Semua Pelanggan Berdiri Sejurus Dengar Lagu Negaraku Di Restoran Raih Pujian [Video]
Meja Cafe Sutera Utama turut menyifatkan ia satu momen yang magikal apabila melihat semua pelanggan berdiri sebaik mendengar lagu Negaraku dimainkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui Ogos merupakan Bulan Kemerdekaan untuk Malaysia, kita akan menyambutnya pada setiap 31 Ogos.
Sebagai rakyat Malaysia, kita sentiasa dinasihatkan untuk mempunyai semangat patriotik, saling menghormati antara satu sama lain serta menghargai jasa nenek moyang yang sudah berjuang untuk memerdekakan negara ini.
Oleh itu, tidak hairanlah jika ada segelintir pencipta kandungan yang adakalanya membuat eksperimen sosial untuk menguji sejauh mana rakyat Malaysia mencintai negaranya.
Kafe mainkan lagu Negaraku, respon para pelanggan raih perhatian
Perkara sama turut dilakukan oleh sebuah kafe kedai makan di Johor Bahru, apabila mereka membuat satu eksperimen sosial terhadap para pelanggan yang berkunjung ke kedai.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Meja Cafe Sutera Utama di TikTok, awalnya kelihatan kafe berkenaan dipenuhi dengan para pelanggan.
Ada yang sedang menunggu pesanan makanan, serta ada yang sedang menikmati makanan dihidangkan di atas meja kafe terbabit.
Tidak lama kemudian kedengaran bunyi intro lagu Negaraku dimainkan oleh kafe berkenaan dan menyebabkan kesemua pelanggan seperti terkejut.
Semua pelanggan berdiri dan hormati lagi Negaraku
Namun sebaik sahaja mendengar lirik ‘Negaraku..’ semua pelanggan dilihat segera bangun meskipun ada di antara mereka yang sedang makan.
Perkara itu secara tidak langsung membuatkan suasana di dalam kafe tersebut berbeza di mana jika sebelum lagu dimainkan ramai yang hanya sibuk dengan aktiviti masing-masing.
Sebaik lagu dipasang, tanpa mengira bangsa, agama dan di mana mereka berada, semua pelanggan dengan rasa bangga bangun untuk menghormati lagu kebangsaan itu.
Tidak kurang juga ada yang dilihat seperti turut menyanyikan lagu berkenaan. Malah pelanggan di kafe itu berdiri tegak sehingga lagu habis dimainkan.
Semua tepuk tangan selepas lagu dimainkan
Sebaik selesai lagu dimainkan, kelihatan semua pelanggan menepuk tangan sebelum kembali duduk dan menyambung semula aktiviti masing-masing.
Kafe berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada para pelanggannya kerana menunjukkan sikap patriotik yang wajar dicontohi oleh setiap rakyat Malaysia.
“Selamat Hari Merdeka dari Meja Kafe. Tanah airku merdeka, megah berdiri, bersatu rakyat, sehati sejiwa bersemi, Jalur Gemilang berkibar gagah di langit tinggi, pengorbanan pejuang abadi diingati, Malaysia maju, gemilang selamanya dihargai,” kata kafe itu.
Di ruangan kapsyen, kafe tersebut turut menjelaskan mereka mengambil keputusan untuk memainkan lagu Negaraku secara spontan ketika pelanggan sedang menjamu selera.
“Momen yang begitu magikal. Setiap individu berdiri, menghormati lagu tersebut dan juga negara kita. Momen ‘goosebump’ (yang membuatkan liang roma berdiri). Sangat bangga menjadi rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.
@mejacafesutera It’s Merdeka month 🇲🇾✨ While everyone was enjoying their time at our café, we decided to play a Merdeka song out of nowhere… and the moment was magical. Every single person stood up still, honoring the song and our country. Goosebumps moment. So proud to be Malaysian. ❤️
♬ original sound – Meja Cafe Sutera Utama – Meja Cafe Sutera Utama
Ramai puji semangat patriotik dan rasa cinta pada negara
Di ruangan komen, ramai yang memuji serta bangga dengan para pelanggan di kafe tersebut kerana mempunyai semangat patriotik dan rasa cintakan negara yang mendalam.
Malah ada juga yang berkongsi momen lebih kurang sama turut berlaku ketika berkunjung ke pasar malam. Jelasnya orang ramai yang berada di pasar malam berkenaan segera berhenti dan berdiri tegak.
Namun tidak kurang ada juga yang cuba memberikan komen negatif serta ingin mengkritik kafe dan pelanggan yang berada di kedai tersebut.
Walau bagaimanapun, menerusi hantaran yang dikongsikan dipercayai video ini hanya sekadar konten atau eksperimen sosial bersempena bulan kemerdekaan.
“Aku ni dengar je lagu-lagu patriotik terus menangis. Tak tahu lah kenapa”

“Bangga betul dengan yang dalam video TikTok ni. Berbilang kaum tapi tetap bangun menghormati lagu Negaraku. Memang betul-betul berjiwa Malaysia. Salute korang 🥰🥰”

“Masih juga ada yang teragak-agak nak berdiri atau tidak ya. Sungguh semangat nasionalisme sedikit demi sedikit makin terhakis”

“Terima kasih, rakan senegaraku Malaysia.”




