingga tidak mengetahui bahawa menyentuh kad adalah tanggungjawab pemandu sendiri.







