Ibu Ayah Gen Z Kurang Membaca Kepada Anak, Anggap Hanya Sebagai Subjek Pembelajaran
Satu tinjauan oleh HarpenCollins UK pada 2024 mendedahkan bahawa tidak sampai separuh daripada ibu ayah merasakan aktiviti membaca kepada anak-anak sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Menjadi ibu ayah datang dengan tanggungjawab besar dalam membesarkan dan mendidik anak-anak dengan sesempurna mungkin.
Namun disebabkan oleh gaya hidup masa kini, lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi, semakin ramai yang mulai alpa dengan penggunaan peralatan berskrin.
Ini termasuklah ibu ayah yang lebih gemar memberi anak-anak menonton televisyen atau bermain telefon pintar, berbanding membaca buku atau membuat aktiviti lain bersama.
Baca Artikel Berkaitan: Ketagihan Skrin: Rakyat Malaysia Di Tempat Ke-8 Dunia, Luang Hampir Separuh Waktu Berjaga
Baca Artikel Berkaitan: Nak Elak Beri Gajet Kepada Anak Kecil? Wanita Ini Kongsi 3 Tips Mudah Buat Ibu Bapa
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Anak Kerap Tonton Skrin? Perhatikan Tanda-Tanda Ini Untuk Kenal Pasti ‘Brain Rot’
Ramai Ibu Bapa Gen Z Rasa Membaca Hanya Sebagai Subjek Pembelajaran
Satu tinjauan oleh HarpenCollins UK yang dijalankan pada 2024 mendedahkan bahawa kurang separuh ibu ayah merasakan membaca kepada anak-anak sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Terutamanya dalam kalangan ibu ayah Gen Z, hampir satu pertiga daripada golongan ini berpendapat bahawa membaca adalah lebih kepada satu subjek pembelajaran berbanding membawa keseronokan.
Ini kerana mereka yang menjadi generasi pertama membesar dengan teknologi mungkin lebih memilih hiburan digital berbanding buku untuk mengisi masa lapang.
Sebaliknya, hanya 21% daripada ibu ayah Gen X yang mempunyai pendapat sedemikian.

Hanya 1 Per 3 Kanak-Kanak 5 ke 10 Tahun Membaca Demi Keseronokan
Dalam kebanyakan kes, pemikiran ibu ayah pasti akan membentuk generasi seterusnya.
Tinjauan sama mendapati hanya 32% daripada kanak-kanak berusia 5 ke 10 tahun membaca demi keseronokan. Ini menunjukkan penurunan ketara berbanding 55% pada 2012.
Menurut HarperCollins UK, situasi ini mungkin terjadi kerana ibu ayah kurang membaca kepada mereka sebelum berusia lima tahun. Hanya 41% ibu ayah didapati berbuat demikian, berbanding 64% pada 2012.
Malah, hampir satu per tiga kanak-kanak berusia 5 ke 13 tahun turut merasakan membaca sebagai satu subjek pembelajaran berbanding pekara yang menyeronokkan. Perkara ini lebih jelas dalam kalangan mereka yang berumur 11 ke 13 tahun.
Antara perkara yang dipercayai menyebabkan mereka berasa sedemikian adalah:
- Ibu ayah kurang membaca kepada mereka.
- Pembacaan dikaitkan sebagai sesuatu yang tertekan berbanding menyeronokkan.

Ibu Ayah Semakin Kurang Membaca Kepada Anak-Anak Lebih Lagi Lelaki
Bukan hanya memikirkan pembacaan sebagai subjek pembelajaran, malah ibu ayah sendiri amat kurang membaca kepada anak-anak mereka.
HarpenCollins UK mendedahkan kira-kira 22% kanak-kanak lelaki berusia 0 ke dua tahun amat jarang atau tidak pernah dibacakan buku.
Sebaliknya hanya 29% daripada mereka dibacakan buku setiap hari. Ini adalah berbanding 44% bagi kanak-kanak perempuan, menunjukkan perbezaan ketara terhadap pendedahan kepada buku mengikut jantina.
Masalah ini berterusan bagi kanak-kanak lelaki sehingga usia remaja memandangkan hanya 12% daripada mereka yang berumur 12 dan 13 tahun membaca demi keseronokan.
Di samping itu, hanya 41% kanak-kanak berusia 0 ke 4 tahun dibacakan buku, yang menunjukkan penurunan ketara dari 64% pada 2012. Angka ini lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak 5 ke 7 tahun (36%) dan 8 ke 10 tahun (22%).
Walhal, pembacaan kepada kanak-kanak oleh ibu ayah terbukti dapat meningkatkan keseronokan dalam membaca.

Ibu Ayah Akui Membaca Sebagai Aktiviti Yang Membosankan
Sebelum ini, seorang bekas cikgu sekolah rendah di Amerika Syarikat, Spencer Russell, turut tertarik dengan masalah ini dan telah bertanya menerusi akaun Instagram miliknya tentang mengapakah ibu ayah tidak membaca kepada anak-anak.
Antara respon yang diterima adalah ibu ayah sendiri tidak gemar membaca yang dianggap sebagai perkara membosankan, serta tidak mempunyai masa yang mencukupi.
Selain itu, ada juga yang memaklumkan bahawa sukar untuk anak-anak mereka memberi fokus ketika baca, yang mungkin boleh dikaitkan dengan masalah fokus akibat pendedahan berpanjangan kepada skrin.
“Saya percaya kita tidak boleh menolak peranan teknologi dalam mempengaruhi ibu ayah Gen Z dan anak-anak mereka terhadap kurangnya pembacaan.
“Waktu penggunaan skrin telah menggantikan interaksi langsung dan kualiti antara ibu ayah dan anak-anak,” kata Russell.
Tambah Russell, dia sering bertemu kanak-kanak yang boleh fokus selama berjam-jam menonton kandungan dalam talian, tetapi mereka akan melarikan diri sebaik sahaja disuruh membaca buku.

Memerhatikan Tabiat Membaca Dalam Kalangan Kanak-Kanak Di Malaysia
Masalah penggunaan skrin dan kurangnya minat membaca ini mungkin merupakan satu isu global yang turut terjadi di Malaysia sendiri.
Pergi sahaja ke mana-mana, boleh dikatakan kebanyakan kanak-kanak lebih sering dilihat menonton skrin berbanding membaca buku atau melakukan aktiviti lain.
Malah, bahagian kanak-kanak di perpustakaan sering lengang dengan ibu ayah lebih gemar memilih untuk membawa anak-anak ke pusat beli belah atau panggung wayang bagi mengisi masa lapang.
Lebih mengejutkan lagi apabila terdapat segelintir anak-anak yang terus fokus kepada skrin walaupun dibawa ke taman permainan untuk beriadah.
Penggunaan skrin tidak seharusnya membawa konotasi yang negatif semata-mata memandangkan mereka juga dapat belajar menerusi kandungan bersesuaian.
Namun ibu ayah diingatkan agar tetap meluangkan masa untuk membaca kepada atau bersama anak-anak setiap hari.
Teliti juga kandungan yang ditonton oleh anak di media sosial dan platform penstriman agar tidak terdedah kepada perkara yang boleh menyebabkan masalah seperti brain rot dan ketagihan tidak sihat.
Baca Artikel Berkaitan: “Terdedah Konten Seksual” – Pakar Anggap Telefon Bukan Satu Keperluan Untuk Pelajar Sekolah
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Ini Jelaskan Mengapa Animasi ‘Skibidi Toilet’ Berbahaya Buat Kanak-Kanak
Baca Artikel Berkaitan: Cikgu Terkejut, Anak Murid Bercita-Cita Nak Jadi Pemb*nuh Kerana Pengaruh Video Game