fbpx
Now Reading
Sah Ke Solat Kalau Bendasing Seperti Benang Telekung Masuk Dalam Mulut? Ini Penjelasannya

Sah Ke Solat Kalau Bendasing Seperti Benang Telekung Masuk Dalam Mulut? Ini Penjelasannya

Menurut Jabatan Mufti Pulau Pinang, kesahihan solat seseorang itu bergantung kepada tindakan individu dalam mematuhi dan memenuhi rukun serta syarat solat selain menghindari perkara yang boleh membatalkannya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Solat merupakan ibadah wajib dan Rukun Islam kedua buat mereka yang bergelar muslim. Untuk mendapatkan solat yang sempurna, seseorang itu perlu mematuhi rukun dan syarat serta menghindari perkara yang membatalkan solat.

Kadangkala, ada perkara yang menyebabkan ibadah wajib mereka terganggu. Contohnya, jemaah wanita boleh terganggu dengan kehadiran bendasing seperti benang telekung yang berisiko masuk ke dalam mulut.

Keadaan ini menyebabkan ada yang terfikir adakah sah solat yang didirikan apatah lagi barang tersebut berada dalam mulut ketika menunaikan ibadah itu.

Solat Tidak Batal Jika Individu Tak Telan Benang

Menurut Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, solat seseorang itu tidak akan terbatal jika ada benang yang masuk ke dalam mulutnya selagi dia tidak menelan benang tersebut dengan sengaja.

“Bahkan, perbuatan menelan air liur setelah itu juga tidak membatalkan ibadah yang sedang dikerjakan,” katanya.

Solat Sah Atau Tidak Bergantung Kepada Kepatuhan Seseorang

Jelas jabatan itu lagi, kesahihan solat seseorang itu bergantung kepada tindakan individu dalam mematuhi dan memenuhi rukun serta syarat solat selain menghindari perkara yang boleh membatalkannya.

“Para fuqaha telah membahaskan dengan terperinci mengenai perbuatan yang boleh menyebabkan solat terbatal sama ada dari aspek percakapan atau perbuatan.

“Antara perbuatan yang membatalkan solat adalah makan dan minum dengan sengaja walaupun dalam kuantiti sedikit. Hal ini bertepatan dengan pandangan ulama seperti Dr Muhammad Zuhaili dalam kitab Al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e dan Imam An-Nawawi dalam Al-Majmu’,” katanya.

Solat Boleh Batal Jika Telan Sesuatu Tapi Bergantung Kepada Kuantiti

Namun terang jabatan itu lagi, sekiranya seseorang menelan sesuatu tanpa sengaja, solatnya tidak terbatal asalkan kuantiti makanan atau minuman yang ditelan adalah sedikit.

Pun begitu, para fuqaha menetapkan ukuran ‘banyak’ yang dimaksudkan adalah sebesar biji kacang kuda.

“Adapun, sekiranya seseorang menelan sesuatu dengan kadar yang banyak, maka ia boleh membatalkan solatnya walaupun berlaku secara tidak sengaja,” jelas mereka lagi.

Menurut Ustaz Azhar Idrus pula, cara terbaik adalah dengan membuang sisa makanan dalam mulut yang disedari menggunakan tisu atau dialihkan dengan ludahan ke sebelah kiri.

Beliau juga menjelaskan tidak batal solat seseorang sekiranya tertelan tanpa sengaja makanan yang terselit pada celahan gigi asalkan kuantitinya tidak banyak dan kecil.

Telan Air Liur Tidak Batalkan Solat Tetapi …

Pada masa yang sama, Jabatan Mufti Pulau Pinang turut menerangkan tindakan menelan air liur tidak membatalkan solat sama seperti menjalani ibadah puasa.

Namun, ia boleh terbatal jika air liur bercampur dengan sesuatu yang mengubah warna atau rasa seperti darah gusi atau makanan larut seperti gula.

Hukum tersebut berdasarkan pandangan ulama dalam kitab Fath al-Mu’in dan Al-Mu’tamad fi al-Fiqh asy-Syafi’e.

“Sekiranya perkara yang masuk dalam mulutnya itu bukan daripada benda yang boleh larut, maka ia tidak membatalkan solat.

“Dalam kes benang telekung, ia bukanlah satu benda yang bersifat mencair atau larut bersama dengan air liur yang mengubah rasa atau warna air liur.

“Maka, solat tidak batal sekiranya individu itu menelan air liur yang terkena benang yang ada di dalam mulutnya,” terang mereka lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Sah Ke Solat Jika Ada Kotoran Cat Pada Kaki? Ini Jawapannya

Baca Artikel Berkaitan: Sah Ke Solat Kalau Kucing Ganggu & Bermain Di Kaki? Ini Penjelasannya [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Sah Ke Solat Jika Terlupa Tahiyat Awal? Ini Penjelasannya [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.