Ramai Sertai Himpunan Aman Di KL, Tuntut Hentikan Genosid & Kebuluran Di Gaza
Himpunan aman anjuran beberapa NGO itu turut menuntut pengakhiran keganasan serta menggesa rakyat Malaysia untuk terus bersuara, bertindak dan berdiri teguh bersama Palestin
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Sabtu (2 Ogos) rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang telah berhimpun di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur bagi menyertai perarakan membantah kepungan, krisis kebuluran dan genosid berterusan terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Himpunan berkenaan yang dianjurkan secara bersama oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti BDS Malaysia, Sekretariat Badan Palestin, Viva Palestina, MyCare dan banyak lagi menuntut pengakhiran keganasan serta menggesa rakyat Malaysia untuk terus bersuara, bertindak dan berdiri teguh bersama Palestin
Mereka dalam masa sama turut menyeru kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah lebih tegas seperti:
• Menyemak dan menamatkan kontrak bersama syarikat yang terlibat dengan jenayah perang Israel, termasuk Amazon Web Services, Microsoft, Caterpillar, dan Boeing.
• Memperkasakan dasar BDS di peringkat nasional serta memperhebat kesedaran pengguna.
• Menegaskan pendirian dalam forum antarabangsa serta mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Organisasi Kerja Islam (OIC ) mengenakan sekatan terhadap Israel.
Gabungan NGO berkenaan dalam satu kenyataan berkata, sejak Oktober 2023, lebih 60,000 rakyat Palestin telah dibunuh oleh rejim Israel termasuk lebih 18,000 kanak-kanak.
“Jumlah sebenar korban dijangka jauh lebih tinggi kerana ribuan masih terperangkap dan tertimbus di bawah runtuhan. Lebih membimbangkan, kebuluran kini sedang dikenakan secara sengaja ke atas penduduk Gaza.”

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai agensi kemanusiaan sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 162 kematian akibat kelaparan termasuk 92 kanak-kanak susulan tindakan Israel yang menyekat bantuan, mengebom konvoi makanan, dan memusnahkan infrastruktur pertanian.
Lebih 80% infrastruktur Gaza termasuk sekolah, hospital dan sistem bekalan air telah lumpuh sepenuhnya.
“Ini bukan peperangan. Ini adalah kempen pembersihan etnik yang sistematik. Matlamatnya jelas, mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka dan menghapuskan kewujudan mereka selama-lamanya.
“Namun begitu, masyarakat antarabangsa khususnya kerajaan-kerajaan Barat yang berkuasa masih gagal bertindak. Keengganan mereka — malah ada yang bersubahat telah memberi ‘lesen’ kepada Israel untuk meneruskan kemusnahan tanpa sebarang hukuman,” kata kenyataan itu lagi.

Mengapa Protes Awam Penting?
Menurut kumpulan NGO berkenaan, tekanan awam sentiasa menjadi kuasa yang ampuh dalam perjuangan menentang kezaliman.
“Dari gerakan anti-Apartheid di Afrika Selatan hingga ke perarakan hak sivil di Amerika Syarikat, mobilisasi rakyat secara besar-besaran telah terbukti mampu mengubah kesedaran masyarakat dan dasar politik.
“Setiap protes menghantar satu mesej, ‘Kami sedang memerhati. Kami tidak akan berdiam diri.’ Melalui penentangan secara kolektif, sistem penindasan mula retak dan runtuh.”

Mengapa Boikot Berkesan
Tambah kenyataan itu lagi, boikot ialah senjata aman dan tanpa kekerasan yang memberi tekanan secara ekonomi dan politik.
Gerakan BDS telah berjaya mendesak banyak syarikat dan institusi besar memutuskan hubungan dengan rejim apartheid Israel.
“Seperti mana boikot membantu menjatuhkan sistem apartheid di Afrika Selatan, kini ia mencabar sistem yang mengaut keuntungan dari pendudukan dan genosid.”
Perarakan pada hari Sabtu anjuran gabungan NGO-NGO Malaysia seperti disenaraikan di bawah telah disertai oleh rakyat pelbagai kaum, agama dan warganegara. Sehingga seluruh tanah itu, dari sungai hingga ke laut, bebas sepenuhnya.
“Kami tidak akan berdiam diri. Kami tidak akan berpaling. Selagi keadilan belum ditegakkan dan Palestin belum bebas — kami akan terus berarak,” katanya lagi.
- BDS Malaysia
- Sekretariat Solidariti Palestin (SSP)
- Viva Palestina
- MyCare
- Malaysian Humanitarian Aid & Relief
- Gegar Amerika
- MWCQP
- Asia Pacific Women’s Coalition for AlQuds and Palestine
- Rose 2 Rose
- Students Against
- Genocide Malaysia
- Standup Flashmob