Tular Lelaki Selamba Bawa Bir Ke Restoran Halal, Siap Tuang & Minum Guna Cawan Kedai
Menurut seorang individu, staf di restoran berkenaan ada datang menegur tindakan lelaki terbabit, namun dakwanya pelanggan itu sebaliknya memarahi pekerja tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui, hukum meminum arak bagi umat Islam adalah haram dan berdosa besar jika dilakukan dengan sengaja.
Di Malaysia, bukan hanya Muslim sahaja yang mengetahui tentang perkara ini, bahkan kebanyakan rakyat yang bukan beragama Islam turut cakna mengenainya.
Malah, mereka juga menghormati perkara itu dengan tidak meminum arak di kawasan awam terutamanya kedai makan yang memegang sijil halal dan dikunjungi umat Islam.
Tular lelaki bawa dan tuang bir dalam cawan restoran halal
Bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan seorang lelaki ini yang didakwa membawa setin bir ke dalam sebuah restoran halal dan menuangnya ke dalam cawan milik kedai berkenaan yang terletak di Kajang, Selangor.
Perkara ini dikongsikan oleh seorang pengguna Threads yang berada di restoran nasi ayam berkenaan semasa kejadian berlaku.
Individu itu juga mempersoal adakah tindakan sedemikian dibenarkan dan tidak menyalahi undang-undang.
“Nak tanya boleh ke minum bir dalam restoran? Mintak cawan kosong dengan staf lepastu bawa keluar bir dan tuang ke cawan itu,” soalnya.
Staf dah tegur, lelaki minum bir tetap berdegil
Menurutnya, staf di restoran berkenaan ada datang menegur tindakan lelaki terbabit, namun dakwanya pelanggan itu telah memarahi pekerja tersebut.
“Staf siap panggil sekuriti lagi. Sekuriti datang dan jelaskan kepada lelaki itu juga, tapi dia degil siap marah lagi. Kemudian sentiasa cakap ‘kita satu Malaysia’.
“Bila orang tegur, dia cakap dia nak makan senang-senang dengan anak dia yang baru balik sekolah pun orang nak kacau,” dakwa individu itu.
Malah, staf berkenaan dikatakan telah membuang gelas yang digunakan oleh lelaki itu.
Arak bukan najis berat, cukup sekadar cuci dengan air bersih
Arak sememangnya termasuk dalam kategori najis bagi umat Islam, namun ia bukanlah najis mughallazah (berat) yang perlu disertu, sebaliknya cukup sekadar mencucinya dengan menggunakan air yang bersih.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menjelaskan bahawa pakaian yang terkena arak wajib dicuci terlebih dahulu sebelum digunakan untuk solat.
Bahkan, pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus juga sebelum ini pernah menyatakan bahawa cawan bekas arak perlulah dibasuh sehingga bersih terlebih dahulu sebelum digunakan untuk diminum oleh umat Islam. Sekiranya tidak dicuci atau masih terdapat kesan arak, maka hukumnya adalah haram.
Kedua-dua pandangan ini jelas menunjukkan bahawa bekas arak tidaklah perlu disertu atau disamak, sebaliknya cukup sekadar mencucinya sehingga bersih.
Kalau bukan najis berat, jadi apa masalahnya?
Tidak dinafikan, ada individu yang berfikiran bahawa isu lelaki terbabit meminum bir di dalam cawan milik restoran halal bukanlah isu yang besar memandangkan ia tidak menjadi masalah sekiranya dicuci sehingga bersih terlebih dahulu sebelum digunakan oleh pelanggan lain.
Memang benar, namun fokus utama yang perlu dilihat adalah mengenai kehormatan terhadap agama lain dan lebih penting adalah menghormati restoran itu sendiri yang memiliki sijil halal.
BuzzKini juga telah menghubungi seorang pegawai di bahagian hab halal JAKIM dan meminta penjelasan lanjut berhubung perkara ini.
Restoran pemegang sijil halal tak boleh biarkan pelanggan bawa masuk arak dan minum – JAKIM
Pegawai berkenaan menjelaskan bahawa restoran yang memegang sijil halal JAKIM tidak boleh membiarkan pelanggan membawa arak dan meminumnya di dalam premis.
Meskipun bekas arak tidak perlu disertu, namun tegas beliau pelanggan perlulah menghormati restoran yang memiliki sijil halal sama seperti kedai makan yang meletakkan larangan merokok.
Malah, pegawai itu turut menyatakan bahawa tindakan sedemikan boleh mengundang fitnah dan menjejaskan reputasi restoran berkenaan sekiranya pihak restoran tidak mengambil apa-apa tindakan.
Namun dalam kes ini, jelas pekerja restoran berkenaan telah tampil menegur perbuatan lelaki itu, malah mengambil tindakan tambahan yang sebenarnya tidak wajib iaitu dengan membuang gelas tersebut.
Ramai kecam tindakan lelaki minum bir dalam restoran halal
Perkongsian terbabit mendapat perhatian ramai di mana rata-rata pengguna media sosial tanpa mengira bangsa dan agama mengecam tindakan lelaki terbabit.
Pada pendapat mereka, perkara itu perlu dipandang serius memandangkan restoran terkenal berkenaan merupakan pemegang sijil halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Tidak kurang juga yang menginginkan lelaki terbabit dikenakan tindakan atas perbuatannya itu.










