Lelaki Bina Negara Sendiri Dengan 400 Rakyat, Ini Kisah Free Republic of Verdis
Kawasan yang menjadi tempat pemuda itu membina Free Republic of Verdis tidak dituntut oleh Croatia atau Serbia kerana pertikaian sempadan yang belum diselesaikan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap orang pasti mempunyai angan-angan dan impian tersendiri bukan? Ada yang ingin membina rumah idaman dan ada pula yang ingin memiliki ‘supercar’.
Mungkin, ada yang memiliki angan-angan yang lebih besar dan mustahil untuk dicapai seperti membina negara sendiri.
Bagaimanapun, siapa sangka seorang lelaki berusia 20 tahun telah menjadi tular di Reddit selepas dia mengisytiharkan dirinya sebagai presiden kepada sebuah negara yang diakuinya sendiri, dikenali sebagai Free Republic of Verdis.
Free Republic of Verdis ada 400 rakyat
Memetik The Economic Times, negara mikro ini terletak di kawasan kecil yang menjadi pertikaian di sepanjang Sungai Danube antara Crotia dan Serbia.
Pemuda yang dikenali sebagai Daniel Jackson menubuhkan Verdis pada tahun 2019 lalu dan dia berkata ketika ini negara terbabit telah mempunyai bendera sendiri, kabinet, mata wang dan sekitar 400 orang warganegara.
Verdis terletak di kawasan hutan seluas 0.5 kilometer persegi yang dikenali di dalam peta sebagai “pocket three.” Kawasan ini tidak dituntut oleh Croatia atau Serbia kerana pertikaian sempadan yang belum diselesaikan.
Jackson bina kerajaan sendiri atas tanah yang tak dimiliki mana-mana negara
Menurut Jackson, dia mendapati kawasan itu secara teknikalnya tidak dimiliki oleh mana-mana negara dan dia memutuskan untuk merealisasikan idea yang telah difikirkan sejak remaja.
“Verdis adalah idea saya sejak umur 14 tahun. Pada mulanya ia hanya eksperimen bersama beberapa kawan. Kami semua pernah berangan-angan untuk mencipta sesuatu yang gila,” katanya.
Jackson yang juga seorang pereka digital yang mencipta dunia maya di Roblox berkata, dia mula mengambil serius projek verdis pada usia 18 tahun dengan memperkenalkan undang-undang, memilih bahasa rasmi iaitu Bahasa Inggeris, Crotia dan Serbia serta menggunakan Euro sebagai mata wang negara.
“Kami mula menjadikan Verdis satu realiti ketika saya berumur 18 tahun dengan membentuk beberapa undang-undang dan bendera. Kini kami telah membina sebuah kerajaan dan mempunyai kabinet yang mantap,” katanya lagi.
Croatia halau Jackson daripada menduduki Verdis
Bagaimanapun, pada Oktober 2023, polis Croatia telah menahan Jackson dan beberapa individu lain yang cuba menetap di kawasan itu. Mereka telah diusir keluar dan Jackson dikenakan larangan seumur hidup daripada memasuki Croatia.
Kini, Jackson sering ke Belgrade, Serbia di mana dia berkata pegawai-pegawai di sana lebih terbuka terhadap projeknya. Dia terus memperjuangkan akses ke Verdis dan berharap dapat kembali ke sana suatu hari nanti.
“Kami menghadapi banyak masalah dengan pihak berkuasa Croatia, tetapi kami mahu hubungan baik dengan mereka pada masa hadapan.
“Ia cuma soal masa, bukan kemungkinan. Croatia tidak menuntut kawasan itu, jadi kami berhak ke atasnya, dan kami percaya kami mempunyai peluang yang baik,” ujar Jackson.