Betul Ke Pokok Yang Ditanam Atas Kubur Mendoakan Si Mati? Ini Jawapan UAI [Video]
Ustaz Azhar Idrus berkata, bagaimanapun perbuatan menanam pokok di atas kubur adalah dibenarkan dan bukannya dilarang di dalam Islam.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap kali menziarahi tanah perkuburan, kita pasti dapat melihat beberapa pusara yang dihiasi dengan binaan kepok dan juga pokok-pokok kecil yang ditanam di atas kubur.
Ahli keluarga si mati melakukan perkara itu sebagai tanda kasih sayang selain untuk mengekalkan kekemasan dan kebersihan pusara itu.
Namun, ada juga individu yang mendakwa bahawa pokok yang ditanam juga akan mendoakan si mati. Adakah benar perkara itu?
Boleh tanam tapi tak benar pokok yang ditanam mendoakan si mati
Susulan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra disapa UAI tampil memperjelaskan tentang perkara terbabit.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di saluran YouTube Ustaz Azhar Idrus Official, beliau berkata tidak benar pokok yang ditanam di atas kubur mendoakan si mati.
Bagaimanapun, UAI berkata perbuatan menanam pokok di atas kubur adalah dibenarkan dan bukannya dilarang di dalam Islam.
Pokok bertasbih kepada Allah SWT
Menurutnya, perkara yang benar adalah pokok berkenaan bertasbih kepada Allah SWT dan bukannya mendoakan si mati.
UAI turut berkongsi kisah Nabi Muhammad SAW yang menanam pelepah kurma yang masih hidup di atas dua kubur agar tumbuhan terbabit bertasbih dengan mudah-mudahan dapat meringankan azab si mati yang sedang diseksa di dalam kubur.
“Benda itu (tanam pokok atas kubur) tak salah, tapi jadi salah faham. Pokok bukan doakan si mati sebab yang doakan si mati anak dia, (pokok) yang ditanam bertasbih kepada Allah, semua yang hidup bertasbih kepada Allah,” katanya.
Kisah ini dipercayai merujuk kepada Riwayat al-Bukhari (1361) dan Muslim (292) seperti yang dikongsikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi ﷺ bersabda, ketika berjalan melewati dua kubur yang penghuninya sedang diseksa:
إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.”
Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Mereka (para sahabat) bertanya: “Kenapa anda melakukan ini?”. Baginda menjawab:
لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا
Maksudnya: “Semoga diringankan (seksaannya) selama batang pohon ini basah”
Menurut UAI lagi, setiap tempat yang bertasbih kepada Allah akan turunnya rahmat dan mudah-mudahan rahmat terbabit meringankan azab si mati.
UAI turut perjelas hukum waris hias kubur si mati
UAI juga sebelum ini pernah mengulas tentang hukum pewaris menghiasi kubur si mati. Menurut beliau, hukumnya dibolehkan atau dilarang mengikut situasi masing-masing.
Antara perbuatan yang makruh hukumnya apabila pewaris mewarna atau mengecat kubur dengan tujuan menghias semata-mata.
Namun jelas UAI, sesetengah ulama berpendapat hukumnya harus jika mengecat dengan niat mahu kubur kelihatan bersih serta kemas.
Baca Artikel Berkaitan: “Ni Bukan Taman Tema Ya” – Ramai Persoal Tindakan Hias Kubur Guna Lampu Lip-Lap [Video]



