fbpx
Now Reading
Musim Batuk Kembali! Ini Nasihat Pakar Paediatrik Buat Ibu Bapa & Cara Pencegahannya [Video]

Musim Batuk Kembali! Ini Nasihat Pakar Paediatrik Buat Ibu Bapa & Cara Pencegahannya [Video]

Menurut Pakar Paediatrik dan Neonatologist dari Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor, Dr Syed Abdul Khaliq, musim yang tidak menentu seperti pertukaran musim hujan dan panas boleh menyebabkan anak berisiko diserang penyakit seperti batuk dan sakit tekak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak belakangan ini, ada sahaja individu terdekat yang diserang penyakit seperti batuk. Bukan hanya golongan dewasa, malah kanak-kanak dan bayi juga tidak terkecuali.

Buat ibu bapa, pasti terbit rasa risau dan bimbang melihat anak kesayangan diserang batuk apatah lagi keadaan ini boleh membuatkan tidur serta aktiviti harian mereka terganggu.

Pasti ada segelintir yang terfikir bagaimana caranya untuk mengelakkan si kecil dari dijangkiti penyakit seperti demam, selsema atau batuk.

Batuk Boleh Menyerang Si Kecil 5 Hingga 7 Hari Selepas Musim Tidak Menentu

Baru-baru ini, Pakar Paediatrik dan Neonatologist dari Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor, Dr Syed Abdul Khaliq telah berkongsi tentang langkah yang boleh dilakukan ibu bapa sekiranya anak diserang batuk atau cara untuk mengelakkannya.

Jelasnya dalam video yang dikongsikan di TikTok @drsyedkhaliq, musim yang tidak menentu seperti pertukaran musim hujan dan panas boleh menyebabkan anak berisiko diserang penyakit ini.

Kebiasaannya, si kecil akan mula diserang penyakit batuk, selsema dan sakit tekak tiga hingga lima hari selepas musim tersebut.

“Bila kita dapat kuman tu, kuman masuk dalam badan kita, kadang dia ambil masa tiga hingga lima hari baru mula gejala.

“Sekarang pun dah mula nampak ramai kanak-kanak dah mula batuk, batuk berkahak dan selsema,” jelasnya.

Titip Pesan Buat Ibu Bapa, Elakkan Dari Penyakit Batuk Merebak

Melalui perkongsian itu juga, Dr Syed Abdul Khaliq ada berkongsi tips buat ibu bapa untuk mengelakkan daripada anak diserang batuk atau menjadikan penyakit itu semakin merebak.

“Kena sentiasa jaga kesihatan diri kita maknanya kalau boleh, elak dari pergi tempat bersesak, kita elakkan,” katanya.

Jangan Hantar Anak Pergi Sekolah Jika Si Kecil Telah Diserang Penyakit

Selain itu, sekiranya anak telahpun diserang batuk, Dr Syed Abdul Khaliq menasihatkan agar ibu bapa mengelakkan daripada menghantar mereka ke sekolah.

“Kalau anak kita demam, batuk, selsema, jangan hantar ke sekolah. Kita tak nak anak kita jadi penyebab anak orang lain dapat penyakit.

“Mungkin anak kita dapat tak teruk tetapi mungkin anak orang lain dapat keadaan lebih teruk.

“Kuman (itu) mungkin simple bagi kita tetapi bagi orang lain boleh jadi lebih teruk hingga sebabkan ada yang masuk hospital, sakit lama malah boleh bawa kematian,” terangnya.

Pakai Topeng Muka Jika Perlu Ke Tempat Sesak

Namun, sekiranya ada yang terpaksa pergi ke tempat yang sesak atau dipenuhi orang ramai, Dr Syed Abdul Khaliq mencadangkan agar memakai penutup muka (face mask) atau face shield sekiranya si kecil berasa rimas.

“Dia (face shield) tidaklah protect sepenuhnya tetapi at least dia kurangkan risiko untuk kita dapat jangkitan kuman,” jelasnya.

Dedahkan Si Kecil Dengan Cahaya Matahari & Makan Makanan Berkhasiat

Malah, dia turut menyarankan agar ibu bapa kerap mendedahkan anak mereka kepada cahaya matahari yang merupakan sumber utama vitamin D.

Ini kerana vitamin D baik untuk menguatkan sistem imun badan dengan melindungi tubuh dari jangkitan serta penyakit kronik.

Memetik hantaran di Facebook Public Health Malaysia, seseorang itu hanya perlu meluangkan masa dari 10 hingga 15 minit di bawah cahaya matahari sebelum jam 10 pagi bagi mendapatkan vitamin D.

Individu tidak perlu sampai keluar berjalan hingga berpeluh, cukup sekadar menjemurkan tangan, muka dan lengan.

Pada masa yang sama, Dr Syed Abdul Khaliq turut menasihatkan agar seseorang itu mengambil makanan atau vitamin yang mencukupi untuk mengelakkan daripada terkena jangkitan kuman.

Ajar Anak Tentang Kebersihan & Etika Batuk Yang Betul

Tegas Dr Syed Abdul Khaliq lagi, apa yang paling penting adalah sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan setiap kali si kecil menyentuh permukaan.

“Basuh tangan sangat penting. Ajar anak kita sentiasa kerap basuh tangan setiap kali menyentuh permukaan,” katanya.

Namun sekiranya si kecil telahpun diserang batuk, dia menyarankan agar ibu bapa mengajar anak tentang etika batuk yang betul.

Ia penting untuk mengelakkan kuman daripada bertebaran dan menjangkiti orang lain.

“Ini sangat penting. Ajar anak kita kalau batuk tu, jangan batuk dekat orang lain, jangan kesat dekat orang lain.

“Etika batuk kena betul. Cover mulut ataupun buat dab, kita tutup. Ajar anak dekat sekolah pun buat macam tu,” terangnya.

Bila Boleh Bawa Anak Ke Hospital Untuk Dapatkan Rawatan?

Melalui perkongsian itu juga, Dr Syed Abdul Khaliq turut berkongsi waktu yang sesuai untuk membawa anak ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Kalau anak dah mula demam yang tinggi ataupun macam susah nak bernafas, batuk tu sampai menganggu tidur sampai nafas pun berbunyi, datang ke hospital,” jelasnya lagi.

@drsyedkhaliq Musim batuk bermula lagi #drsyedkhaliq #doktorbabybydsk #drbabybydsk #AssuntaHospital #doktorbudak ♬ original sound – Dr Syed Khaliq

Tonton video [DI SINI]

Baca Artikel Berkaitan: 9 Petua Yang Berkesan Untuk Hilangkan Batuk & Sakit Tekak

Baca Artikel Berkaitan: Doktor Dedah Suhu Aircond Rendah Bahaya Untuk Penghidap Asma [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.