fbpx
Now Reading
Selamat Ke Bancuh Susu Formula Anak Guna Air Mineral? Ini Penjelasan Pakar [Video]

Selamat Ke Bancuh Susu Formula Anak Guna Air Mineral? Ini Penjelasan Pakar [Video]

Menurut pakar kanak-kanak, Dr Kenneth Looi Chia Chuin, cara yang paling selamat untuk membancuh susu formula adalah dengan mendidihkan air paip dan menggunakan air tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui susu ibu merupakan makanan utama buat bayi yang berusia enam bulan ke bawah.

Namun, tidak semua ibu berpeluang dan dikurniakan rezeki susu badan yang banyak hingga mampu mengenyangkan si kecil.

Ada yang terpaksa menggunakan susu formula sebagai ganti kepada susu ibu. Kebiasaannya, ia perlu dibancuh menggunakan air putih yang telah dimasak.

Pun begitu, ada segelintir ibu bapa yang terpaksa membancuh susu formula anak menggunakan air mineral lebih-lebih lagi ketika berada di luar.

Pernahkah anda terfikir adakah penggunaan air mineral selamat digunakan untuk membancuh susu formula?

Air Yang Mempunyai Kandungan Mineral Tinggi Boleh Beri Kesan Kepada Bayi – Pakar Paediatrik

Menerusi satu perkongsian oleh pempengaruh yang juga doktor perubatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan bersama seorang pakar kanak-kanak dari Hospital Columbia Asia Cheras, Dr Kenneth Looi Chia Chuin, menggunakan air mineral untuk membancuh susu formula adalah tidak digalakkan.

Ini kerana air mineral mempunyai kandungan mineral yang tinggi dan boleh memberi kesan kepada si cilik jika susu formula mereka dibancuh menggunakan air tersebut.

Apatah lagi, jika mineral yang terdapat dalam bancuhan tersebut sebenarnya turut terdapat dalam kandungan susu yang dibancuh.

“Air mineral mempunyai kandungan mineral yang tinggi dan itu mungkin akan menyebabkan masalah kesihatan kepada bayi khususnya jika susu tepung juga sudah ada mineral yang diperlukan.

“Itu menyebabkan kandungan mineral menjadi terlalu tinggi,” katanya.

Malah, carian kami di internet mendapati laman Jabatan Kesihatan Tasmania, Australia turut melarang penggunaan air mineral untuk membancuh susu kerana ia mengandungi mineral tinggi yang boleh memberi kesan kepada buah pinggang bayi.

Ada Air Mineral Yang Boleh Digunakan Untuk Bancuh Susu Formula Mengikut Panduan WHO

Pun begitu, Dr Kenneth menjelaskan World Health Organization (WHO) ada mengeluarkan garis panduan jenis air mineral yang sesuai dan boleh digunakan untuk membancuh susu formula.

Terangnya, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan air tersebut mempunyai kriteria seperti:

  • Kandungan sodium (natrium) tidak melebihi 200 miligram (mg) per liter
  • Kandungan sulfat (sulphate) tidak melebihi 200 mg per liter

Didih Air Paip Adalah Cara Selamat Untuk Bancuh Susu Formula, Boleh Guna Air Mineral Jika Dalam Keadaan Terdesak

Tambah Dr Kenneth lagi, cara yang paling selamat untuk membancuh susu formula adalah dengan mendidihkan air paip dan menggunakan air tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya ada ibu bapa yang terdesak dan tiada pilihan lain hingga terpaksa menggunakan air mineral, ia tidaklah menjadi satu masalah.

“Tetapi kalau kita dalam keadaan terdesak, kita travel, tiada cara untuk dapatkan air bersih, air mineral boleh digunakan untuk sekali dua membuat susu,” katanya.

Bagaimana Pula Kalau Guna Air Panas Dari Penapis Air? Boleh Atau Tidak?

Dr Malar turut membangkitkan persoalan sekiranya menggunakan air panas dari penapis air untuk membancuh susu formula.

Jelas Dr Kenneth, ia tidak menjadi satu masalah ibu bapa menggunakan air panas dari penapis air asalkan ia dididihkan terlebih dahulu sebelum digunakan untuk membancuh susu.

“Concern tu kalau kita tak didihkan, kita terus ambil air panas dari penapis air, mesin itu tidak didihkan air. Dia hanya panaskan air sehingga 97 hingga 98 degree celsius.

“Secara teorinya, kalau kita tidak didihkan air, kuman itu mungkin masih ada. Paling selamat adalah didihkan,” katanya.

Boleh tak guna Air Mineral untuk buat Susu Anak??

Boleh tak guna air mineral untuk buat susu anak? Ni haaa Doktor Pakar Kanak-Kanak dah explain 😊 #celotehdrmalar #hospitalcolumbiaasiacheras #susuanak

Posted by Celoteh Dr Malar on Friday 12 April 2024
View on Threads

Panduan Sediakan Susu Formula Mengikut KKM

Buat ibu bapa atau penjaga khususnya di Taska, berikut kami kongsikan 13 langkah mudah bagi penyediaan susu formula berdasarkan garis panduan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Langkah tersebut adalah:

  1. Bersihkan dengan pembasmi kuman pada pemukaan yang mahu digunakan ketika menyediakan bancuhan susu formula.
  2. Cuci tangan dengan sabun dan air serta keringkan ia dengan kain bersih atau kertas dapur.
  3. Masak air dengan selamat. Sekiranya menggunakan cerek automatik, tunggu sehingga suis cerek ditutup. Jika menggunakan periuk untuk mendidih air, pastikan air tersebut mendidih hingga menggelegak.
  4. Baca arahan pada label susu formula untuk mengetahui sukatan air dan susu dengan betul. Ini kerana sekiranya terdapat kesalahan penggunaan susu sama ada berlebihan atau kurang, ia boleh memberi kesan kepada bayi.
  5. Tuang air mendidih yang telah dibiarkan sejuk dan tidak kurang dari 70 darjah celsius dengan sukatan yang betul ke dalam botol susu yang bersih dan disteril.
  6. Tambah susu formula mengikut sukatan yang betul ke dalam botol yang telah berisi air.
  7. Goncang botol susu & pastikan susu dan air bercampur dengan sempurna.
  8. Turunkan suhu susu dengan memegang botol susu di bawah air paip dan biarkan air mengalir. Anda juga boleh meletakkannya dalam bekas air sejuk atau ais. Pastikan paras air sejuk yang digunakan berada di bawah paras penutup botol susu.
  9. Keringkan bahagian luar botol susu dengan kain bersih.
  10. Label botol dengan maklumat seperti jenis formula, nama bayi, tarikh dan penyedia bagi mereka yang menyediakan susu untuk bayi atau kanak-kanak di taska.
  11. Semak suhu susu dengan menitiskan ia sedikit pada pergelangan tangan. Suhu susu sepatutnya suam dan tidak panas sebelum diberikan kepada bayi.
  12. Beri susu kepada bayi.
  13. Buang lebihan susu atau susu yang telah terdedah kepada udara lebih daripada dua jam.

Baca Artikel Berkaitan: “Maafkan Mummy”- Ibu Sedih, Dakwa 20 Batang Gigi Anak Terpaksa Dicabut Kerana Botol & Susu Formula [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Betul Ke Minum Susu Boleh Rosakkan Gigi Budak?

Baca Artikel Berkaitan: Doktor Perjelas Dua Hormon Dalam Susu Ibu Yang Dihasilkan Pada Belah Siang & Malam [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.