Kes Zara Qairina: Peguam Wakili 5 Remaja Tak Dibenarkan Masuk Inkues
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina dan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kes melibatkan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut, Sabah, Zara Qairina Mahathir masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.
Ia susulan dakwaan kematian mangsa yang berusia 13 tahun pada 17 Julai lalu itu mempunyai kaitan dengan kes buli melibatkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Malah, pada 20 Ogos lalu, lima remaja perempuan bawah 18 tahun telah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pada bulan lepas.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Zara Qairina Tiada Kaitan Dengan Cucu TYT & Isteri Menteri – Saifuddin Nasution
Peguam wakili lima remaja tertuduh tak dibenarkan masuk inkues kes Zara Qairina
Terbaharu, Mahkamah Tinggi hari ini (2 September) mengetepikan keputusan koroner yang membenarkan peguam mewakili lima remaja didakwa terbabit dalam kes buli Allahyarham Zara daripada menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian mangsa.
Pun begitu, mahkamah menyatakan bahawa pihak-pihak terbabit bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka di hadapan koroner baharu, termasuk pasukan peguam keluarga Zara dan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina dan SLS.
“Apa-apa perintah yang dibuat berkaitan sebarang permohonan dalam inkues itu adalah dibatalkan. Jadi, pihak-pihak bebas untuk mengemukakan semula permohonan mereka kepada koroner baharu,” katanya dipetik Berita Harian.
Koroner terdahulu tarik diri atas alasan terdapat kepentingan peribadi
Menurutnya, koroner sebelum ini membenarkan peguam yang mewakili lima remaja itu mengambil bahagian pada prosiding inkues bagi kes arwah Zara sebagai pihak berkepentingan.
Bagaimanapun, beliau berkata, koroner berkenan telah menarik diri daripada mendengar kes atas alasan terdapat kepentingan peribadi.
“Memandangkan beliau (koroner) itu memutuskan untuk menarik diri daripada mengendalikan kes ini, adalah tidak wajar untuk beliau membuat keputusan terhadap isu substantif yang sepatutnya diputuskan oleh koroner baharu.
“Ia seolah-olah membuat keputusan bagi pihak pengganti dan boleh menjejaskan prinsip ketidakberpihakan,” katanya.
Mahkamah tolak bantahan awal TPR terhadap pembabitan SLS dalam kes Zara Qairina
Menurutnya lagi, mahkamah juga menolak bantahan awal dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terhadap pembabitan SLS dalam kes itu.
Duncan berkata, walaupun SLS hanya hadir dalam prosiding sebagai pemerhati, peranan mereka adalah untuk memerhati perjalanan prosiding dan memberi bantuan kepada mahkamah jika diminta sahaja.
Jelasnya, mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk memanggil dan menyemak semula rekod mana-mana prosiding mahkamah bawahan.
Perkara ini untuk memastikan ketepatan, kesahan atau kewajaran sesuatu keputusan, hukuman atau perintah serta keteraturan prosiding yang dijalankan.
“Kuasa penyeliaan ini boleh digunakan oleh mahkamah atas inisiatif sendiri. Jadi, mana-mana pihak boleh membawa sesuatu isu kepada perhatian mahkamah untuk dipertimbangkan.
“Memandangkan isu ini membabitkan kepentingan awam dan peranan SLS sebagai penjaga kepentingan itu, saya berpendapat isu locus standi (hak berada di mahkamah) tidak seharusnya menghalang mereka daripada membangkitkan isu ini. Maka saya menolak bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Fokus Utama Selamatkan Nyawa” – Saifuddin Jelaskan Laporan Perubatan Kematian Zara Qairina Lengkap
Baca Artikel Berkaitan: Apakah Mahkamah Kanak-kanak & Apa Fungsinya?



