Perlu MyKad & Lesen Memandu Aktif Untuk Nikmati RON95 RM1.99 Seliter Mulai 30 September
Bagi golongan yang tidak layak di bawah program BUDI95, mereka akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bermula 30 September ini, rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu aktif akan menikmati RON95 berharga RM1.99 seliter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manfaat itu akan diperoleh rakyat menerusi program subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Kerajaan telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini (22 September).
Golongan tidak layak BUDI95 akan beli RON95 dianggar sekitar RM2.60 seliter
Bagi golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
“Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik. Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia.
“Penjimatan daripada peralihan kepada BUDI95 ini akan diagihkan semula untuk manfaat rakyat seperti melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas,” katanya.
Siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan
Menurutnya lagi, semua penerima BUDI95 juga layak mendapat RON95 berharga RM1.99 seliter itu sehingga 300 liter sebulan.
Ujarnya bagaimanapun, pemandu e-hailing diberi pengecualian dan daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan di mana lebih 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah ini.
Kerajaan juga telah mengambil langkah untuk memudahkan proses rakyat Malaysia memanfaatkan BUDI95 ini antaranya:
- Tiada pendaftaran diperlukan.
- Hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi.
- Terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan. Di samping itu, terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo.
Kerajaan juga menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.
Tular video dakwa cara guna MyKad untuk isi minyak RON95
Sebelum ini, tular video yang berkongsi pada rakyat Malaysia cara untuk menggunakan MyKad di bawah program BUDI95 bagi membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Menerusi video tersebut, kaedah yang akan digunakan adalah sama dengan MyKasih atau SARA iaitu dengan menggunakan mesin mengimbas MyKad.



