4 Pelajar Senior Di Melaka Terlibat Kes Rogol Tetap Duduki SPM – Fadhlina
Menteri Pendidikan berkata, walaupun kes rogol itu masih dalam siasatan, namun hak pelajar untuk menduduki peperiksaan tetap dipelihara selaras dengan prisip pendidikan untuk semua.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hujung minggu lalu, negara dikejutkan dengan berita seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Melaka yang menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dua pelajar senior dan apa yang lebih menjijikkan, perbuatan itu turut dilihat serta dirakam oleh dua pelajar lelaki lain.
Keempat-empat pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu kemudiannya telah ditahan polis selepas ibu mangsa tampil membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.
4 pelajar disyaki terlibat kes rogol tetap duduki SPM bulan depan
Terbaharu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan empat pelajar yang disyaki terlibat kes rogol itu tetap akan menduduki SPM yang dijadualkan pada 3 November depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, walaupun kes masih dalam siasatan, namun hak pelajar untuk menduduki peperiksaan tetap dipelihara selaras dengan prisip pendidikan untuk semua.
“SPM akan tetap diteruskan. Kita pastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan walaupun siasatan masih berjalan,” katanya dipetik Sinar Harian.
Mangsa masih dirawat di hospital
Menurutnya, mangsa masih ditempatkan di hospital dan belum dipindahkan ke rumah perlindungan, sementara menerima rawatan lanjut serta bimbingan psikologi.
Berkongsi lanjut, Fadhlina berkata tumpuan utama Kementerin Pendidikan (KPM) pada ketika ini adalah memastikan semua pelajar di sekolah berkenaan termasuk calon SPM serta guru-guru mendapat sokongan emosi dan psikologi sepenuhnya.
“Kaunselor-kaunselor akan diturunkan ke sekolah untuk membantu warga pendidik dan pelajar supaya persiapan mereka menghadapi SPM tidak terganggu. Sekolah ini merupakan antara yang terbaik di Melaka, jadi kita berikan perhatian penuh,” katanya lagi.
Mangsa dirogol ketika patah balik ke kelas ambil bahan projek Sains
Terdahulu, kejadian pelajar berusia 15 tahun itu dirogol bergilir-gilir berlaku kira-kira 2.50 petang dipercayai pada 2 Oktober lalu di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.
Kejadian itu dikatakan terbongkar selepas video aib perbuatan tidak bermoral terbabit tersebar dalam kalangan pelajar sebelum dimaklumkan kepada guru seterusnya diketahui ibu mangsa.
Menurut sumber dipetik Sinar Harian, sebelum kejadian, pelajar perempuan itu telah berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal. Namun, sebaik mangsa menyedari ada dua pelajar lelaki menghendapnya dari celah pintu kelas, dia segera mahu beredar.
“Tetapi suspek pertama tiba-tiba menarik tangannya, menutup mulut dan menolaknya semula ke dalam kelas. Manakala seorang lagi suspek bertindak mengawal kawasan tangga dan dua rakan mereka turut berada di dalam kelas menyaksikan perbuatan terkutuk itu,” kata sumber.
Bogelkan mangsa, rogol dan rakam
Tambahnya, suspek pertama kemudian telah bertindak membogelkan dan merogol mangsa, sebelum suspek kedua turut melakukan perkara sama sementara seorang lagi rakannya merakam kejadian menggunakan telefon bimbit milik suspek pertama, manakala seorang lagi menjaga kawasan kelas.
Katanya, mangsa yang trauma dan ketakutan enggan ke sekolah selepas kejadian itu sehinggalah ibunya dimaklumkan oleh guru tentang penyebaran video berkenaan.
“Selepas melihat video tersebut, ibu mangsa membawa anaknya membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah. Mangsa kini dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut dan masih menjalani rawatan serta sesi kaunseling,” ujarnya lagi.



