Kubur Pun Dah Tak Selamat, Wanita Kecewa Kepuk & Batu Nisan Di Pusara Ibu Kena Curi
Kongsi wanita yang dikenali sebagai Melati, dia dan adik-beradiknya berniat untuk memasang kepuk di pusara ibu bagi mengelakkan daripada berlaku tanah runtuh dan bukanlah untuk hiasan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kejadian rompak, samun, bunuh dan mencuri merupakan antara aktiviti jenayah yang sering berlaku di Malaysia.
Bila sebut tentang mencuri, kebiasaannya penjenayah hanya akan mensasarkan barang berharga seperti wang ringgit atau barang kemas.
Namun entah mengapa, ada segelintir dilihat mencuri barang yang kadangkala tidak terfikir oleh orang lain tujuan kegunaannya.
Kepuk & Batu Nisan Di Pusara Ibu ‘Hilang’ Sekelip Mata
Baru-baru ini, seorang pengguna telah berkongsikan foto sebelum dan selepas pusara milik ibunya di sebuah tanah perkuburan Islam.
Menerusi perkongsian yang tular di media sosial, kelihatan pusara tersebut berada dalam keadaan sempurna, lengkap dengan batu nisan dan kepuk serta sebuah pokok.
Namun, keadaan menjadi berubah selepas batu nisan serta kepuk kubur yang diperbuat daripada kayu hilang sekelip mata.
Memetik Harian Metro, wanita yang dikenali sebagai Melati Abd Ghani meluahkan rasa kecewa dengan kejadian yang berlaku di pusara ibunya itu.
“Kecewa, marah dan sakit hati sangat kerana lihat kubur emak diperlakukan begitu.
“Kami adik-beradik sudah buat yang terbaik untuk jaga kubur tapi ada tangan ghaib pula mencuri sampai berasa kubur (tanah perkuburan) pun sudah tak selamat,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Difahamkan, pusara ibunya, Allahyarham Rahmah Yaakob terletak di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ibor, Batu 3 di Pedas, Negeri Sembilan.
Niat Pasang Kepuk Di Pusara Elak Tanah Runtuh, Kehilangan Hanya Disedari Adik
Kongsi Melati yang berusia 48 tahun, dia dan adik-beradiknya berniat untuk memasang kepuk di pusara ibu bagi mengelakkan daripada berlaku tanah runtuh dan bukanlah untuk hiasan.
Manakala, pokok bunga pula ditanam agar kelihatan nampak berseri.
Walau bagaimanapun, dia tidak menyangka ada individu tidak bertanggungjawab mencuri kepuk, nisan dan batu sungai.
Kehilangan barangan tersebut hanya disedari oleh adiknya ketika menziarahi pusara ibu mereka pada pagi Selasa (12 Ogos).
“Adik kongsi gambar di kumpulan WhatsApp keluarga dan bila tengok, memang terkejut kerana sampai macam itu sekali ada yang tergamak buat dekat kubur emak.
“Tak ada yang tinggal kecuali batu nisan tertera nama emak dan ia pertama kali berlaku selepas kami adik beradik cantikkan kubur arwah pada Mac 2025 selepas meninggal dunia Ramadan tahun lalu akibat sakit tua.
“Tak tahu kerja siapa tapi yang pasti bukan penduduk kampung kerana belum pernah jadi kes itu di tanah perkuburan berkenaan sebelum ini,” jelasnya lagi.


Minta Adik Buat Laporan Polis, Harap Ada Pihak Pantau Tanah Perkuburan
Jelas Melati lagi, dia ada meminta adiknya itu membuat laporan polis agar kejadian tersebut disedari oleh pihak berkuasa.
Pada masa sama, dia berharap tanah perkuburan berkenaan dapat dipantau bagi mengelakkan kes sama berulang dan lebih banyak pusara menjadi sasaran.
“Kita tak pernah sangka pun akan terjadi kes macam itu kerana mustahil orang kampung nak buat begitu.
“Jadi saya harap dan minta sangat pertolongan supaya tanah perkuburan itu dipantau dan mungkin boleh dipertimbangkan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).
“Ia kerana selain kes curi, kita tak (mahu) adanya individu melakukan perbuatan khurafat di kawasan tanah perkuburan kerana ia tempat yang sepatutnya terhindar daripada anasir negatif,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Ni Bukan Taman Tema Ya” – Ramai Persoal Tindakan Hias Kubur Guna Lampu Lip-Lap [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Belindan Kubur Dialihkan Sesuka Hati, Ini Penjelasan Imam Tua Mukim Meranto



