Tular Kenari Dipandu Melulu Hingga Langgar Beberapa Kenderaan Lain, Pemandu Rupanya Positif Dadah [Video]
Jelas Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 & Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (5 Oktober), tular di media sosial video sebuah kereta Perodua Kenari berwarna putih melanggar seorang penunggang motosikal.
Bukan itu sahaja, kereta kenari berkenaan dilihat turut melanggar beberapa buah kereta lain malah mencelah di antara kenderaan tersebut.
Menerusi video tular, pemandu itu bagaimanapun dilihat berjaya ditahan oleh orang ramai sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.
Tindakan pemandu Kenari terbabit nyata menjadi perhatian hingga ramai pengguna media sosial mengecam tindakannya yang memandu secara melulu hingga menyusahkan pengguna lain.
Menerusi video lain yang tular, pemandu berkenaan mendakwa bertindak demikian kerana dirinya dikejar seorang rider.

Pemandu Perodua Kenari Rupanya Positif Dadah
Terbaharu, polis telahpun menahan pemandu kereta berkenaan kerana memandu secara melulu sehingga merempuh motosikal dan beberapa kenderaan lain berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan St Elizabeth di Jalan Oya, Sibu, Sarawak, semalam (5 Oktober).
Menurut Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, pemandu terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.
Siasatan Mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 & Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952
Jelas Zulkipli, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sibu telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
Jika sabit kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta boleh hilang kelayakan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang dua tahun.
“Dalam masa yang sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan keputusan ujian air kencing yang positif dadah jenis amphetamine.
“Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit (RM5,000) atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Memetik Berita RTM, pemandu Kenari terbabit turut ditahan reman selama lima hari.
Zulkipli turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan selain memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH SIBU : KEJADIAN LANGGAR MELIBATKAN SEBUAH KERETA DAN MOTOSIKAL – VIDEO TULAR DI MEDIA…
Posted by Polis IPD Sibu on Sunday 5 October 2025
Baca Artikel Berkaitan: Tular Mercedes Dipandu Melulu, Warga Emas Ditahan Kurang 24 Jam Selepas Diburu Polis [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Tindakan Rider Turun Motor & Kata Padan Muka Pada Myvi Pandu Melulu Hingga Terbabas Raih Perhatian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Rakan Maut Selepas BWM Biru Dipandu Melulu Terbabas Di Lebuhraya MEX



