Trump Desak CEO Intel Kelahiran Malaysia Letak Jawatan, Dakwa Ada Kaitan Dengan Syarikat China
Difahamkan saham Intel susut 4% sebaik Trump mengeluarkan kenyataan tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetus kontroversi selepas mengeluarkan kenyataan tegas mengenai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat cip Amerika Syarikat, Intel.
Trump menerusi akaun media sosial di Truth Social, menuntut agar CEO baharu Intel kelahiran Malaysia, Lip-Bu Tan itu meletakkan jawatan serta merta.
Kenyataan itu dibuat Trump selepas seorang Senator Republikan membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan negara dengan mengaitkan Tan dengan syarikat di China.
“CEO Intel sangat berkonflik dan mesti meletakkan jawatan serta-merta. Tiada penyelesaian lain untuk masalah ini. Terima kasih atas perhatian anda ke atas masalah ini,” tulisnya.
Trump memuat naik hantaran sedemikian sehari selepas senator Tom Cotton menulis surat kepada Intel mempersoalkan hubungan CEO mereka dengan syarikat-syarikat China.
Tan dilaporkan mengawal puluhan syarikat di negara itu selain mempunyai kepentingan dalam syarikat pembuatan maju dan cip.
Tom Cotton dakwa Tan ada kaitan dengan syarikat PLA China
Menurut Cotton dalam surat yang dihantar kepada Tan, dia mendakwa sekurang-kurangya lapan daripada syarikat tersebut mempunyai kaitan dengan Tentera Pembebasan Rakyat China.
Malah, Cotton juga turut menyebut peranan Tan sebagai bekas Ketua Cadence Design Systems yang sebelum ini mengaku bersalah kerana menjual produk haram kepada sebuah universiti di China serta memindahkan teknologi kepada sebuah syarikat semikonduktor China tanpa mendapatkan lesen.
Saham Intel susut 4%
Difahamkan saham Intel susut 4% sebaik Trump mengeluarkan kenyataan tersebut.
Intel dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dan Tan “komited untuk memajukan kepentingan keselamatan negara dan ekonomi Amerika Syarikat, serta membuat pelaburan besar yang selaras dengan agenda “America First“.
“Kami terus melabur berbilion dolar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan semikonduktor domestik, termasuk kilang baharu kami di Arizona yang akan mengendalikan teknologi proses pembuatan paling canggih di negara ini, dan kami merupakan satu-satunya syarikat yang melabur dalam pembangunan nod proses logik termaju di Amerika Syarikat. Kami menantikan kerjasama berterusan dengan pihak kerajaan.”
Tan, anak kelahiran Muar dilantik sebagai CEO Intel pada Mac 2025
Tan juga anak kelahiran Muar, Johor, mula mengambil alih syarikat Intel yang sedang berhadapan dengan cabaran pada bulan Mac 2025 lalu dan mengumumkan pemberhentian pekerja ketika tarif serta sekatan eksport oleh Rumah Putih yang menganggu pasaran.
Malah, Tan mendakwa ia tidak mudah untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh syarikat tersebut.
Beliau sebelum ini pernah menjadi CEO Cadence Design dari 2008 hingga 2021. Difahamkan sewaktu pentadbirannya, syarikat itu pernah menjual produk kepada sebuah universiti tentera China yang dipercayai terlibat dalam simulasi letupan nuklear.
Pada Julai 2025, Cadence bersetuju untuk mengaku bersalah dan membayar lebih AS$140 juta (RM593 juta) bagi menyelesaikan tuduhan melanggar undang-undang eksport AS berhubung penjualan tersebut