“Bahayalah Pakcik” – Ramai Bimbang Lihat Warga Emas Bawa Skuter Elektrik Di Lorong Kanan MRR2 [Video]
Tindakan warga emas terbabit membawa skuter elektrik di tengah jalan raya dianggap sebagai berbahaya memandangkan ia bergerak secara perlahan dan menghalang kenderaan lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tidak dinafikan, penggunaan skuter elektrik semakin meningkat di Malaysia. Ramai yang menjadikannya sebagai alternatif pengangkutan kerana harganya yang murah, mesra alam dan mudah digunakan untuk perjalanan jarak dekat.
Namun, peningkatan ini turut menimbulkan isu keselamatan apabila ada sesetengah penunggang E-skuter yang menunggangnya di atas jalan raya.
Susulan itu, kerajaan telah melarang penggunaan skuter elektrik di jalan raya demi keselamatan semua pengguna dan ia hanya dibenarkan untuk digunakan di kawasan-kawasan tertentu sahaja.
Tular warga emas bawa skuter elektrik di tengah lebuh raya
Pun begitu, baru-baru ini tular pula di media sosial satu video yang memaparkan seorang lelaki warga emas menunggang skuter elektrik di lorong kanan Lebuhraya Kuala Lumpur Middle Ring Road 2 (MRR2) Lingkaran Karak.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di akaun Instagram Asal Gombak, kejadian dikatakan berlaku ketika waktu hujan dan lebuh raya sesak dengan kenderaan.
“Aduh bahayanya, risau bila tengok orang tua naik motor elektrik sampai ke tengah jalan di MRR2 Lingkaran Karak ni, dah lah cuaca hujan pula tu,” tulis di kapsyen.
Warga emas bawa skuter tengah jalan siap pakai helmet basikal
Dalam rakaman yang dikongsikan, kelihatan warga emas yang membawa skuter elektrik roda tiga secara perlahan itu memakai topi keselamatan basikal.
Pun begitu, ia tetap membahayakan memandangkan kebanyakan kereta dan penunggang motosikal yang melalui lebuh raya itu memandu dalam keadaan laju selain terdapat juga kenderaan-kenderaan berat.
Bahkan, tindakannya menggunakan lorong paling laju sememangnya membahayakan nyawa dirinya dan pengguna jalan raya yang lain.
“Mungkin keluarga dia pun terlepas pandang, kita doakan yang baik-baik sahaja lah,” tulisnya lagi.
Bawa skuter elektrik atas jalan raya satu kesalahan, boleh didenda dan dipenjara
Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Khairul Aswad menjelaskan bahawa perbuatan menunggang skuter elektrik di atas jalan raya adalah menyalahi undang-undang.
Menurutnya, mereka yang melakukan perkara itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Jelas Khairul Aswad, melalui Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021 yang telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 17 Disember 2021, penggunaan beberapa jenis kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya adalah dilarang.
“Ini termasuklah E-skuter, Hoverboard, Monowheel, Segway dan basikal elektrik tanpa kelulusan kerana kenderaan mikromobiliti hanya dibenarkan digunakan di kawasan yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian sahaja dan bukan di atas jalan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes seorang YouTuber bersama dua rakannya tular di media sosial menunggang skuter elektrik yang telah diubah suai di tengah jalan raya di negeri itu.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Naik Skuter Eletrik Bertiga, JPJ Melaka Cari YouTuber [Video]
Netizen pakat risau lihat warga emas tunggang skuter elektrik atas jalan raya
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial khuatir akan keselamatan warga emas terbabit yang menaiki skuter elektrik di tengah jalan raya.
Malah, ada yang menyatakan bahawa tindakan warga emas terbabit boleh mendatangkan kesusahaan kepada pengguna jalan raya yang terpaksa berada di belakangnya atau cuba mengelak untuk memotongnya.
Tidak kurang juga netizen yang mempersoal apakah tiada individu yang tampil menegur warga emas itu demi keselamatannya serta pengguna yang lain.



Baca Artikel Berkaitan: “Suka Nak Susahkan Orang” – 2 Pelancong Asing Tunggang E-Skuter Tengah Jalan Buat Netizen Berang



