fbpx
Now Reading
Marzuk, Anda Silap! Tak Boleh Bandingkan Situasi Di Palestin Dengan Malaysia [Pendapat]

Marzuk, Anda Silap! Tak Boleh Bandingkan Situasi Di Palestin Dengan Malaysia [Pendapat]

“Isu Palestin bukan isu agama semata-mata tetapi isu kezaliman yang mendalam dan imperialis zaman moden. Ia seharusnya menjadi keprihatinan semua masyarakat di Malaysia.”

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Oleh:  Tong Veng Wye
Aktivis Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN)

Tong Veng Wye merupakan ahli lama Aliran dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kehormat pertubuhan itu dari tahun 1987 hingga 1989. Berkelulusan sebagai jurutera, beliau kini mewakili Aliran dalam rangkaian Solidariti Palestin di Pulau Pinang.


Dalam satu hantaran di media sosial pada 19 Oktober, Ahli Parlimen Pas Ahmad Marzuk Shaary cuba membuat perbandingan antara penindasan rakyat Palestin di bumi Palestin dengan kedudukan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia.

Beliau berkata, selepas 80 tahun ketibaan pendatang Yahudi, tanah Palestin tidak lagi dimiliki oleh penduduk asalnya. Ramai antara mereka kini menjadi pelarian di tanah sendiri.

Marzuk bercakap tentang pendatang Yahudi yang datang sebagai tetamu dengan helah dan kebijaksanaan duniawi, lalu secara beransur-ansur menguasai ekonomi, bandar strategik serta tanah, dan akhirnya memperoleh kuasa politik.

Beliau membuat perbandingan yang boleh dipersoalkan tentang bagaimana ekonomi Malaysia kini semakin dikuasai oleh minoriti agama dan etnik. Dakwanya, setelah mencapai Putrajaya, golongan minoriti ini kini menggubal undang-undang dan perlahan-lahan membina pengaruh politik mereka terhadap negara.

Dengan nada amaran, Marzuk berkata sejarah Palestin akan ditulis semula di Malaysia jika umat Islam di sini terus leka. Beliau menegaskan tanah ini tidak boleh dibiarkan menjadi Palestin kedua.

Seorang rakan dari Palestin berkata tentang kenyataan Marzuk itu: “Saya rasa tersinggung apabila faham maksud “tidak membenarkan pengulangan Palestin di Malaysia.

“Pada mulanya saya tidak faham… tetapi kemudian saya rasa sedih dan kecewa – bagaimana mungkin seseorang menyamakan bangsanya sendiri dengan Israel? Dan dalam masa yang sama menggesa supaya menyokong Palestin… ini hanya menunjukkan betapa sempitnya pemikiran si penutur.”

Saya menulis rencana ini sebagai seorang aktivis yang menyokong perjuangan Palestin, sebagai rakyat Malaysia daripada latar etnik dan agama minoriti, dan sebagai seorang insan berfikir. Pandangan seperti yang diutarakan oleh Marzuk sebenarnya menjejaskan perjuangan rakyat Palestin yang sudah pun berdepan cabaran amat besar. Pandangan berdasarkan anggapan salah ini juga merosakkan solidariti yang telah dibina oleh rakyat Malaysia biasa.

Tiada perbandingan dengan Palestin

Kini, ramai di seluruh dunia seharusnya tahu bagaimana negara Zionis Israel menubuhkan sendiri di bumi Palestin. Banyak rencana telah diterbitkan, termasuk di laman Aliran, tentang asal-usul ketidakadilan sejarah yang menimpa rakyat Palestin lebih satu abad lalu. Mereka masih menderita akibatnya hingga hari ini.

Beberapa fakta utama sejarah itu sepatutnya cukup untuk menunjukkan betapa tidak berasasnya perbandingan yang dibuat Marzuk. Beliau bercakap tentang pendatang Yahudi yang datang dengan helah dan kebijaksanaan duniawi lalu menguasai serta menyingkirkan penduduk asal Palestin. Itu benar – terutama antara tahun 1890 dan 1920.

Namun perbandingan yang cuba disamakan Marzuk antara pendatang ke Palestin dengan sejarah kedatangan imigran ke Malaysia dan kedudukan mereka kini adalah salah sama sekali.

Pendatang ke Palestin datang sebagai sebahagian daripada rancangan menubuhkan ‘tanah air kebangsaan’ untuk orang Yahudi – dengan mengorbankan rakyat Palestin. Mereka disokong sepenuhnya oleh kuasa imperialis ketika itu, Britain, kerana rancangan itu turut berkhidmat untuk kepentingan strategik empayar di Asia Barat.

Golongan Zionis bertujuan menakluki sebanyak mungkin tanah Palestin dengan seberapa sedikit rakyat Palestin. (Perlu diingat, ada perbezaan besar antara orang Yahudi dan Zionis.)

Rancangan mereka dilaksanakan dengan cara kejam – pemindahan paksa, keganasan Zionis, peperangan dan pembersihan etnik – sebagaimana yang kini dapat disaksikan dalam genosid di Gaza.

Pendatang baharu itu menanamkan diri mereka secara paksa sebagai sebahagian daripada projek penempatan-kolonial. Undang-undang digubal untuk menyokong kehadiran dan kelangsungan hidup mereka dengan menindas rakyat asal Palestin, sejak awal pendudukan British di wilayah itu.

Latar belakang ini langsung berbeza dengan pengalaman imigran Cina dan India di Malaysia. Memang benar mereka juga tiba dalam konteks penjajahan, tetapi mereka datang sebagai buruh – bukan sebagai penakluk yang disokong kuasa besar, dengan niat merampas tanah dan menyingkirkan penduduk asal.

Mereka menjadi buruh untuk siapa? Mereka hanyalah alat dan tenaga kerja di lombong bijih timah, ladang dan landasan kereta api. Operasi ini mengaut keuntungan besar untuk ekonomi British melalui eksploitasi sumber di Malaya. Sebaliknya, kebanyakan imigran ini ialah buruh kontrak yang hidup dalam keadaan amat sukar.

Menyamakan situasi yang sangat bertentangan ini – dan menuduh imigran miskin di Malaya dahulu mempunyai niat jahat seperti Zionis – adalah tidak wajar. Ia satu analogi yang tidak berfikir dan salah terhadap sejarah Palestin.

Lebih buruk, dengan menyamakan pendatang Zionis yang menindas rakyat Palestin dengan penduduk minoriti di Malaysia, Marzuk berisiko menyinggung keturunan mereka hari ini.

Keturunan itu kini menjadi sebahagian daripada jalinan masyarakat Malaysia dan menyumbang besar kepada kemajuan negara. Mereka mempunyai akar emosi dan psikologi yang mendalam di tanah ini. Adalah keterlaluan dan hodoh untuk membayangkan mereka sebagai ancaman seperti yang dilakukan pendatang Zionis di Palestin.

Pandangan keterlaluan

Semua ini sebenarnya tidak perlu. Tiada siapa yang waras akan mengatakan atau mempercayai bahawa minoriti etnik di Malaysia berniat merampas kuasa politik atau ekonomi, apatah lagi menyingkirkan penduduk asal. Maka jelas sekali, tiada pengulangan sejarah Palestin di Malaysia.

Cadangan sedemikian amat melampau dan tidak masuk akal. Namun, halaman Facebook Marzuk menunjukkan beliau mempunyai 85,000 pengikut.

Walau begitu, ada juga bumiputera yang mengkritik Marzuk dan menggesa beliau memohon maaf kepada kaum minoriti. Malah ada yang mahu Pas mengambil pendirian terhadap isu itu.

Mengapa pandangan ini keterlaluan? Sejak 1957, kaum Melaya telah berada di tampuk kuasa politik. Kuasa ini sentiasa dikongsi dengan wakil kaum lain, namun teras kepimpinan tetap dipegang oleh orang Melayu.

Tambahan pula, kepimpinan kerajaan dilantik oleh institusi raja-raja Melayu. Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, dan juga menjamin kedudukan istimewa orang Melayu serta pribumi.

Perlembagaan turut membenarkan kuota, keistimewaan dan sokongan institusi diberikan kepada bumiputera. (Sejauh mana dasar ini berjaya mengurangkan jurang ketidaksamaan ialah persoalan lain yang rumit, kerana ia turut melibatkan kelas elit merentasi semua komuniti etnik. Malah ketidaksamaan dalam sesuatu etnik boleh jadi lebih besar daripada antara etnik.)

Oleh itu, kedudukan bumiputra di Malaysia adalah bertentangan sepenuhnya dengan kedudukan rakyat Palestin di tanah air mereka. Bumiputera berada dalam kedudukan yang dilindungi, istimewa dan kukuh. Malah, kedudukan ini cukup kuat untuk membolehkan mereka berkongsi kuasa dan kek ekonomi dengan kaum lain – sesuatu yang menyumbang kepada keharmonian relatif di Malaysia.

Sebaliknya, ramai rakyat Palestin hidup di tanah sendiri sebagai pelarian dalam rejim pendudukan Zionis. Ada yang hidup sebagai warga kelas kedua di Israel, terutama di Baitulmaqdis dan kawasan dikenali sebagai wilayah 1948. Kawasan ini dijajah melalui kekerasan tentera dan perpindahan paksa.

Dalam dua tahun kebelakangan ini, dunia menyaksikan genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan, kini, yang semakin mengancam Tebing Barat.

Jelas sekali tiada asas untuk menyamakan bumiputera Malaysia dengan rakyat Palestin, dan tiada petanda bahawa bumiputera di sini akan kehilangan hak kepada minoriti. Dakwaan sedemikian bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga tidak bertanggungjawab.

Dan kaum minoriti di Malaysia?

Ada juga segelintir dalam kalangan minoriti di Malaysia yang menyamakan diri mereka dengan rakyat Palestin di bawah rejim Israel. Mereka melihat persamaan antara diskriminasi terhadap rakyat Palestin dengan pengalaman diskriminasi mereka sendiri di Malaysia.

Lalu mereka bertanya, jika anda prihatin terhadap hak rakyat Palestin dan menentang penindasan mereka, mengapa tidak bersuara untuk minoriti di Malaysia? Mengapa seseorang daripada kaum minoriti harus menyokong Palestin sedangkan isu itu dianggap hanya milik umat Islam?

Beberapa rencana lain telah menjelaskan bahawa isu Palestin bukan isu agama semata-mata, tetapi isu kemanusiaan yang berpunca daripada penjajahan dan perkauman – justeru ia sepatutnya menjadi keprihatinan semua yang menghargai kebebasan, maruah dan hak menentukan nasib sendiri.

Namun, keadaan minoriti di Malaysia tidak boleh disamakan dengan rakyat Palestin. Ini bukan untuk menafikan bahawa mereka juga menghadapi diskriminasi pada pelbagai peringkat – memang benar begitu. Tetapi membuat perbandingan menyeluruh antara Malaysia dan Palestin adalah keterlaluan.

Apartheid di Palestin yang diduduki

Rakyat Palestin di Baitulmaqdis, yang kononnya warga Israel, dinafikan hak dan keistimewaan yang diberikan kepada warga Yahudi. Penduduk Palestin di beberapa kampung sekitar Baitulmaqdis dilarang memasuki kawasan tertentu tanpa permit khas.

Seseorang rakyat Palestin di Tebing Barat yang mahu pergi dari satu tempat ke tempat lain perlu melalui banyak sekatan jalan. Sekatan dan perjalanan yang sepatutnya mudah menjadi hukuman dan penderitaan.

Proses mendapatkan permit khas ini juga rumit dan penuh dengan dasar penjajahan serta perkauman.

Sebagai contoh, rakyat Palestin di Tebing Barat dilarang menggali air bawah tanah melebihi kedalaman tertentu dan hanya dibenarkan menggunakan sumber air ‘bermusim’ (rujuk Eyal Weizman, Hollow Land, 2007).

Telaga yang digali untuk memenuhi keperluan rakyat sering ditutup dengan konkrit. Malah telaga berlesen juga dirobohkan, seperti berlaku pada 2025 apabila saluran air utama ke kawasan selatan Nablus dimusnahkan dengan sengaja.

Ratusan mata air semula jadi di Tebing Barat telah dirampas, dan rakyat Palestin dilarang menggunakannya sama sekali.

Sementara itu, peneroka haram Israel dibenarkan menggali telaga lebih dalam untuk mendapatkan air bawah tanah dan menggunakan mata air itu sesuka hati. Ini bermaksud keluarga Palestin yang sudah tinggal berabad lamanya tidak boleh mengakses air tersebut, sedangkan keluarga Yahudi yang baru tiba dari New York atau Florida diberi hak penuh.

Jika anda rakyat Palestin yang ingin membina rumah baharu, menambah bilik, menggali telaga atau membina kandang kecil, anda akan berdepan kesukaran besar mendapatkan permit daripada pihak berkuasa Israel.

Dan jika permit itu diperoleh sekalipun, keluasan bangunan yang dibenarkan jauh lebih kecil daripada yang diberi kepada peneroka baharu Yahudi di kawasan sama.

Inilah sebahagian daripada proses yang digelar “pengapartheidan luar wilayah” – di mana seseorang yang datang dari luar tetapi berbangsa ‘betul’ mempunyai lebih banyak hak daripada anda, walaupun keluarga anda telah hidup di situ berabad lamanya.

Bahkan banyak pihak mengakui dasar apartheid Israel lebih buruk daripada yang pernah diamalkan di Afrika Selatan. (Pelbagai pertubuhan hak asasi antarabangsa, Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan badan-badan PBB telah mengiktiraf Israel sebagai negara apartheid.)

Justeru, amat sukar bagi rakyat Palestin mendapatkan permit sah untuk membina rumah. Ramai akhirnya membina rumah tanpa permit kerana keluarga tetap memerlukan tempat tinggal. Rumah itu kemudian dirobohkan pihak Israel kerana dianggap “tidak sah”.

Disebabkan keadaan hidup yang serba terancam, ramai rakyat Palestin membina rumah mereka dengan konkrit mentah atau blok simen yang tidak disalut. Rumah Israel pula dibina dengan batu dan konkrit untuk kelihatan ‘asli’, lengkap dengan bumbung genting merah supaya mudah dikenal pasti sebagai rumah Yahudi – dan tidak dibom dari udara!

Di Tebing Barat, rakyat Palestin hidup di bawah pemerintahan tentera penjajah. Rumah dan kebun mereka boleh dirampas atau dimusnahkan oleh peneroka Yahudi dengan perlindungan tentera Israel.

Mereka juga boleh dibunuh – sewenang-wenangnya – tanpa sebarang hukuman terhadap pelaku. Penempatan haram baharu terus muncul, mewujudkan peta wilayah yang mustahil diselesaikan dan menafikan kemungkinan pembentukan negara Palestin yang berdaya maju.

Jika anda berada di Gaza yang diduduki tentera, sebarang usaha melawan hanya berbalas dengan genosid dan kebuluran.

Jelaslah, minoriti di Malaysia walaupun menghadapi diskriminasi tertentu, tidak pernah mengalami penderitaan seperti rakyat Palestin di tanah air mereka.

Perjuangan menegakkan keadilan di Malaysia – untuk golongan tertindas tanpa mengira kaum – memang penting. Namun, membandingkannya dengan keadaan apartheid di Palestin bukan cara yang berguna. Lebih baik kita menyokong perjuangan rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan, sama seperti kita memperjuangkan keadilan di Malaysia tanpa mengira kaum.

Perbandingan palsu tidak membawa manfaat

Kini seharusnya jelas – sama ada dilihat dari perspektif bumiputera atau minoriti – rakyat Malaysia jauh lebih bernasib baik. Perbandingan palsu hanya mencetuskan perpecahan dalaman yang lebih parah. Ini tidak baik untuk sesiapa.

Tanggapan terhadap ketidakadilan di Palestin kini kebanyakannya datang daripada orang Melayu Islam. Malangnya, protes daripada kaum minoriti terhadap kekejaman Israel dan sekutunya, terutama AS, masih kurang.

Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Isu Palestin bukan isu agama semata-mata tetapi isu kezaliman yang mendalam dan imperialis zaman moden. Ia seharusnya menjadi keprihatinan semua masyarakat di Malaysia.

Respons Malaysia yang terpolarasi melemahkan solidariti kita terhadap mangsa samseng kelas dunia.

Jadi, membuat perbandingan palsu yang menambah polarisasi ini akhirnya merugikan perjuangan Palestin.

Perkataan dan tingkah laku kita adalah penting

Donald Trump ialah watak utama yang membolehkan genosid di Gaza dan yang kini menjulang di Tebing Barat. Beliau menafikan sebarang keperluan akauntabiliti Israel atas kekejaman yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin sepanjang dua tahun lalu. Beliau menggunakan kuasanya menindas negara kecil dan mendiskriminasi minoriti – sambil berpakaian kemas dengan sut dan tali leher.

Namun, lihatlah bagaimana Trump disambut di Kuala Lumpur dengan tarian tradisional penuh gembira. Beliau turut bergoyang mengikut rentak, dan perdana menteri turut serta bersamanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuji “ketabahan dan keberanian” Trump, sambil berkata “dunia memerlukan pemimpin yang benar-benar memperjuangkan keamanan”. Beliau juga meluahkan rasa gembira atas kunjungan Trump, malah berkata mereka berkongsi “banyak persamaan”.

Anwar turut memuji pelan 20-perkara Trump untuk Gaza, yang – walaupun menghentikan pengeboman – penuh dengan ketidakadilan terhadap rakyat Palestin. Pelan itu juga menyingkirkan suara rakyat Palestin – seperti yang telah menjadi corak selama berdekad. Ia memberi ruang kepada apa yang disifatkan oleh Tribunal Rakyat Gaza di Istanbul sebagai “penjajahan proksi dan kawalan kolonial ke atas mangsa genosid”.

Semua ini amat ganjil. Segala retorik kita menyokong Palestin seolah-olah hilang begitu sahaja, digantikan dengan kekaguman terhadap kuasa besar kulit putih. Ia menyedihkan dan memalukan.

Setiausaha agung Pas Takiyuddin Hassan berkata Malaysia “terlalu berlebihan” menyambut Trump. “Ia menambah luka kepada rakyat Gaza yang masih menderita,” katanya, sambil menegaskan tindakan itu tidak sensitif terhadap krisis kemanusiaan yang sedang berlaku.

Takiyuddin betul dalam hal ini. Kenyataannya adalah contoh kenyataan yang bermaruah dan wajar disokong – bukan seperti kenyataan Marzuk yang tidak bijak dan hanya membawa mudarat kepada semua pihak, tanpa memberi manfaat kepada sesiapa.

AGENDA RAKYAT – Lima perkara utama

  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme

Penafian: Apa yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis. Ia tidak mewakili atau menggambarkan pendirian rasmi BuzzKini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.