Ini Maksud Prinsip Rukun Negara Serta Warna & Lambang Pada Jalur Gemilang
Jalur Gemilang bukan sekadar untuk dikibar sebaliknya ia perlu dihayati apakah maksud digambarkan daripada setiap warna, simbol dan sebagainya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Apabila masuk sahaja bulan Ogos umum pasti mengetahui ia sering dikenali sebagai bulan kemerdekaan.
Ini kerana pada setiap 31 Ogos Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan serta mengingati setiap perjuangan yang dilakukan oleh nenek moyang agar generasi di masa kini dapat hidup di negara dengan aman.
Selain mengibarkan Jalur Gemilang, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah mengetahui apakah maksud di sebalik setiap warnanya serta prinsip Rukun Negara yang sering diikrarkan rakyat.
Ini agar kita lebih menghormati dan tahu mengapa bendera serta rukun negara begitu penting kepada sesebuah negara.
Di dalam ikrar rukun negara terdapat lima perkara yang perlu dipatuhi oleh setiap warga Malaysia. Setiap lima jenis rukun negara itu turut mempunyai maksud tersendiri seperti:
#1 Kepercayaan kepada Tuhan
Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan kepercayaan yang berbeza dan ia sering diraikan serta dihormati. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Malah kita juga dilarang untuk membeza-bezakan seseorang warganegara dengan alasan agama.
Bukan hanya itu, agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan secara aman serta tenteram.
#2 Kesetiaan kepada Raja dan negara
Setiap rakyat Malaysia mestilah taat setia, jujur serta ikhlas kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Manakala di negeri pula, mereka juga perlu taat setia kepada raja yang memerintah negeri di kawasan mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada YDPA.
#3 Keluhuran perlembagaan
Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini dan hak serta keistimewaan sebagai warganegara.
Selain itu, warga Malaysia juga dikehendaki menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan dan latar belakang sejarah negara.
#4 Kedaulatan undang-undang
Ikrar ini adalah untuk menjamin kehidupan rakyat di negara ini agar dapat bergerak lancar serta teratur tanpa kekacauan. Selain itu masyarakat akan sentiasa berasa selamat.
Selain itu warga Malaysia juga bebas mengamalkan perkara yang dikehendaki selagi ia tidak melanggar undang-undang dan seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.
#5 Kesopanan dan kesusilaan
Ikrar ini adalah untuk membentuk warga yang sopan santun serta bersusila selaras dengan kempen berbudi bahasa serta nilai murnia.
Individu yang sopan santun serta bersusila adalah sangat penting dalam menjaga perhubungan bersama pelbagai kaum ni Malaysia ini.

Ini maksud warna & lambang pada Jalur Gemilang

Ramai perlu tahu Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan Malaysia. Ini kerana ia membawa semangat patriotik dalam pertahankan maruah, bangsa, agama serta ibu pertiwi.
Oleh itu ia adalah sangat penting untuk kita mengetahui ciri serta maksud bagi setiap simbol serta warna pada Jalur Gemilang.
Ciri bagi bendera Jalur Gemilang ini, ia mempunyai 14 jalur merah dan putih yang bermula dengan jalur merah pada bahagian atas dan diakhiri jalur putih pada bahagian bawah.
Jalur pada bendera itu melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju serta arah sama diikuti rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara. Selain itu 13 jalur mewakili 13 negeri dan satu jalur kerajaan Persekutuan.
Maksud warna biru tua
Jika diamati terdapat warna biru tua pada sebelah kiri yang membawa maksud kepada perpaduan rakyat Malaysia yang hidup berbilang kaum, sentiasa bersatu padu serta berusaha dalam memajukan pembangunan ekonomi berasaskan sains dan teknologi moden.
Maksud warna kuning & lambang bulan sabit serta bintang pecah 14
Warna kuning pada lambang anak bulan dan juga bintang pecah 14 yang bermaksud kedaulatan Raja Berpelembagaan dan mendokong serta menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah rukun negara.
Manakala lambang anak bulan pula membawa maksud Islam sebagai agama rasmi di negara ini dan bintang pecah 14 pula mengambarkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Maksud warna merah
Warna merah pula melambangkan keberanian serta kesediaan dalam menghadapi setiap rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Maksud warna putih
Bagi warna putih pula ia melambangkan kesucian, keikhlasan serta kesungguhan dalam mempertingkatkan ketahanan rakyat yang berkeperibadian Malaysia.
Oleh itu, adalah amat penting untuk setiap rakyat Malaysia untuk menghormati bendera Jalur Gemilang ini.
Kerana ia bukan satu bendera yang dikibarkan untuk meraikan kemerdekaan sebaliknya ia adalah identiti negara yang dibawa walau ke mana jua.
Bahkan ia perlu sentiasa dijaga dengan baik dan mempunyai cara tertentu untuk dilupuskan sekirany sudah rosak, koyak dan sebagainya dan perlu dimusnahkan dengan cara sopan santun seperti dibakar di kawasan tertutup dan tidak dipamerkan kepada orang awam.
Cara pemasangan Jalur Gemilang rujuk gambar di bawah:

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Ini Susunan Terkini Keutamaan Bendera Di Malaysia Yang Anda Patut Tahu



