fbpx
Now Reading
Harus Hukumnya Gali Semula Kubur Bagi Tujuan Bedah Siasat – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Harus Hukumnya Gali Semula Kubur Bagi Tujuan Bedah Siasat – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Hukum asal menggali semula kubur untuk mengeluarkan jenazah adalah haram, hal ini kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai mencemarkan kehormatan si mati.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada bulan lalu masih lagi menjadi tumpuan ramai.

Ia susulan dakwaan bahawa tragedi itu mempunyai kaitan dengan kes buli di mana arwah Zara dikatakan menjadi mangsa buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.

Setelah lebih 20 hari Allahyarhamah Zara dikebumikan, Peguam Negara akhirnya mengarahkan proses gali semula kubur bagi tujuan bedah siasat pada 8 Ogos lalu. Proses menggali kemudiannya selesai pada Sabtu (9 Ogos) pada jam 7.15 malam.

Apa hukum gali semula kubur bagi tujuan post-mortem

Ramai yang bersetuju dengan tindakan itu demi mendapatkan keadilan terhadap mangsa dan keluarganya, namun timbul juga persoalan mengenai hukum menggali semula jenazah yang telah dikebumikan untuk tujuan bedah siasat.

Susulan itu, mari kami kongsikan penjelasan yang telah diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu di laman web rasminya semalam (10 Ogos).

Menurutnya, hukum asal menggali semula kubur untuk mengeluarkan jenazah adalah haram, hal ini kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai mencemarkan kehormatan si mati.

Larangan ini berasaskan hadis Nabi Muhammad SAW:

كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا

Maksudnya: Mematahkan tulang orang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya ketika masih hidup. (Riwayat Abu Daud)

Gali semula jenazah diharuskan jika keperluan syarie atau darurat

Bagaimanapun, jelas Pejabat Mufti WP, jika kubur digali kerana keperluan syarie atau darurat maka ia diharuskan.

Dalam kitab al-Tamhid (13:138), Jabir R.A, Muawiyah R.A dan para sahabat pernah melakukannya dalam keadaan tertentu tanpa ada yang mengingkarinya.

Malah, di dalam kitab al-Majmu’ (5:273), Talhah bin Ubaidillah R.A salah seorang sahabat yang dijamin syurga telah dikeluarkan jenazahnya selepas 30 tahun dikebumikan kerana kuburnya ditakungi air, dah jasadnya masih baik sebelum dipindahkan ke Basrah.

“Justeru itu walaupun pada hukum asalnya adalah haram, namun mazhab al-Syafi’i mengharuskan pembongkaran kubur sekiranya terdapat keperluan mendesak (darurah),” kata Pejabat Mufti WP.

Antara situasi keperluan yang dikategorikan sebagai darurat atau keperluan yang mendesak sehingga diharuskan untuk menggali kubur adalah:

  1. Memandikan mayat yang belum dimandikan.
  2. Menghadapkan mayat ke arah kiblat.
  3. Mengambil harta yang terjatuh ke dalam liang lahad.
  4. Menyelamatkan bayi dalam kandungan yang masih hidup.
  5. Apabila dikebumikan di tanah curi.
  6. Dikhuatiri kuburnya akan dibongkar pihak lain. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah: 390)

Bahkan dalam konteks fatwa di negara Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 telah membincangkan isu ini dan memutuskan bahawa:

  1. Harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau darurat dengan sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak.
  2. Harus menggali semula tanah perkuburan untuk digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru setelah dikenal pasti oleh pihak berkuasa bahawa mayat tersebut telah pun reput.

Kesimpulannya, hukum menggali semula jenazah yang dikebumikan atas keperluan yang mendesak seperti bedah siasat untuk mengesahkan sesuatu yang penting yang hanya boleh didapati dengan cara tersebut adalah diharuskan jika mendapat keizinan daripada pihak berautoriti.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Kematian Zara Qairina: Mustapha Sakmud Nafi Fitnah Kaitkan Isteri

Baca Artikel Berkaitan: “Periuk Api Zaman Jepun Kot” – Lelaki Jumpa ‘Sesuatu’ Semasa Gali Kubur Raih Perhatian Ramai [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.