fbpx
Now Reading
Tarikh Kemerdekaan Sebenarnya Dicadangkan Mengikut Kalendar Hijri, 5 Safar 1377 Jadi Pilihan Ulama

Tarikh Kemerdekaan Sebenarnya Dicadangkan Mengikut Kalendar Hijri, 5 Safar 1377 Jadi Pilihan Ulama

Berdasarkan Arkib Negara Malaysia, Sheikh Abdullah Fahim menggelar tarikh 5 Safar sebagai ‘Am Khir Atana’ dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘Tahun Baik Datang Kepada Kita’.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Dalam mengingati kemerdekaan negara, tanggal 31 Ogos 1957 pasti terpahat di memori setiap rakyat Malaysia.

Tarikh keramat itu telah dicadangkan oleh Bapa Kemerdekaan Negara, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dalam perbincangan bersama pihak British untuk mencapai kemerdekaan.

Namun mungkin tidak diketahui ramai, tanggal yang dipilih itu pada mulanya telah dicadangkan kepada Tunku oleh seorang ulama dan tokoh falak.

Tapi sebenarnya apakah kepentingan di sebalik pemilihan tarikh ini atau ia sekadar kebetulan?

Pensyarah Tegaskan Pemilihan Tarikh Merdeka Adalah Berdasarkan Kalendar Hijri

Menerusi satu sesi seminar, Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Azmi Ariffin, menjelaskan bahawa tanggal kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 telah dipilih oleh ulama Almarhum Sheikh Abdullah Fahim.

Namun beliau menegaskan bahawa pemilihan tarikh itu sebenarnya bukanlah mengikut kalendar Masihi, tetapi berdasarkan kepada tanggal 5 Safar 1377 dalam kalendar Hijri.

“Sedangkan masyarakat pada masa itu, dari segi amalannya guna tulisan jawi lagi. Guna takwim Hijrah lagi. Tak guna takwim Masihi,” ujarnya.

Tarikh itu dicadangkan oleh Sheikh Abdullah Fahim apabila ditanya oleh Tunku Abdul Rahman dan kiraan telah dibuat berdasarkan kepada bulan Islam dan ilmu falak.

Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan di Stadium Merdeka, pada 31 Ogos 1957.

Sheikh Abdullah Turut Cadangkan Tarikh Kedua 31 Ogos 1962

Merujuk kepada Arkib Negara Malaysia, tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah dicadangkan oleh Sheikh Abdullah selepas Tunku Abdul Rahman, Haji Sulaiman Palestin, Haji Ahmad Badawi dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan beliau.

Ulama yang amat disegani itu menggelar tarikh 5 Safar sebagai ‘Am Khir Atana’ dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘Tahun Baik Datang Kepada Kita’.

Juga merupakan Mufti Pulau Pinang ketika itu, beliau turut mencadangkan tarikh lain yang bersesuaian iaitu 31 Ogos 1962 sekiranya tarikh pertama tidak dipersetujui pihak penjajah.

Malangnya selepas hampir 68 tahun menyambut kemerdekaan, masih ramai yang tidak tahu mengenai tarikh 5 Safar ini.

Sebagai info, 5 Safar untuk tahun ini telah jatuh pada 30 Julai yang lalu. Malah jika mengikut kalendar Islam iaitu 1447H tahun ini, negara kini telah mencapai kemerdekaan selama 70 tahun sejak 1377H.

Terdapat 2 Teori Tentang Pemilihan Tarikh Kemerdekaan Oleh Sheikh Abdullah Fahim

Berdasarkan perkongsian di Facebook oleh AjarMalaysia, tarikh kemerdekaan negara yang dicadangkan oleh Sheikh Abdullah kemungkinan besar mempunyai maknanya yang tersendiri.

Apabila ditanya kepada anakanda Ahmad Badawi, beliau menjawab tarikh itu dipilih selepas mengambil kira masa kejatuhan empayar Melaka iaitu pada 22 Ogos 1511 (Jumaat) ketika fasa bulan tua.

Jika dikira jumlah hari daripada tarikh ini sehinggalah ke 31 Ogos 1957, terdapat sebanyak 162,898 hari, iaitu genap 446 tahun.

#1. Dikaitkan dengan tarikh kejatuhan empayar Melaka

Terdapat dua teori yang telah dibangkitkan mengenai perkara ini. Pertama, adalah cubaan Sheikh Abdullah untuk mengaitkan kegemilangan empayar Melaka dengan Melaka baharu yang akan diberi nama Malaya.

Ini seolah-olah menegaskan bahawa Malaya merupakan kebangkitan Melaka selepas kejatuhannya akibat dijajah dahulu.

“Kalau Melaka jatuh di fasa bulan tua, Melaka baharu (Malaya) muncul semula pada fasa bulan sabit muda pada 6 Safar (ada yang mengatakan 5 Safar) 1377 bersamaan dengan 31 Ogos 1957.

“Jadi dia macam simbolik bahawa negara baharu bersedia untuk bersinar dan berkembang menyinari dunia,” katanya.

#2. Merujuk kepada buruj yang kelihatan pada tarikh dipilih

Teori kedua pula diwujudkan berdasarkan kepada buruj yang kelihatan pada tarikh yang dicadangkan itu.

Analisis yang dilakukan menerusi perisian buruj telah mengenal pasti empat buah buruj di ufuk Barat yang terbentuk pada malam 30 Ogos 1957, iaitu Scorpio, Libra, Virgo dan Sail.

Dalam masa sama, dua buah planet iaitu Musytari dan Zuhrah kelihatan amat terang.

Pada malam 30 Ogos 1962 pula, iaitu tarikh kedua yang dicadangkan, kedudukan objek di angkasa adalah serupa terutamanya planet Zuhrah yang terang di ufuk Barat, termasuklah penglihatan buruj Sail dan Libra.

Teori ini menjelaskan bahawa simbol kapal layar (Sail) Parti Perikatan, iaitu parti pertama yang memenangi pilihan raya umum 1955 di Tanah Melayu, akan digantikan ke Barisan Nasional (BN) yang menggunakan simbol dacing (Libra).

Banyak Peristiwa Penting Terjadi Dalam Konteks Sejarah Islam Ketika Bulan Safar

Apabila dikaitkan dengan konteks sejarah Islam, Safar sememangnya bulan yang penuh dengan peristiwa penting.

Dr Azmi memberi beberapa contoh termasuk penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke Madinah dan perkahwinan Rasullullah SAW bersama isteri pertamanya, Siti Khadijah.

Malah pelbagai perang membabitkan orang Islam juga berlaku pada bulan itu, antaranya Perang Khaibar yang merupakan penentangan terhadap golongan Yahudi ketika itu.

“Dalam Perang Khaibar, umat Islam seramai 1,600 orang menentang lebih 10,000 orang Yahudi dan juga bani-bani lain bergabung melawan Islam. Berlaku pada hujung Muharram, berakhir pada bulan Safar,” jelas Dr Azmi.

Abdullah Fahim Tokoh Yang Menjadi Rujukan Ulama Lain

Serba ringkas mengenai latar belakang Abdullah Fahim, beliau telah dibesarkan di Mekah di mana beliau berguru dengan Sheikh Muhammad Mokhtar al-Jawi yang merupakan ulama falak.

Ketika itu, beliau mempelajari cara perhitungan ilmu falak termasuk menentukan arah kiblat Miqat, waktu solat dan mengenal pasti anak bulan.

Antara sumbangan beliau termasuklah mewariskan jadual takwim solat bertulis tangan bagi sepanjang tahun dan menentukan arah kiblat dengan menggunakan alatan digelar rubu’ mujayyab.

Sheikh Abdullah juga telah menghasilkan takwim Islam yang mengambil kira tahun kabisah (tahun lompat) dan basitah (tahun biasa). Sistem ini diguna pakai sebelum digantikan dengan sistem Imkanur rukyah, iaitu cerapan anak bulan bagi menentukan bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

Menurut Dr Azmi, Sheikh Abdullah merupakan seorang ulama yang disegani sehingga menjadi rujukan ulama terkenal dari Indonesia, Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Hamka.

Malah, beliau merupakan rakan kepada Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali), dan melahirkan pejuang hebat seperti Abu Bakar Al-Baqir yang terlibat dengan penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Sheikh Abdullah Juga merupakan datuk kepada Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Baca Artikel Berkaitan: Amalan ‘Mandi Safar’ Untuk Tolak Bala Adalah Bidaah & Khurafat Bagi Umat Islam

Baca Artikel Berkaitan: Pensyarah Dakwa Buku Teks Sejarah Sekolah Tak Cerita Hal Sebenar Tentang Perak

Baca Artikel Berkaitan: Ini Sejarah Jajahan Dinding Di Perak Yang Ramai Tidak Tahu

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.