MARA Tawar Bantuan Pelajar Cemerlang Berhenti Belajar Kerana Miskin & Kerja Kilang Untuk Bantu Keluarga
Pelajar dikenali sebagai Mohammad Aiman Afiq mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan bekerja sebagai operator kilang selepas tidak berjaya mendapatkan biasiswa untuk meneruskan pelajaran.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular satu hantaran di media sosial mengenai seorang pelajar lelaki yang terpaksa berhenti menuntut pengajiannya selepas biasiswa dihentikan oleh pihak universiti.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh Mohd Norhiesam Sham di Facebook, pelajar dikenali sebagai Mohammad Aiman Afiq Mohd Basri, 19, merupakan bekas pelajar cemerlang di Maktab Rendah Sains Mara Transkrian Nibong Tebal, Pulang Pinang yang mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia kemudian meneruskan pembelajaran di sebuah universiti diperingkat asasi dan berjaya mendapat keputusan CGPA 3.87 namun tidak dapat meneruskan pelajaran kerana biasiswa ditamatkan oleh universiti berkenaan. Aiman mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan bekerja sebagai operator kilang di Bukit Minyak, Bukit Mertajam.
Bapa kepada pelajar ini, Mohd Basri Abdul Manas, 51, tidak bekerja kerana sakit kemurungan kritikal manakala ibu, Rashidah Ali, 51, mengambil upah membungkus nasi lemak setiap pagi dengan gaji RM20 sehari dan ambil upah susun ubat stapler di rumah dengan upah tak sampai RM10 sehari.
MARA tawar pembiayaan belajar jurusan kejuruteraan elektrik dan lalu kerjaya yang baik
Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Raya (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi laman media sosialnya memaklumkan pihaknya akan membantu pelajar berkenaan.
“Pagi-pagi dah terima mesej ada pelajar cemerlang SPM 9A, asasi 3.87 (CGPA) berhenti belajar untuk kerja kilang sebab faktor kemiskinan. MARA akan tawar pembiayaan belajar kejuruteraan elektrik dan laluan kerjaya yang baik di British Malaysia Institute (BMI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL),” jelasnya.
Sudah minta UMNO Bahagian untuk bantu dapatkan bantuan keluarga pelajar ini
Menurut Dr Asyraf, beliau tersentuh dengan perkara itu kerana Mohammad Aiman merupakan bekas pelajar MRSM dan mempunyai bapa yang sedang sakit manakala ibu bekerja membungkus nasi lemak.
“Apabila pelajar ini dapat e-mel bahawa pihak universiti tidak dapat menawarkan bantuan, beliau ambil keputusan sendirian untuk tidak meneruskan pengajian ke kampus induk setelah berjaya menamatkan pembelajaran di peringkat asasi dengan mendapat keputusan cemerlang CGPA 3.87.
“Sebaliknya, beliau bekerja kilang untuk menampung keluarga. Saya sudah minta UMNO Bahagian untuk bantu dapatkan bantuan kepada keluarga ini.
“Saya sendiri nak berjumpa dengan pelajar ini untuk memujuknya meneruskan pengajian. Saya dah berbincang dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara, Ir. Dr. Mahzan Teh lepas subuh tadi dan bersetuju untuk menawarkan tempat dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di BMI bawah UNIKL yang seiring dengan pencapaian keputusan asasinya.”
Malah beliau percaya hanya ilmu sahaja yang boleh mengubah kehidupan seseorang.
Melihat di ruangan komen, ramai yang mendoakan agar urusan untuk membantu anak muda itu dipermudahkan.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan anakanda yang hebat ini meneruskan pengajian. Terima kasih datuk atas bantuan. Semoga beliau dan keluarga tabah menghadapi dugaan.”

“Terima kasih Datuk kerana MARA ambil anak ini. Nak-nak pula bekas pelajar MRSM, sayang jika tak dibantu. Pelajar yang pandai. Betul lah tu, hanya dengan ilmu sahaja dapat mengubah kehidupan kita semua”

“Allahu, sedihnya baca kisah anak cemerlang ini. Alhamdulillah, berjumpa dengan Dr Asyraf..”

“Allahu tak sabar nak tengok. Nanti dr share ya videonya. Bagus dia, alhamdulillah dapat dia sambung belajar. Semoga terus berjaya untuk membantu keluarganya di masa akan datang”




