Kenali Unit 8200, Agensi Risikan Siber Rahsia Milik Israel
Sebenarnya Unit 8200 ini bukanlah satu perkara baru, ia mula ditubuhkan selepas kewujudan negara haram itu pada 1948 dan kini menjadi unit ketenteraan terbesar dalam IDF.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kebelakangan ini, sering dilihat di dalam media sosial beberapa pengguna memuat naik posting atau memberikan komen dengan hanya meletakkan angka 8200.
Kebanyakan komen ini ditujukan kepada individu-individu yang seakan menunjukkan sokongan terhadap Israel, malah mereka dituduh sebagai ejen Mossad atau geng Hasbara.


Mungkin ada di antara kita yang masih tertanya-tanya apa sebenarnya 8200 ini dan apa kaitannya dengan negara haram itu? Jadi, mari kami kongsi kepada korang apa itu Unit 8200.
Apa itu Unit 8200? Sama ke dengan ejen Mossad?
Unit 8200 (Shmone Matayim dalam bahasa Hebrew) ialah unit risikan isyarat dan peperangan siber utama dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF). Ia boleh diibaratkan seperti ‘otak digital’ tentera Israel sama seperti peranan Agensi Keselamatan Negara (NSA) di Amerika Syarikat atau GCHQ di Britain.
Unit ini mula ditubuhkan selepas kewujudan negara haram itu pada 1948 dan kini menjadi unit ketenteraan terbesar dalam IDF. Menurut Jewish Press, penubuhannya adalah pada 1952.
Anggota Unit 8200 ini terdiri daripada anak muda berusia sekitar penghujung belasan tahun dan awal 20-an yang dikenal pasti memiliki bakat luar biasa dalam teknologi dan programming. Mereka ini dilatih dalam suasana kerja yang menyerupai syarikat pemula (startup), di mana kreativiti dan idea baharu sangat digalakkan.
Unit 8200 ini beroperasi di bawah IDF sementara Mossad (Central Institute for Intelligence and Special Operations) pula adalah Agensi Risikan Luar Negara Israel. Walaupun berbeza, kedua-duanya sering bekerjasama dalam operasi rahsia untuk kepentingan keselamatan dan strategi Israel secara menyeluruh.
Secara ringkasnya, Mossad itu umpama spy antarabangsa manakala Unit 8200 berfungsi untuk melakukan risikan eletronik, perang siber (cyberwarfare) dan juga propaganda.
Ini juga membuatkan timbul desas desus yang mengatakan Unit 8200 adalah antara penggerak ‘Hasbara’ iaitu operasi global dalam media sosial yang bertujuan memberikan ‘kefahaman’ tentang Israel.
Tugas mereka adalah mencetuskan propaganda agar masyarakat dunia kasihan dan mula menyokong mereka – sesuai dengan maksud Hasbara dalam bahasa Hebrew (Ibrani) yang bermaksud menjelaskan.
Apa peranan dan tanggungjawab Unit 8200 ni?
Pasukan ini bertanggungjawab dalam mengumpul maklumat rahsia dan menjalankan operasi siber strategik bagi memastikan keselamatan Israel.
Unit 8200 juga berperanan mengumpul risikan isyarat, menyahsulit kod rahsia, menjalankan kontra risikan, peperangan siber, dan operasi rahsia.
Kesemua ini bertujuan menyokong keselamatan negara haram itu dan operasi ketenteraan Israel secara efektif dan bersepadu.
Memetik READ, unit 8200 turut membangunkan model AI mirip ChatGPT dengan menggunakan data perbualan rakyat Palestin hasil pengawasan besar-besaran.
AI ini digunakan untuk mengenal pasti suspek dan mempercepat operasi risikan selepas serangan Hamas 2023, dengan bantuan pakar teknologi syarikat besar secara tidak langsung seperti Google dan Meta.
Sejarah serangan Unit 8200
Unit 8200 dikatakan pernah terlibat dalam serangan siber terhadap musuh rejim zionis seperti mencipta virus komputer Stuxnet yang pernah melumpuhkan sistem nuklear Iran pada 2005 hingga 2010.
Malah, mereka juga dipercayai terlibat dalam serangan menggunakan pager yang dipasang bahan letupan, menyebabkan kematian dan kecederaan anggota Hezbollah di Lubnan. Operasi ini menunjukkan keupayaan mereka dalam serangan siber dan sabotaj fizikal secara rahsia dan berkesan.
Selain itu, sebelum ini ada laporan yang mendakwa Unit 8200 pernah menggodam sistem telekomunikasi sebuah syarikat milik kerajaan Lubnan pada 2017 dan membantu menggagalkan rancangan serangan ISIS terhadap pesawat penumpang pada 2018.
Unit 8200 ini juga pada 2023 pernah menggunakaan AI untuk membantu mengenal pasti sasaran Hamas selain mereka juga menjalankan pengintipan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
Ada direct connection ke antara unit 8200 dengan Hasbara?
Pengamatan kami tiada sebarang bukti rasmi yang dapat mengaitkan seluruh Unit 8200 dengan aktiviti ‘cyber troopers’ yang ada pada masa ini.
Namun pada 2015, Jewish Press ada melaporkan yang Kementerian Luar Israel akan merekrut bekas anggota Unit 8200 untuk menyokong aktiviti di media sosial atau komunikasi digital.
Pasukan yang akan beroperasi di bawah Jabatan Hasbara (Perhubungan Awam) Kementerian Luar Israel ini terdiri daripada sekumpulan individu kira-kira sepuluh orang anggota yang mahir dalam bahasa Arab serta teknologi. Tugas utamanya pula adalah memerangi hasutan anti-Israel di media sosial.
Sebut sahaja aktiviti media sosial pasti ramai yang boleh faham maksudnya bukan?
Dengan keupayaan Israel juga, ramai yang percaya adalah tidak mustahil yang penyokong unit ini sudahpun berada dalam persekitaran media sosial di Malaysia sehingga wujudnya gelaran geng 8200 atau geng Hasbara.
Ini boleh dilihat dengan lambakan komen-komen bernada pro-Israel dalam bahasa Melayu yang menyebarkan propaganda tahyul dan menutup kekejaman sebenar Zionis pada mata dunia.
Bahkan ada segelintir masyarakat percaya ia satu cubaan untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama walhal semua tahu Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin.
Malah ia juga seperti alat propaganda Israel untuk menyebarkan naratif jahat mereka kepada dunia sebagai contoh menuduh Hamas mencuri bantuan dan bekalan yang disalurkan oleh PBB seolah-olah Hamas adalah penyebab kebuluran di Gaza.
Namun sama ada mereka direkrut atau tidak, atau ia adalah bot kami tiada jawapannya. Pun begitu untuk mengatakan yang perbuatan itu adalah satu cubaan memecahbelahkan semangat kekitaan rakyat Malaysia, ia adalah tidak mustahil.
View on Threads



