“Suami Patah Balik Ambil Susu Anak, Pulang Sebagai Jenazah” – Luahan Wanita Ini Buat Ramai Sebak
Menurut wanita itu, suaminya sudahpun meninggalkan tempat kerja, namun kembali semula ke sana untuk mengambil susu anak mereka yang tertinggal sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pemergian insan tersayang sememangnya antara saat paling berat dan sukar untuk dihadapi oleh sesiapa sahaja, bahkan jika boleh, tiada siapa yang mahu menghadapinya.
Namun, begitulah kehidupan yang perlu ditempuhi apabila setiap pertemuan itu pastinya ada perpisahan. Segala yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.
Lambat atau cepat, kita semua akan pergi meninggalkan dunia yang sementara ini. Cuma bilakah waktunya, hanya Allah sahaja yang mengetahuiNya.
Wanita luah suami meninggal dunia selepas patah balik ke tempat kerja ambil susu anak
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial seorang wanita Nur Mas Idayu Buyung berkongsi luahan mengenai suaminya yang meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal sambil membawa sepaket susu anak mereka.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di akaun Threads miliknya, Mas berkata awalnya, suaminnya, Muhammad Amir telahpun meninggalkan tempat kerjanya, namun berpatah balik untuk mengambil susu anak yang tertinggal.
“Awak dah balik kerja sayang, tapi awak patah balik ke tempat kerja sebab tertinggal susu anak. Al-Fatihah sayangku Muhammad Amir. Satu tahun 10 bulan Allah pinjamkan awak buat saya dan anak,” tulisnya di kapsyen.
Menurut Berita Harian yang memetik Mas, arwah suami merupakan yang merupakan Polis Bantuan di Besraya meninggal dunia di lokasi kejadian dengan wajah tenang seolah-olah sedang tidur.
Paket susu anak hancur di sebelah jenazah suami
Mas turut berkongsi gambar suaminya yang terbaring di atas jalan raya sambil ditutupi kain putih oleh beberapa penunggang motosikal yang berada di tempat kejadian.
Apa yang lebih meruntun hati, kelihatan jelas sepaket susu formula berwarna hijau dalam keadaan hancur berada di sebelah arwah.
Posting yang dimuat naik itu kemudiannya meraih perhatian ramai pengguna Threads, di mana rata-ratanya turut berasa sedih dan sebak dengan ujian yang harus dilalui oleh wanita terbabit.
Mangsa dipercayai terlibat kemalangan pada waktu malam, Rabu lalu (5 November) di Lebuhraya Middle Ring Road 2 (MRR2), Selayang, Selangor.
Susu tepung penuh melekat di uniform dan sweater suami
Dalam satu lagi hantaran berbeza, Mas turut berkongsi gambar uniform dan sweater yang dipakai suaminya ketika kejadian dipenuhi dengan susu tepung yang masih melekat.
Menurutnya, arwah suaminya juga sempat memberikan ucapan sayang sebelum pergi meninggalkan rumah.
“Masa suami nak buka pintu, suami patah balik cium saya dan anak. Suami cakap ‘sayang ibu, sayang harraz’. Hari itu juga suami pergi patah balik ambil susu anak dan pulang sebagai jenazah,” luahnya.
Arwah tinggalkan isteri dan anak dalam keadaan barang keperluan rumah lengkap
Kongsi Mas lagi, Allahyarham juga telah menempah hotel untuk kejutan hari jadinya di Terengganu pada hujung bulan ini dan telah menempah tiga ekor kambing untuk majlis aqiqah anak mereka pada bulan Januari tahun depan.
“Semua barang keperluan anak, barang-barang sabun, bahan masakan semua awak tinggalkan cukup lengkap, awak tinggalkan saya dan anak dengan baik, awak suami yang sangat bertanggungjawab.
“Dengan nama Allah, suami saya seorang yang baik,” luahnya lagi.
View on Threads
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, menjelaskan insiden kemalangan yang membabitkan motosikal jenis Honda RS150 dan lori jenis Nissan Tipper itu berlaku kira-kira jam 8.20 malam.
“Lori berkenaan berhenti di bahu kiri jalan kerana mengalami masalah mekanikal sebelum motosikal mangsa dipercayai melanggar besi gandar di bahagian belakang kenderaan itu.
“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan. Pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya, lapor Berita Harian.
Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan cuai atau berbahaya.
“Polis menasihati semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta mengelak berhenti di laluan yang boleh membahayakan pengguna lain.
“Saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di 03-2071 9999,” katanya.
Netizen sebak, akui menangis baca luahan wanita itu
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut berasa sebak melihat luahan wanita itu.
Kebanyakan orang juga mendoakan agar dia diberikan kekuatan untuk menempuhi ujian yang berat ini.
Malah, ada juga segelintir netizen menyatakan mereka menangis berkali-kali membaca posting wanita itu mengenai tragedi yang menimpa Allahyarham suaminya dan keperibadian lelaki itu yang sungguh baik terhadap isteri dan anaknya.









