‘Tak Nak Nampak Kampung’, Wanita Selamba Jual Myvi Kekasih Demi Beli Beg Chanel
Luah teman lelakinya, kejadian tersebut berlaku semasa dia sedang berada di luar kawasan (outstation) selama beberapa hari.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Tidak dinafikan, di dalam dunia ini ada sahaja manusia yang amat menitik beratkan soal pandangan orang lain terhadap dirinya.
Maka tidak peliklah jika golongan sebegini sanggup berhabis duit agar tampak bergaya dan kaya dengan barangan-barangan berjenama mewah. Bak kata pepatah, ‘biar papa asal bergaya’.
Bahkan kita juga sering mendengar ada individu yang sanggup berhutang demi membeli barangan mewah yang tidak mampu dibelinya dengan menggunakan wang yang ada.
Lelaki luah teman wanita sanggup jual keretanya demi beli beg tangan mewah
Pun begitu, lain pula kisah dengan seorang lelaki ini yang tular di media sosial selepas dia mendakwa kekasihnya tergamak menjual kereta jenis Perodua Myvi miliknya demi membeli sebuah beg tangan jenama Chanel.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman Facebook Gossip Department, lelaki terbabit dan teman wanitanya berasal dan menetap di Pulau Pinang.
Difahamkan, Perodua Myvi yang telah berusia lebih 10 tahun itu merupakan peninggalan ibu bapanya yang masih digunakan oleh lelaki berkenaan sekali-sekala dan dijaga dengan baik meskipun dia memiliki sebuah lagi kereta iaitu Proton Saga lama.
“Bagi saya, ia bukan sekadar kereta, tapi penuh kenangan,” luahnya.
BF Pergi outstation, GF ambil kesempatan jual kereta dengan cara sambung bayar
Menurut lelaki itu, kejadian tersebut berlaku semasa dia sedang berada di luar kawasan (outstation) selama beberapa hari.
“Balik-balik saja saya sedar kereta itu sudah hilang. Bila saya tanya teman wanita saya, dia dengan selamba jawab ‘oh, saya dah jual. Awak masih ada Saga, Myvi buruk tu pun bukannya guna sangat.’
“Saya terus tergamam. Nama kereta pun bukannya atas nama dia, macam mana dia boleh buat begitu,” luah lelaki itu lagi.
Menurutnya lagi, teman wanitanya itu menjual Myvi terbabit kepada seseorang dengan kaedah sambung bayar tanpa perlu menukar hak milik kenderaan.
Lebih mengejutkan, lelaki terbabit mendakwa kekasihnya itu berkata bahawa cara berkenaan lebih cepat untuk mendapatkan wang tanpa perlu menunggu ‘dealer proses’.
Teman wanita baru berkawan dengan golongan ‘have-have’
Lelaki itu berkata bahawa teman wanitanya baru sahaja berkawan dengan orang-orang ‘high-class’ yang memakai beg-beg tangan berjenama mewah seperti Chanel, Louis Vuitton, Dior atau paling murah Miu Miu.
“Dia cakap dia rasa macam ‘budak kampung’ kalau tak ada beg berjenama. Dia siap cakap terus terang ‘lebih baik awak tak ada Myvi daripada saya tak ada Chanel.
“Masalahnya, duit itu pun tak cukup nak beli Chanel dan dia tanpa segan silu suruh saya bayar baki selebihnya. Dia cakap ‘cuba fikir, kalau saya malu depan kawan-kawan, awak pun malu kan? Awak boleh bawa Saga, sekurang-kurangnya biar saya ada sesuatu untuk dibanggakan’” katanya.
Tindakan yang dilakukan oleh kekasihnya itu membuatkan lelaki berkenaan mula terfikir mengenai hubungan mereka, sama ada ia soal saling menyokong antara satu sama lain atau dirinya yang sedang ‘dikikis’ oleh wanita itu.
Pun begitu, tidak dapat dipastikan luahan lelaki berkenaan adalah kisah benar atau rekaan semata-mata demi meraih perhatian di media sosial.



