Dapat Jemputan Kahwin Secara Terbuka Di Facebook Atau WhatsApp, Wajib Datang Atau Tidak?
Menurut laman Pejabat Mufti Selangor, seseorang itu wajib (fardu ain) memenuhi jemputan perkahwinan namun konteks wajib yang dimaksudkan tertakluk kepada beberapa syarat oleh para ulama.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada masa dahulu, jemputan kenduri kahwin atau walimatul urus kebiasaannya disampaikan melalui kad jemputan fizikal.
Namun seiring dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi, urusan itu kini dilihat menjadi semakin mudah.
Hanya dengan membuat satu hantaran jemputan secara terbuka menggunakan platform media sosial seperti Facebook atau menerusi kumpulan WhatsApp, ia sebenarnya telah banyak memudahkan tuan rumah sekaligus dapat menjimatkan masa.
Pun begitu, adakah individu yang dijemput secara terbuka menerusi media sosial wajib memenuhi jemputan tersebut memandangkan Islam menggalakkan seseorang itu memenuhi undangan perkahwinan?
Wajib Penuhi Jemputan Perkahwinan Jika Tiada Sebarang Keuzuran– Pejabat Mufti Selangor
Menurut laman Jabatan Mufti Selangor, seseorang itu wajib (fardu ain) memenuhi jemputan perkahwinan jika tidak mempunyai sebarang keuzuran.
Namun jelas mereka, hukum wajib ini tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh para ulama antaranya seperti berikut:
- Tuan rumah tidak mengkhususkan jemputannya hanya kepada orang-orang kaya sahaja. Jika dia mengkhususkan mereka sahaja, maka tidak wajib menghadiri jemputan tersebut.
- Tuan rumah seorang Muslim dan orang yang dijemput juga seorang Muslim. Jika selain daripada itu, maka tidak wajib menghadiri jemputan tersebut.
- Tuan rumah menjemput pada hari pertama (walimah), jika dia mengadakan walimah lebih dari satu hari. Jika dia menjemput pada hari kedua, maka sunat menghadirinya. Manakala jika pada hari ketiga, maka makruh untuk menghadiri jemputan tersebut.
- Tuan rumah menjemput kerana ingin berkasih sayang dan menjalin hubungan baik. Jika dia menjemput kerana khuatir atau mengharapkan kedudukan seseorang, maka tidak wajib menghadiri jemputan tersebut.
- Tuan rumah bukan seorang yang zalim, jahat atau pemilik harta yang haram. Jika dia termasuk dalam golongan tersebut, maka tidak wajib menghadiri jemputan tersebut.
- Tidak ada kemungkaran dalam majlis tersebut seperti arak, percampuran bebas antara lelaki dan perempuan atau gambar manusia dan haiwan yang digantung di dinding.
Jemputan Melalui Facebook Atau WhatsApp Tidak Dianggap Sebagai Tuntutan Yang Perlu Dipenuhi
Walau bagaimanapun, laman Jabatan Mufti Selangor turut menjelaskan sekiranya seseorang itu mendapat jemputan secara terbuka (umum) melalui Facebook mahupun WhatsApp, jemputan tersebut bukanlah satu tuntutan yang wajib dipenuhi.
“Maka kami cenderung menyatakan bahawa jemputan secara umum tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk dipenuhi melainkan dinyatakan dengan khusus dan jelas ditujukan secara khas seperti dimaklumkan secara peribadi di dalam group-group tertentu atau melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan dan selainnya mengikut kepada pertimbangan dan syarat-syarat yang telah dinyatakan,” jelas mereka.
Jenis Keuzuran Yang Dibolehkan Untuk Tidak Penuhi Undangan Majlis
Namun, sekiranya seseorang itu tidak dapat menghadiri atas sebab tertentu maka ia boleh dianggap sebagai keuzuran yang dimaafkan.
Antara keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak memenuhi jemputan tersebut adalah:
#1 Faktor kesihatan
Contohnya apabila seseorang dijangkiti penyakit berjangkit seperti Influenza dan Covid yang boleh memudaratkan diri sendiri dan orang lain.
Jika seseorang itu mempunyai masalah psikologi seperti kemurungan atau rasa gelisah, dia juga dibenarkan untuk tidak memenuhi jemputan majlis.
#2 Lokasi kenduri yang jauh dan mengalami kesukaran pengangkutan
Lokasi walimatulurus yang jauh serta tempoh perjalanan yang panjang dan kos yang tinggi selain tiada pengangkutan sesuai untuk sampai ke destinasi membolehkan seseorang tersebut untuk tidak perlu memenuhi undagan.
#3 Mendapat banyak undangan walimatulurus dalam satu masa
Menerima jemputan yang banyak pada hari yang sama dengan jarak yang jauh
#4 Mempunyai tanggungjawab atau tugasan penting
Ini juga boleh menjadi antara salah satu keuzuran yang membenarkan seseorang itu tidak perlu hadir ke kenduri kahwin.
Mereka yang mempunyai komitmen kerja rasmi seperti mesyuarat, bekerja syif atau tugasan yang tidak boleh ditangguhkan dibolehkan untuk tidak menghadiri majlis berkenaan.
Maklum & Mohon Maaf Kepada Tuan Rumah Jika Tidak Dapat Hadir
Jelas laman itu lagi, sekiranya seseorang itu tidak dapat menghadirkan diri ke jemputan berkenaan, Jabatan Mufti Selangor berpendapat agar individu memaklumkan dan memohon maaf kepada tuan rumah.
“Di samping itu, dibolehkan juga menghantar wakil untuk memenuhi jemputan atau memberi hadiah sebagai tanda ingatan dan mengeratkan silaturrahim,” jelas mereka lagi.
#91 Taudhih Al-Hukmi : Hukum Berkaitan Jemputan Walimah Pernikahan atau perkahwinan merupakan salah satu bentuk ibadah…
Posted by Jabatan Mufti Negeri Selangor on Sunday 27 July 2025
Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Tak Hadir Kenduri Kahwin Sebab Tak Ada Duit Atau Hadiah Nak Bagi? Ini Penjelasan UAI [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Bolehkah Umat Islam Ke Gereja & Rumah Ibadat Agama Lain? Ini Penjelasan Pejabat Mufti WP


