Ibu Ayah Jangan Stres! Ini Tanda Bila Si Kecil Dah Ready Untuk ‘Potty Train’
Menurut Pakar Pediatrik, Dr Nisa Khalil, tanda anak kecil bersedia untuk potty train (latihan tandas) akan mula nampak sewaktu mereka berusia 18 hingga 30 bulan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap hari, ada sahaja perkara baharu yang dipelajari oleh si kecil. Antara perkembangan yang biasa dilihat adalah si cilik mula mengenali orang di sekeliling selain mempelajari bahasa dan melakukan sesuatu yang baharu dalam kehidupan seharian.
Kebanyakan ibu bapa sememangnya berasa teruja dengan perkembangan terbaharu si comel ini.
Namun, ada juga yang risau lebih-lebih lagi jika perkembangan anak dilihat agak lambat berbanding dengan kanak-kanak yang lain.
Doktor Jelaskan Potty Training Bukan Satu Perlumbaan
Buat ibu bapa yang risau si kecil masih lagi tidak boleh berdikari sendiri lebih-lebih ketika membuat latihan tandas (potty training), anda tak perlu risau.
Menurut pakar pediatrik, Dr Nisa Khalil dalam satu hantaran di platform Threads, beliau ada menerangkan waktu yang sesuai untuk melatih anak kecil tentang latihan tandas.
Namun ibu bapa tidak perlu risau jika melihat kanak-kanak lain lebih ‘berjaya’ berbanding anak sendiri.
“Potty training bukan perlumbaan. Ia satu kemahiran dan setiap anak belajar mengikut masa yang berbeza,” jelasnya.
Tanda Anak Dah Ready Diajar Potty Training
Melalui perkongsian tersebut, Dr Nisa ada menjelaskan waktu yang sesuai si kecil anda menunjukkan tanda bersedia untuk potty training.
Kebiasaannya, tanda tersebut akan mula nampak ketika mereka berusia 18 hingga 30 bulan.
Antara tanda-tanda tersebut adalah:
- Anak sudah mula boleh duduk dan bangun sendiri
- Lampin bayi berada dalam keadaan kering lebih dari 2 jam. Ini menandakan terdapat kawalan pundi kencing
- Anak boleh mengikut arahan mudah
- Si kecil mula menunjukkan rasa tidak selesa bila lampin basah
- Pandai beritahu keinginan untuk membuang air kecil.
Memetik laman Hello Doktor, tanda lain yang boleh dikesan adalah:
- Mereka boleh meniru gaya dan tindakan ibu bapa
- Boleh masuk dan keluar bilik air tanpa bantuan
- Boleh menanggalkan seluar sendiri
- Boleh duduk di atas tempat duduk tandas tanpa bantuan

Tips Buat Ibu Bapa, Bila Sepatutnya Tidak Boleh Paksa Anak?
Bagi memastikan latihan tandas si anak berjaya, Dr Nisa turut berkongsikan tips yang boleh dibuat oleh ibu bapa.
- Mulakan potty training dengan lembut dan tidak memaksa anak.
- Biar anak mengikut rutin (membuang selepas bangun tidur dan sebelum mandi)
- Puji usaha anak bukan result yang dihasilkan
- Jangan malukan jika anak ‘membuang’ tanpa sengaja
- Tunjuk model dan buku cerita untuk membantu anak dalam potty training
Pada masa yang sama, Dr Nisa turut menjelaskan waktu yang tidak sesuai untuk ibu bapa memaksa anak untuk latihan tandas.
Waktu tersebut adalah:
- Bila berlaku perubahan besar seperti anak baru dapat adik atau masuk ke taska
- Anak jelas menunjukkan rasa takut dan menolak sekerasnya
- Bila ibu bapa rasa tertekan kerana anak boleh merasa ‘tekanan’.
View on Threads
Cara Ajar Anak Potty Training Mengikut Jantina
Buat ibu bapa yang mahu mulakan latihan anak ke tandas, mungkin anda boleh mengajar anak potty training seperti yang disarankan oleh laman Hello Doktor mengikut jantina si kecil.
#1 Peralatan Latihan Tandas
Peralatan yang sesuai amat penting bagi memastikan latihan ini berjaya. Ibu bapa disarankan untuk membeli tempat duduk tandas (over-the-toilet seat) yang sesuai di pasaran sama ada anak lelaki atau perempuan.
Ibu bapa juga boleh menggunakan tandas mini bagi kedua-dua jantina namun bagi melatih anak perempuan, penggunaan potty chair amat disarankan memandangkan ia membantu menenangkan lantai pelvis mereka.
Pun begitu, jika ibu bapa memilih untuk menggunakan tempat duduk tandas, anda boleh mempertimbangkan untuk menyediakan bangku tangga.
Bagi anak lelaki, mereka boleh sahaja menggunakan peralatan yang sama namun perlu menyesuaikan diri dengan cara berbeza.
#2 Posisi Duduk Yang Berbeza
Bagi anak perempuan, ibu bapa disarankan untuk menggalakkan mereka duduk ke belakang dalam keadaan lutut terbuka. Keadaan ini boleh membantu otot pelvis si kecil berehat.
Berbeza dengan anak lelaki, mereka perlu menolak zakar ke bahagian bawah sebelum atau semasa duduk agar tidak berlaku ‘percikan air kecing’ ke merata-rata bahagian bilik.
Buat kanak-kanak lelaki, mereka perlu mencondongkan badan ke hadapan bagi memastikan alat kemaluan mereka kekal menghala ke bawah ketika proses membuang air kecil berkaku.
Namun jika mereka mahu melakukannya dalam keadaan berdiri, bantu mereka untuk kekal berdiri berhampiran tandas dan kaki berada dalam keadaan terbuka agar air kencing menuju ke arah yang betul.
Memetik Hello Doktor, jika ada anak perempuan yang mahu mencuba kencing berdiri, biarkan sahaja kerana pada akhirnya mereka akan menyedari bahawa cara tersebut tidak sesuai dengan jantina mereka.

#3 Teknik Mengelap Dalam Potty Training
Teknik mengelap dan menyapu kemaluan juga berbeza mengikut jantina.
Dalam melatih anak perempuan, ibu bapa perlu mengajar si kecil untuk mengelap bermula depan ke belakang dan ia seharusnya diamalkan sejak kecil lagi.
Cara sebegini penting bagi mencegah penyebaran jangkitan saluran kencing (UTI) yang sering berlaku dalam kalangan kaum Hawa memandangkan keadaan uretra lebih pendek dan dekat dengan dubur.
Bagi lelaki pula, apa yang penting adalah memastikan mereka mengawal kedudukan zakar semasa kencing.
Kesimpulannya, ibu bapa perlu bersabar dalam melatih anak mereka menjalani latihan tandas.
Ini kerana proses sebegini sememangnya mengambil masa apatah lagi ia merupakan perkara baharu buat si kecil.
Baca Artikel Berkaitan: Pakar Pediatrik Jelaskan Kenapa Anak Gemar Makanan Yang Sama, Ibu Ayah Jangan Risau!
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Anak Mudah Cranky Ketika Cuaca Panas? Ini Penjelasan Pakar Pediatrik
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Lap Bayi Dengan Air Asam Jawa Jika Demam? Ini Penjelasan Pakar



