fbpx
Now Reading
Apakah Mahkamah Kanak-kanak & Apa Fungsinya?

Apakah Mahkamah Kanak-kanak & Apa Fungsinya?

Secara ringkasnya mahkamah bagi kanak-kanak adalah mahkamah khas yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam (18 Ogos) kecoh di media sosial selepas Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan lima remaja perempuan bawah umur akan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu, 20 Ogos berhubung kes Allahyarham Zara Qairina.

Ini selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan sudah meneliti kertas siasatan polis dan membuat keputusan menuduh beberapa individu berdasarkan keterangan yang ada.

Menurut Dusuki, lima remaja itu akan didakwa mengikut Seksyen 507c(1) Kanun Keseksaan atas pertuduhan mengugut dengan mengeluarkan perkataan bersifat mengancam.

Isu ini ternyata mendapat perhatian banyak pihak memandangkan ia mempunyai elemen buli selain timbul dakwaaan ia melibatkan ahli keluarga VVIP. Malah ia turut mendapat liputan meluas media kerana banyak tuduhan-tuduhan dan kenyataan yang timbul di media sosial oleh beberapa individu.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Zara Qairina Tiada Kaitan Dengan Cucu TYT & Isteri Menteri – Saifuddin Nasution

Baca Artikel Berkaitan: Keluarga Zara Qairina Didakwa Bakal Saman Doktor Berhubung Kenyataan ‘Memang Terjun Sendiri’

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) kemudiannya memberi peringatan agar identiti kelima-lima individu yang bakal dihadapkan ke mahkamah itu tidak didedahkan kepada umum.

Tegasnya, orang awam dan media perlu bertindak penuh tanggungjawab serta mematuhi undang-undang, khususnya membabitkan hak perlindungan kanak-kanak.

“Mereka berhak mendapat perlindungan penuh bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), termasuk sokongan berasaskan trauma, wakil guaman serta layanan yang adil.

“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sekolah atau sebarang butiran yang boleh membawa kepada pengecaman mereka, tidak boleh didedahkan kepada umum,” katanya.

Tegasnya lagi, Mahkamah Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup mengikut Seksyen 12 akta sama, dan hanya pihak berkepentingan dibenarkan hadir dalam prosiding.

Kenyataan-kenyataan ini nyata mencuri tumpuan orang ramai yang ingin tahu apakah perbezaan Mahkamah Kanak-Kanak dengan mahkamah yang lainnya.

Apakah Mahkamah Bagi Kanak-Kanak?

Secara ringkasnya Mahkamah Kanak-Kanak adalah mahkamah khas yang ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Ia bertujan untuk:

  1. Mendengar, memutuskan atau melupuskan kes jenayah melibatkan pesalah kanak-kanak;
  2. Mendengar dan memutuskan kes-kes bagi kanak-kanak yang memerlukan perlindungan atau apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 atau oleh mana-mana undang-undang bertulis yang Iain:
  3. Bagi kes-kes jenayah, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua kesalahan berhubung dengan kanak-kanak kecuali kesalahan-kesalahan yang melibatkan hukuman mati.

Ini bermakna kanak-kanak hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Walaubagaimanapun memetik risalah yang dikeluarkan Jabatan Bantuan Guaman, sekiranya seseorang kanak-kanak dituduh bersama-sama dengan seorang dewasa, perbicaraan boleh diadakan di mahkamah lain.

Apakah Tafsiran Bagi Kanak-Kanak Di Bawah Akta Kanak Kanak 2001?

Secara amnya, kanak-kanak bermaksud:

  • Seseorang yang berusia di bawah umur lapan belas tahun
  • Berhubung dengan prosiding jenayah, ertinya seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan (Akta 574].

KOMPOSISI MAHKAMAH BAGI KANAK-KANAK

Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah terdiri daripada seorang Majistret dan dibantu oleh dua orang Penasihat.

Penasihat adalah dilantik oleh Menteri daripada satu panel orang yang bermastautin di negeri Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bersidang dan salah seorang daripada dua Penasihat yang dilantik hendaklah seorang wanita.

Fungsi Penasihat

Fungsi-fungsi Penasihat ialah:

  • Untuk memaklumkan dan menasihati Mahkamah Bagi Kanak-Kanak mengenai apa-apa pertimbangan yang menyentuh perintah yang dibuat berdasarkan suatu dapatan melakukan perbuatan tersebut atau pelakuan lain yang berkaitan terhadap mana-mana kanak-kanak yang dibawa ke hadapan Mahkamah itu
  • Jika perlu, untuk menasihati ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu

Bagaimanakah Prosiding Mahkamah Bagi Kanak-Kanak

Memetik risalah yang dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Mahakamah Persekutuan Malaysia, perkataan “dapatan salah” atau “sabitan” dan “hukuman” tidak boleh digunakan berhubung dengan seorang kanak-kanak yang dibicarakan di hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

Bukan itu sahaja, prosiding terhadap seorang kanak-kanak di hadapan
Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dikendalikan secara tertutup dengan kehadiran pihak tertentu seperti:

  • Majistret
  • Dua orang Penasihat
  • Kanak-kanak terlibat
  • Ibu dan bapa atau penjaga kanak-kanak terlibat
  • Pegawai Kebajikan Masyarakat
  • Pegawai Pendakwa
  • Peguam kanak-kanak (jika ada)
  • Saksi-saksi dan
  • Mana-mana pihak yang dibenarkan oleh Mahkamah sahaja.

Penyiaran tentang pendedahan identiti kanak-kanak dilarang namun ada pengecualian tertentu

Selain itu, sebarang laporan dan penyiaran media massa tentang pendedahan identiti kanak-kanak adalah disekat dan dilarang kecuali:

a) Jika Mahkamah bagi kanak-kanak itu berpuas hati bahawa adalah demi kepentingan keadilan untuk berbuat demikian

b) Hendaklah, dalam sesuatu permohonan oleh atau dengan kebenaran “Pelindung”.

Pelindung di dalam konteks ini bermaksud:

  • Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat
  • Timbalan Ketua PengarahKebajikan Masyarakat
  • Pengarah Bahagian bagi Kebajikan Masyarakat
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat
  • Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri bagi setiap negeri
  • Mana-mana Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik

Larangan ini termaktub di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Mana-mana perlanggaran terhadap sekatan dan larangan penyiaran ini jika disabitkan boleh didenda sehingga sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Tambah risalah itu lagi, rayuan terhadap keputusan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak boleh dibuat di Mahkamah Tinggi.

Apakah perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Bagi Kanak- Kanak?

Sekiranya suatu kesalahan telah terbukti dilakukan oleh seseorang kanak-kanak,
Mahkamah adalah berkuasa untuk:

  • Memberi amaran dan melepaskan seseorang kanak-kanak;
  • Melepaskan kanak-kanak itu selepas dia mengikat suatu bon untuk berkelakuan baik dan mematuhi apa-apa perintah yang dikenakan
  • Memerintahkan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu menyempurnakan suatu bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan sewajarnya;
  • Tanpa membuat suatu perintah lain atau sebagai tambahan kepada suatu perintah di bawah perenggan (c), membuat suatu perintah di bawah Seksyen 98 Akta 611 iaitu perintah percubaan (probation order);
  • Memerintahkan kanak-kanak itu dihantar ke suatu sekolah yang diluluskan atau Sekolah Henry Gurney
  • Memerintahkan supaya kanak-kanak itu membayar denda, pampasan atau kos
  • Sebat
  • Sekiranya kanak-kanak itu berumur empat belas tahun ke atas dan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan dan tertakluk kepada subseksyen 96(2) Akta 611, mahkamah boleh mengenakan terhadapnya suatu tempoh penjara. Sekiranya mahkamah memikirkan bahawa kuasanya tidak memadai, boleh menyerahkan kanak-kanak itu kepada Mahkamah Tinggi untuk dihukum.
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.