Kawal Makan Durian Jika Ada Risiko Kesihatan, Kata Pakar
Jelas Pakar Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran, isi durian mempunyai kandungan tenaga dan gula yang tinggi iaitu sekitar 130 sehingga 253 kilokalori (kcal) bagi berat 155 gram.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai kisah anggota kumpulan Nico G, Dino yang diserang strok pada bahagian kanan badan sejak tiga minggu lalu.
Apa yang menjadi perhatian adalah Dino atau nama sebenarnya Mohd Shah Rosli mendakwa sehari sebelum insiden tersebut, dia ada menikmati tujuh biji durian yang merupakan buah kegemarannya.
Memetik Berita Harian, Dino yang berusia 50 tahun percaya faktor pemakanan tidak dikawal dan rokok yang dihisap terlalu banyak menjadi punca kepada masalah tersebut.
Namun kini, keadaannya menjadi semakin baik selepas mengikut saranan dan nasihat doktor.
Perokok Tegar & Penghidap Penyakit Kronik Tak Digalakkan Makan Durian Secara Berlebihan
Mengulas lanjut tentang perkara ini, Pakar Kesihatan Awam, Dr Safiya Amaran menjelaskan individu yang berusia lebih 50 tahun, perokok tegar dan penghidap penyakit kronik tidak digalakkan untuk menikmati raja buah itu secara berlebihan.
Jelasnya, mereka sepatutnya hanya perlu mengambil satu hingga dua ulas durian bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Terang Dr Safiya, isi durian mempunyai kandungan tenaga dan gula yang tinggi iaitu sekitar 130 sehingga 253 kilokalori (kcal) bagi berat 155 gram.
“Durian mempunyai Indeks Glisemik (GI) yang rendah iaitu 49 kerana kandungan seratnya yang tinggi.
“Namun, jika dimakan secara berlebihan boleh meningkatkan paras gula dalam darah dengan ketara, terutamanya bagi pesakit diabetes atau pradiabetes,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Makan Durian Secara Berlebihan Tambah Risiko Diserang Angin Ahmar
Kongsinya lagi, jika golongan yang berisiko menikmati durian dengan kadar terlalu banyak, ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan selain meningkatkan risiko diserang angin ahmar.
Pada masa yang sama, Dr Safiya turut mengulas petua minum air dari pangsa durian untuk memanaskan badan.
Jelasnya, ada kajian daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2023 yang menunjukkan kesan itu memang wujud.
“Durian menghasilkan kesan termogenesis iaitu peningkatan suhu badan selepas makan kerana metabolisme meningkat.
“Namun, kajian mendapati minum 500 mililiter air kosong selepas makan durian membantu menstabilkan atau menurunkan sedikit suhu badan.
“Kesan itu hampir sama sahaja sama ada air diminum menggunakan cawan biasa atau pangsa durian,” jelasnya lagi.
Pengambilan Durian Berlebihan Boleh Beri Kesan Kepada Penghidap Penyakit Kronik
Menerusi satu hantaran di Facebook Public Health Malaysia (PHM), laman itu ada berkongsi info mengenai bilangan durian yang boleh diambil oleh individu mengikut keadaan kesihatan mereka.
Ini kerana pengambilan durian perlu dikawal khususnya bagi individu yang mempunyai penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
Manakan tidak, durian merupakan buah yang tinggi kalori, gula semula jadi (frukstosa) lemak dan kalium.
“Kalau dimakan dengan kuantiti besar, ia boleh menaikkan tekanan darah, melonjakkan gula darah, dan membebankan organ seperti jantung dan buah pinggang.
“Gabungan dengan makanan lain seperti air manis, makanan laut, dan kurang tidur akan menggandakan kesan buruk,” jelas mereka.
Berapa Ulas Durian Yang Boleh Diambil?
Melalui perkongsian itu juga, PHM ada memberi panduan buat mereka yang menghidap penyakit kronik jika mahu menikmati durian.
Bagi individu yang sihat, dua hingga tiga ulas durian sudah mencukupi.
Namun, bagi pesakit kronik, satu hingga dua ulas serta perlu dielakkan jika keadaan kesihatan tidak stabil.
Berikut bilangan durian yang boleh diambil mengikut keadaan individu:
- Darah tinggi terkawal (dengan ubat) – 1 hingga 2 ulas
- Penyakit jantung ringan dan terkawal – 1 hingga 2 ulas (berhati-hati jika ambil ubat Spironolactone)
- Pesakit buah pinggang kronik – elak makan durian jika berada pada tahap 3 hingga 5 atau menjalani dialisis
- Pesakit kencing manis – 1 hingga 2 ulas jika gula stabil, elakkan makan ketika gula tinggi
- Gout – 1 hingga 2 ulas sahaja, elakkan gabung dengan makanan tinggi Purine seperti ikan bilis, organ dalaman, telur ikan dan sardin atau markerel dalam tin
“Ramai yang datang ke klinik… semua salahkan durian.” Setiap kali musim durian, satu fenomena yang biasa berlaku di…
Posted by Public Health Malaysia on Saturday 26 July 2025
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Mabuk Jika Minum Kopi Selepas Makan Durian, Ini Penjelasan & Cara Pencegahannya
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Ibu Bapa Beri Bayi Makan Buah Durian? Ini Penjelasannya



