Para Suami Jaga-jaga, Ini ‘Racun Halus’ Dalam Rumah Tangga Boleh Buat Isteri Tawar Hati
Bukan hanya curang atau orang ketiga sahaja, kadang sikap suami isteri yang boleh membuatkan isteri menjadi tawar hati.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Mana ada pasangan yang berkahwin ingin hidup menderita, pasti semuanya menginginkan rumah tangga yang dibina bahagia hingga ke akhir hayat.
Namun sudah menjadi lumrah perkahwinan, pastinya ada hari berlaku perselisihan faham antara suami isteri, merajuk dan sebagainya.
Malah, tidak dinafikan juga tindakan pasangan yang mula berubah tidak sama seperti zaman sebelum bernikah dahulu boleh menjadi punca rasa kasih sayang semakin pudar.
Bukan curang je, sikap suami juga boleh buat isteri tawar hati
Seperti baru-baru ini, Penceramah Kursus Pra dan Pasca Perkahwinan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Firdaus Shurkan mendedahkan bahawa sikap suami juga boleh menyebabkan isteri menjadi tawar hati.
Menerusi hantaran carousel yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Firdaus menyifatkan sikap suami sebegitu sebagai ‘racun halus’ buat isteri.
“Isteri tawar hati bukan sebab curang, bukan sebab orang ketiga, tapi kerana hatinya diracuni perlahan-lahan oleh sikap suami yang tidak sedar diri,” katanya.
Ini 7 racun halus yang boleh buat isteri tawar hati
#1 Racun ‘diabaikan setiap hari’
Tak tanya khabar, tak respon mesej dan tidak peduli perasaan isteri merupakan antara sikap pengabaian seorang suami. Mana mungkin isteri tidak terasa jika menerima perkara sebegini daripada insan yang dicintai.
Tidak dinafikan, ada suami yang berfikir bahawa memberi wang ringgit atau menyediakan barangan dapur serta keperluan isteri sudah mencukupi, sebaliknya wanita mahukan lebih dari itu iaitu kasih sayang dan perhatian.
“Bayangkan ada isteri menangis seorang diri, suami tak sedar sebab terlalu fokus pada gajet. Bila isteri tak dipedulikan, dia akan belajar hidup tanpa bergantung pada suami, itulah permulaan jauhnya jiwa,” kata Firdaus.
#2 Racun ‘bisu dalam komunikasi’
Semua benda isteri kena berteka-teki, sebab suami lebih memilih untuk berdiam dan tidak berkongsi dengan insan tersayang.
Lebih teruk lagi apabila si isteri ingin berkongsi cerita, tetapi suami pula macam tidak suka mendengarnya.
Jelas Firdaus, komunikasi yang kering di antara suami isteri boleh membawa kepada rasa hati yang kosong.
“Isteri cerita panjang-panjang, suami cuma jawab ‘Oh’. Ingat ya, membisu bukan tanda tenang, kadang itu tanda hati tidak lagi bersatu,” ujarnya.
#3 Racun ‘nada keras & kata-kata tajam’
Berkongsi lanjut, Firdaus yang juga Panel Usrati Jannati TV1 itu berkata sikap suami yang bercakap dengan nada yang keras dan kata-kata tajam kepada isteri juga antara racun halus yang boleh membuat isteri menjadi tawar hati.
“Bercakap dengan isteri macam bercakap dengan orang gaji. Nadanya perintah, tiada kasih sayang. Bila isteri mula takut nak buka mulut, maka itu bukan lagi cinta, itu trauma.
“Bayangkanlah setiap kali isteri tanya, suami herdik balik, anak-anak jadi saksi. Lidah yang tajam boleh membunuh rasa sayang walau tidur sebantal,” katanya lagi.

#4 Racun ‘bandingkan dengan orang lain’
Siapa sahaja yang tidak terasa jika dibanding-bandingkan, bahkan seorang anak juga boleh sedih jika ibu bapanya membandingkan dia dengan budak lain inikan pula isteri yang mendengar kata-kata sedemikian dari suami.
“Tengok isteri si A itu…” fuh pedih betul rasanya jika isteri menerima ayat sebegini dari insan yang dia memilih untuk hidup bersama sehingga sanggup berjauhan dari keluarga.
“Apa pun yang isteri buat, tetap salah di mata suami. Bila dibanding selalu, isteri rasa dia tak cukup untuk suami. Ini penting, bila isteri rasa tak pernah cukup, dia mungkin akan berhenti mencuba,” kongsi Firdaus.
#5 Racun ‘tiada sentuhan tiada perhatian’
Berkasih sayang dan bermanja bukan hanya ketika awal perkahwinan sahaja, kalau boleh biarlah kekal hingga ke akhir usia.
Ujar Firdaus, seorang isteri bukannya menginginkan hadiah yang mahal, kadang hanya mahukan pelukan ikhlas dari suami. Bila tubuh tak disentuh, jiwa akan rasa sunyi.
“Bayangkan hari ulang tahun, isteri masak special. Suami? Tak sedar pun. Renungkanlah, sentuhan itu bukan untuk nafsu, tapi untuk semaikan kasih yang makin layu,” katanya.

#6 Racun ‘gajet lebih diutamakan’
Memang benar pada zaman ini teknologi seperti telefon pintar amat berguna dalam urusan seharian, tetapi jangan pula sehingga kita mengetepikan insan tersayang.
Sikap suami yang terlalu mengutamakan gajet juga boleh menjadikan isteri rasa sedih, kesunyian sehingga tawar hati.
“Isteri bercakap, suami sibuk scroll media sosial. Isteri senyum, suami tak perasan. Bila skrin jadi lebih penting dari pasangan, hubungan perlahan-lahan mati,” jelas Firdaus lagi.

#7 Racun ‘tiada penghargaan’
Memberi penghargaan merupakan salah satu bentuk motivasi sebenarnya, bukan hadiah sahaja dikira sebagai penghargaan, memberi kata-kata seperti berterima kasih juga menandakan kita menghargai seseorang.
Jadi, suami yang tidak memberi penghargaan kepada isteri juga boleh buat wanita itu menjadi tawar hati.
“Apa pun isteri buat, suami menganggapnya perkara biasa, tidak ada perkataan terima kasih dan tiada pujian. Isteri bukan malaikat, dia pun pandai penat juga, bila penat tak dihargai,” ujarnya.
Susulan perkongsian ini, Firdaus meminta para suami untuk memperbetulkan sikap mereka sebelum semuanya terlambat.
“Jangan tunggu isteri pergi baru nak sedar, kadang dia dah lama hilang walaupun jasad masih ada,” tegasnya.
Untuk carosel penuk klik [DI SINI]



