Protes Di Negara Jiran: Ini Perbandingan Elaun Ahli Parlimen Indonesia & MP Malaysia
Elaun perumahan baharu ahli Parlimen Indonesia adalah berjumlah 50 juta rupiah sebulan (kira-kira RM12,957), hampir 10 kali ganda daripada gaji minimum di ibu negara Jakarta.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak minggu lalu, kecoh di media sosial mengenai protes anti kerajaan secara besar-besaran yang berlaku di Indonesia. Rusuhan yang berlaku itu menyebabkan beberapa kawasan serta bangunan mengalami kerosakan, selain enam nyawa orang awam juga dilaporkan terkorban.
Bukan hanya itu, turut tular beberapa hantaran memaparkan rumah ahli politik diceroboh dan barangan peribadi juga diambil sebagai tanda protes rakyat di negara jiran berkenaan.
Kemarahan rakyat tercetus selepas elaun kewangan untuk ahli parlimen dinaikkan. Lebih menambah bara apabila tular juga rakaman segelintir Ahli Dewan Perwakilan Indonesia yang berjoget-joget di dalam parlimen.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto kemudiannya mengumumkan penarikan semula beberapa elaun dan keistimewaan yang diberikan kepada ahli Parlimen di sana atau turut dipanggil ahli Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Baca Artikel Berkaitan: Tular Rakyat Di Indonesia Merusuh, Ini Perkara Penting Yang Diketahui Setakat Hari Ini
Media mula kupas gaji dan elaun ahli Parlimen Indonesia
Insiden berkenaan turut mendapat perhatian di Malaysia selepas beberapa media tempatan mengupas mengenai isu gaji serta elaun diterima ahli Parlimen Indonesia dan membandingkannya dengan gaji minimum di sana.
Memetik laporan Utusan Malaysia, elaun perumahan baharu ahli Parlimen Indonesia adalah berjumlah 50 juta rupiah sebulan (kira-kira RM12,957), hampir 10 kali ganda daripada gaji minimum di ibu negara Jakarta.
Ia mencetus bantahan rakyat kerana perkara terbabit berlaku ketika republik berkenaan berdepan ketidaktentuan ekonomi dan langkah penjimatan kerajaan. Untuk info, gaji minimum di sana bergantung kepada provinsi, sebagai contoh di Jakarta adalah sekitar 5.3 juta rupiah iaitu kira-kira RM1,365, memetik infografik detikcom.
Elaun MP di Malaysia 15 kali ganda dari gaji minimum rakyat
Laporan ini membuatkan ada rakyat Malaysia yang tertanya bagaimanakah pula dengan pendapatan serta elaun Ahli Parlimen (MP) di Malaysia.
Untuk perbandingan, seorang MP di Malaysia layak menerima elaun tetap sebanyak RM25,700 sebulan di mana ia 15 kali ganda lebih tinggi daripada gaji minimum di negara ini iaitu RM1,700.
Berikut adalah butiran elaun dan tuntutan rasmi yang boleh diperoleh memetik Pejabat Perdana Menteri (PMO):
Elaun dan Tuntutan Tugas Rasmi Dalam Negara:
- Elaun Hadir Persidangan: RM400 sehari
- Elaun Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) / Jawatankuasa Pilihan Khas: RM300 sehari (semasa Parlimen tidak bersidang)
- Elaun Mesyuarat Ahli PAC: RM250 sehari (semasa Parlimen bersidang)
- Elaun Mesyuarat Taklimat Rasmi: RM300 sehari
- Elaun Hidup Harian: RM100 sehari (dibayar berdasarkan kehadiran ke Dewan atau perjalanan rasmi melebihi 32km)
- Tuntutan Perjalanan: Memandu sendiri, menggunakan pengangkutan awam atau udara
- Tuntutan Penginapan: Hotel, lojing dan dobi
Elaun dan Tuntutan Tugas Rasmi Luar Negara:
- Elaun Makan: RM340 semalam
- Elaun Hidup Harian: RM170 sehari
- Tuntutan Penginapan: Hotel dan dobi
- Tuntutan Pengangkutan: Pengangkutan darat dan udara
- Tuntutan Kerugian Pertukaran Mata Wang Asing
- Tip: 25% daripada elaun makan
Beza pendapatan MP Malaysia dan ahli Parlimen Indonesia
Memetik PMO lagi, elaun tetap MP termasuk tuntutan tambahan jika dicampur membolehkan mereka meraih pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sebulan.
Ini bermakna seorang MP di Malaysia boleh menerima elaun tambahan atau membuat tuntutan sebanyak RM4,300 sehingga RM14,300 sebulan.
Berbeza pula di Indonesia di mana gaji anggota biasa DPR hanyalah sebanyak 4.2 juta rupiah (sekitar RM1,149) sahaja.
Menurut Berita Harian yang memetik media tempatan di sana, gaji pokok Speaker DPR pula ditetapkan sebanyak 5.04 juta rupiah (RM1,385) setiap bulan dan 4.62 juta rupiah (RM1,264) bagi Timbalan Speaker.
Baca Artikel Berkaitan: Dengar Nasihat Ibu, Jam Tangan Mewah Berharga RM3 Juta Milik Sahroni Dipulangkan [Video]