fbpx
Now Reading
Boleh Ke Lewatkan Pengebumian Jenazah Dalam Islam Seperti Tunggu Keluarga Yang Jauh? Ini Penjelasannya

Boleh Ke Lewatkan Pengebumian Jenazah Dalam Islam Seperti Tunggu Keluarga Yang Jauh? Ini Penjelasannya

Bagi yang beragama Islam, seringkali kedengaran agar urusan pengebumian dipercepatkan namun, ada segelintir waris yang mahu menangguhkan perkara itu atas alasan mahu menunggu ketibaan ahli keluarga yang lain.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap yang bernyawa tidak kiralah manusia, haiwan mahupun tumbuhan pasti akan mati satu hari nanti.

Bila sebut tentang kematian, setiap agama di atas bumi ini mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan jenazah.

Bagi yang beragama Islam, seringkali kedengaran agar urusan pengebumian dipercepatkan.

Namun, ada segelintir waris yang mahu menangguhkan perkara itu atas alasan mahu menunggu ketibaan ahli keluarga yang lain.

Pernah tak terfikir hukum jika menangguhkan proses pengebumian jenazah dalam Islam?

Pengebumian Jenazah Perlu Disegerakan – Nabi Muhammad SAW

Memetik laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Nabi Muhammad SAW menyuruh agar disegerakan urusan pengebumian.

Ini berdasarkan sabda Baginda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ ، فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا إِلَيْهِ ، وَإِنْ تَكُ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: Bersegeralah kalian dalam menguruskan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya.

Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.

Hadith riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Urusan Pengebumian Perlu Dibuat Tanpa Keadaan Tergopoh-Gapah

Jelas laman itu lagi, Syeikh ‘Ilisy al-Maliki ada menjelaskan maksud menyegerakan pengebumian dalam hadis di atas.

Ia termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat dan mengusung jenazah ke tanah perkuburan tanpa dilakukan dalam keadaan tergopoh-gapah.

“Makruh hukumnya jika dengan kelajuan yang menyukarkan untuk orang lain untuk mengikutinya. (Rujuk Fatawa Syeikh Ilisy, 1:155),” jelas mereka.

Boleh Ditangguhkan Atas Sebab Tertentu

Walau bagaimanapun, seseorang itu diharus dan boleh menangguhkan pengebumian jika mempunyai sebab atau maslahat yang besar seperti:

  • Jika terdapat syak tentang kematiannya seperti seseorang mati akibat lemas, penyakit berkaitan perut, kematian mengejut dan seumpanya yang masih berkemungkinan untuk hidup dalam bahasa mudahnya melakukan post mortem.
  • Menunggu supaya jenazah dapat disembahyangkan oleh jemaah yang lebih ramai contohnya jika seseorang itu mati pada awal pagi Jumaat dan ditangguhkan sehingga selepas solat jumaat untuk mendapatkan bilangan jemaah. Jelas laman itu, jenazah yang disembahyangkan dengan bilangan jemaah yang ramai boleh memberikan syafaat kepada si mati.
  • Menunggu kedatangan ahli keluarga waris untuk melihat jenazah buat kali terakhir selagi mana ia tidak terlalu lama.
  • Memetik laman Mufti Selangor, tiada kelengkapan pengurusan jenazah juga boleh ditangguhkan atas sebab ini.

Perkara yang sama juga pernah dijelaskan oleh penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam video yang dikongsikan di YouTube.

“Pengebumian jenazah itu mesti dipercepatkan. Boleh lambat jika ada maslahah, ada sebab, ada uzur syarie, baru kita lambatkan.

“Lambat pun dengan kadar yang tertentu. Jika tiada sebab apa, maka kena cepat (pengebumian),” katanya.

Segera Kebumi & Dahulukan Hak Jenazah

Namun, UAI menjelaskan seseorang itu perlu mendahulukan hak jenazah dengan menyegerakan pengebumian walaupun dihalang oleh anak jenazah itu sendiri.

“Walaupun yang suruh lambat itu anaknya, tidak boleh kerana hak mayat (jenazah) didahulukan daripada hak anak.

“Menyegerakan pengebumian hak jenazah, kita kena hormat hak dia dahulu,” terangnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Haram Simpan & Beku Jenazah Orang Islam Tanpa Sebab Sah – Mufti Pulau Pinang

Baca Artikel Berkaitan: Tak Tahu Nak Buat Apa Jika Berlaku Kematian Di Rumah? Ini Langkah Awal Yang Boleh Dilakukan [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.