“Jadi Depan Mata” – Tular Rakaman Cerun Runtuh & Pokok Tumbang Di Balik Pulau [Video]
Dalam video terbabit, kelihatan beberapa kereta dari arah bertentangan dipercayai tidak dapat mengelak dan dihempap pokok.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap kali berada di atas jalan raya, kita sentiasa berdepan dengan pelbagai risiko seperti kemalangan dan kecuaian pengguna lain.
Selain itu, bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang turut menambah bahaya di atas jalan raya.
Tidak dinafikan, bencana alam merupakan antara bahaya yang sukar diduga dan dihindari oleh pemandu dan penunggang motosikal.
Tular rakaman pokok tumbang di Balik Pulau
Seperti semalam (23 Oktober), tular di media sosial satu rakaman dashcam yang memaparkan tanah runtuh dan beberapa pokok di sebuah kawasan jalan raya di Bukit Baru, Balik Pulau, Pulau Pinang tumbang.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @danybhry, kejadian berkenaan berlaku akibat hujan lebat yang menyebabkan cerun di tepi jalan raya itu runtuh.
Dalam rakaman terbabit, jelas kelihatan pada awalnya keadaan di sana kelihatan seperti biasa namun secara tiba-tiba sahaja cerun runtuh dan pokok-pokok tumbang.
Pokok tumbang jadi depan mata, pemandu terus U-turn
Kejadian bencana alam terbabit yang berlaku di depan mata pemandu yang juga pemilik dashcam itu menyebabkan dia segera membuat pusingan U memandangkan jalan berkenaan tidak lagi dapat dilalui kerana ditutupi pokok tumbang.
“Jadi depan mata, Bukit Baru, Balik Pulau, tanah runtuh dan pokok tumbang,” tulisnya di kapsyen.
Dalam video terbabit, kelihatan beberapa kereta dari arah bertentangan dipercayai tidak dapat mengelak dan dihempap pokok.
Selain itu, kelihatan juga beberapa penunggang motosikal yang berlari menyelamatkan diri semasa pokok berkenaan tumbang.
Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah keberanian seorang lelaki yang berlari mendekati kawasan runtuhan untuk memberi amaran kepada kenderaan lain.
@danybhry Jadi depan mata. Bukit baru balik pulau tanah runtuh + pokok tumbang #penang #penangmalaysia #penangkini #fyp ♬ original sound – Daniel Bahary
Tular kereta cuba reverse elak dihempap pokok namun terhalang dengan kenderaan lain
Turut tular di media sosial satu lagi rakaman dashcam daripada sebuah kereta dari arah bertentangan.
Rakaman terbabit memaparkan beberapa buah kereta berusaha mengundur ke belakang bagi mengelak daripada dihempap pokok namun terhalang dengan kenderaan di belakang dipercayai kerana terdapat banyak kenderaan yang sudah beratur rapat.
@myra_murf Rasa nk record naik bukit ni, sbb konon2 nk healing mcm naik cameron, hujung2 😭😭😭😭 ku kluaq kereta dlu tgk ada pokok dak atas belah keta aku ni tkut sat bersambung tumbang plk satg .. tgk selamat baru masuk gostan keta patah balik.. fuhhhh… Allah syg lgi ni. Hati2 semua musim2 hujan ni #pokoktumbang #penang #allahuakbar #allahummashollialasayyidinamuhammad ♬ original sound – MeMyra
Netizen seram lihat pokok tumbang, dakwa kawasan terbabit sering berlaku tanah runtuh
Sementara itu, memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut berasa seram melihat kejadian pokok tumbang terbabit.
Malah, ada segelintir netizen yang mendakwa bahawa kawasan jalan di Bukit Baru sememangnya sering terjadi tanah runtuh apabila berlakunya hujan lebat.
Dalam pada itu, ada juga pengguna TikTok yang memuji keberanian penunggang motosikal yang sanggup membahayakannya nyawanya demi menyelamatkan pengguna jalan raya yang lain daripada dihempap pokok.
Sementara itu, bomba mengesahkan insiden tanah runtuh dan pokok tumbang di jalan Tun Sardon itu tidak membabitkan mangsa atau kenderaan yang terperangkap.
Laluan berkenaan kemudiannya ditutup dan kes diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Memetik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Shukor Zakaria, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan jalan akan ditutup dari 23 hingga 25 Oktober.







