Kibar Bendera Israel Termasuk Perbuatan Melampaui Batas Syarak, Kata Mufti WP
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, tindakan mengibarkan bendera rejim zionis merupakan perkara yang amat sensitif kerana ia berkait rapat dengan simbol kezaliman, penjajahan dan penindasan berpanjangan terhadap umat Islam di Palestin.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka adalah dilarang kerana termasuk dalam perbuatan yang melampaui batas syarak.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, hal ini kerana perbuatan itu secara tidak langsung seakan menzahirkan pengiktirafan terhadap kezaliman dan menyinggung sensitiviti umat Islam di seluruh dunia
Bercanggah dengan dasar luar Malaysia yang menolak hubungan dengan Israel
Katanya, tindakan itu juga bercanggah dengan dasar luar Malaysia yang menolak sebarang hubungan dengan negara haram terbabit.
“Oleh itu, umat Islam sewajarnya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam perkara yang boleh membawa kepada salah faham atau fitnah terhadap agama Islam dan perjuangan ummah Palestin,” katanya dipetik Sinar Harian.
Menurutnya, tindakan mengibarkan bendera rejim zionis merupakan perkara yang amat sensitif kerana ia berkait rapat dengan simbol kezaliman, penjajahan dan penindasan berpanjangan terhadap umat Islam di Palestin.
Kibar bendera Israel seolah-olah benarkan kekejaman dan pembunuhan umat Islam di Gaza
Susulan itu, beliau berkata tindakan sedemikian secara asasnya adalah dilarang kerana ia mengandungi unsur-unsur pengakuan atau pengiktirafan terhadap Israel, malah seolah-olah membenarkan kekejaman dan pembunuhan umat Islam di Gaza.
Menurutnya lagi, lazimnya perbuatan mengibarkan bendera secara terbuka dikaitkan dengan suatu bentuk pengiktirafan, penghormatan serta kecintaan terhadap entiti yang diwakili bendera itu.
Katanya, dalam konteks hubungan antarabangsa, perbuatan terbabit sering kali ditafsirkan sebagai isyarat persahabatan, persetujuan atau pengakuan terhadap legitimasi entiti tersebut.
Malaysia konsisten tak iktiraf Israel dan beri sokongan penuh kepada rakyat Palestin
Ujar Ahmad Fauwaz, Malaysia secara konsisten tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik, sejajar dengan pendirian Malaysia yang menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak kemerdekaan mereka.
“Tambahan pula, kerajaan Malaysia juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
“Antaranya menerusi kenyataan rasmi Wisma Putra dengan menyifatkan tindakan Israel sebagai barbaric airstrikes iaitu tidak bertamadun dan menyeru masyarakat antarabangsa agar segera mengambil tindakan menamatkan kekejaman yang berlaku,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Kibar Bendera Israel Di Kelantan: Penganjur Mohon Maaf & Sedia Beri Kerjasama Untuk Siasatan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Padah Kibar Bendera Israel, Lelaki Ini Dipenjara 6 Bulan & Denda RM500



