Tular Influencer Dakwa Data Peribadinya Bocor Selepas Buat Aduan, Tealive Tampil Mohon Maaf [Video]
Menurut Tealive, tindakan pekerjanya (terhadap Iman Kamil) telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) serta tidak mencerminkan nilai-nilai yang dipegang jenama terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam (24 Julai), tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang influencer dikenali sebagai Iman Kamil tidak berpuas hati dan mendakwa data peribadinya telah dibocorkan selepas membuat aduan kepada rangkaian minuman teh, Tealive.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Iman berkata, nombor telefon peribadinya serta aduan yang dibuat kepada pihak perkhidmatan pelanggan Tealive telah diberikan kepada individu lain.
Susulan itu, pempengaruh berkenaan meminta agar pihak Tealive tampil menjelaskan tentang perkara itu.
@yes_iman ⚠️Tealive tolong jawab!! Kenapa bocorkan data peribadi customer dekat orang??? Semalam aku ke Tealive NU Sentral. And pekerja dia memang tak professional. Bermain, bercakap sesama sendiri depan customer! And they don’t even follow the SOP. Dah tegur depan-depan, and dah buat report dekat HQ Tealive. Tapi harini kenapa ada sorang perempuan ni boleh whatsapp aku and dia forward report yang aku buat dekat Tealive. And dia marah aku??? @Tealive Asia ♬ original sound – Iman Kamil
Tealive tampil beri kenyataan, ingin tangani isu berkenaan
Namun selang beberapa jam kemudiannya, pihak pengurusan Tealive tampil memberi kenyataan berhubung perkara itu.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun X @Tealive_Asia, syarikat minuman terkenal itu berkata pihaknya ingin menangani isu berkenaan dengan penuh keikhlasan dan ketelusan.
“Seorang pelanggan telah menghubungi pasukan Khidmat Pelanggan kami untuk menyuarakan kebimbangan tentang pengalaman perkhidmatannya di salah satu cawangan Tealive.
“Selaras dengan proses eskalasi standard kami, kes tersebut telah diserahkan kepada Pengurusan Kawasan yang bertanggungjawab ke atas lokasi berkenaan untuk menghubungi pelanggan dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata pihak pengurusan.
Maklumat pelanggan dikongsikan secara tidak sengaja
Menurut Tealive, bagaimanapun semasa proses terbabit, tangkap layar maklum balas yang mengandungi maklumat pelanggan itu telah dikongsikan secara tidak sengaja kepada pasukan cawangan berkenaan.
Jelasnya, salah seorang pekerja cawangan itu kemudiannya menghubungi pelanggan tersebut secara langsung.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan berkenaan telah melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) serta tidak mencerminkan nilai-nilai yang dipegang jenama terbabit.
Tealive amat kesal dengan isu tersebut, komited lindungi data pengguna
Menurutnya, pihak Tealive amat kesal dengan apa yang berlaku memandangkan syarikat itu sangat menghargai maklum balas pelanggan kerana ia memainkan peranan penting dalam membantu mereka meningkatkan perkhidmatan secara berterusan.
“Yakinlah bahawa kami komited untuk melindungi data peribadi pelanggan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkenaan.
“Walaupun kami telah menghubungi pelanggan yang terjejas secara peribadi, kami juga ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan permohonan maaf kami secara terbuka,” kata kenyatan itu lagi.
Tealive turut memaklumkan bahawa mereka belajar daripada kesilapan itu dan akan mengambil tindakan seperti berikut:
• Akan menyemak semula serta melakukan pengukuhan ke atas prosedur dalaman syarikat bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang;
• Latihan serta-merta dan berterusan kepada semua kakitangan bagi memperkukuhkan kepentingan privasi dan penjagaan pelanggan.
• Siasatan menyeluruh akan dijalankan terhadap semua kakitangan yang terlibat, dan tindakan disiplin yang sewajarnya akan diambil selepas itu.




