fbpx
Now Reading
Suami Halang Isteri Jumpa Keluarga Lepas Kahwin, Boleh Atau Tidak? Ini Penjelasannya [Video]

Suami Halang Isteri Jumpa Keluarga Lepas Kahwin, Boleh Atau Tidak? Ini Penjelasannya [Video]

Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seorang isteri wajib taat kepada perintah suami selagi mana arahan tersebut tidak bercanggah dengan syarak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebaik seorang wanita itu dinikahkan, tanggungjawab menjaganya yang sebelum ini dipikul oleh ibu bapa telah berubah kepada si suami.

Oleh kerana itu dalam Islam, isteri wajib taat kepada pasangan asalkan arahan dan perintah yang dikeluarkan tidak bertentangan dengan syarak.

Namun yang sedihnya, ada wanita yang dihalang dari berjumpa dengan ahli keluarga selepas berkahwin.

Persoalannya, bolehkah suami berbuat demikian dan adakah perbuatannya dibolehkan mengikut Islam?

Boleh Jadi Haram & Harus Jika Suami Halang Isteri Jumpa Keluarga

Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat pelbagai pendapat ulama mengenai larangan suami yang menghalang isteri dari berjumpa dengan keluarga selepas kahwin.

Namun jelas mereka, hukum seorang suami menghalang isteri dari berjumpa atau ziarah ahli keluarganya tanpa sebab yang munasabah di sisi syarak adalah haram.

Pun begitu, jika suami menghalang isterinya dari berjumpa ahli keluarga atas tujuan untuk mengelakkan kemudaratan kepada pasangan dan perkahwinan yang dibina, maka ia diharuskan.

Adakah Isteri Wajib Taat Pada Arahan Suami?

Terang laman itu lagi, seorang isteri wajib taat kepada perintah suami selagi mana arahan tersebut tidak bercanggah dengan ketetapan dalam Islam.

Namun, ada sesetengah ulama berpendapat seorang isteri diharuskan keluar tanpa izin suami jika larangan yang dibuat boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus atau ibu bapa dalam keadaan uzur yang memerlukan khidmat anak.

Berdosa Jika Suami Larang Isteri Jumpa Ahli Keluarga – UAI

Dalam pada itu, penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus dalam satu video di YouTube miliknya turut menjelaskan perkara yang sama.

Terang beliau, seorang suami sepatutnya tidak boleh menghalang isteri untuk berjumpa ibu bapanya.

“Kalau ibu bapa isteri datang ke rumah, suami tak izin jumpa, suami itu berdosa. Adik-beradik isteri datang nak jumpa dengan bini kita, kita tak suka, kita marah, isteri kita jumpa juga, tak berdosa. Suami yang berdosa,” terangnya.

Maksud Sebenar Halangan Yang Dibuat Oleh Suami

Pada masa yang sama, UAI turut menjelaskan maksud sebenar halangan yang dibuat oleh suami.

“Maksud kita (suami) halang ni, maksudnya keluar sesuka hati, pergi rumah kawan, bukan rumah ibu bapa. Rumah ibu bapa dibenarkan syarak.

“Kalau kita tak suka dia (isteri) pergi rumah adik-beradik dia, adik-beradik dia datang, kita (suami) tak boleh halang, biar dia bercakap dan berjumpa kerana itu adik-beradik dia.

“Bukan kuasa veto, bukan kuasa mutlak (larangan suami terhadap isteri). Dalam kebanyakan hal (isteri) tak boleh keluar ke mana-mana tanpa izin suami.

“Kalau suami tak suka (isteri) jumpa kawan lama, tak boleh jumpa. Tapi kalau ibu bapa dan adik-beradik, tak menang suami. Boleh jumpa tetapi ikut kadar (masa) yang sepatutnya sebagai seorang isteri,” jelas beliau.

Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Kongsi Hal Rumah Tangga Di Media Sosial? Ini Jawapan Pejabat Mufti WP

Baca Artikel Berkaitan: Isteri Boleh Dapat Hak Jagaan Anak Walaupun Dikira Nusyuz, Peguam Syarie Jelas Sebabnya

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.