Bukan Hanya Isteri, Peguam Kongsi 5 Ciri-ciri Suami Nusyuz Yang Lelaki Perlu Tahu
Nusyuz adalah perbuatan ingkar atau tidak taat seorang isteri kepada suami atau suami tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Mendirikan rumah tangga mengikut syariat Islam akan mendapatkan ganjaran pahala, namun tanggungjawab yang harus dipukul oleh suami dan isteri amatlah besar.
Oleh kerana itu, setiap individu yang ingin berkahwin akan dinasihati untuk menilai dahulu pasangannya dan memikirkan sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Jika tersalah pilih pasangan, pasti rasa menyesal yang akan hadir nanti, boleh jadi isteri nusyuz kerana tidak taat kepada suami.
Peguam dedah suami juga boleh dikira nusyuz, bukan isteri sahaja
Pun begitu, seorang peguam syarie yang dikenali sebagai Tuan Hafiz Roslan berkongsi bahawa suami juga boleh dianggap nusyuz.
Menerusi hantaran carousel yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Hafiz berkongsi beberapa perkara yang boleh menjadi sebab suami dikira nusyuz.
“Dalam Islam nusyuz lebih diberatkan kepada isteri, tapi lelaki perlu tahu yang suami juga akan dikira nusyuz,” tulisnya di dalam video.
5 ciri-ciri suami nusyuz yang lelaki perlu tahu
#1 Mengabaikan nafkah
Seorang lelaki yang berkahwin wajib memberi nafkah kepada isterinya yang merangkumi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan lain sewajarnya seperti alat kebersihan diri.
Ini adalah kewajipan suami menurut syarat dan tidak akan gugur meskipun isterinya seorang yang kaya, selagi isteri tidak nusyuz.
Menurut Hafiz, jika suami sengaja tidak memperuntukkan nafkah tanpa sebab yang dibenarkan, dia dianggap zalim dan boleh dihukum berdasarkan Hukum Syarak.
#2 Suami abaikan isteri
Selain nafkan, suami juga bertanggungjawab mendidik dan membimbing isteri dalam hal berkaitan agama serta kehidupan.
Susulan itu, Hafiz berkata jika suami mengabaikan tanggungjawab terbabit serta gagal menjalankan tugas sebagai pemimpin rumah tangga maka suami itu boleh dikira sebagai nusyuz.
#3 Suami bersikap zalim
Menurutnya lagi, suami yang menzalimi isteri dengan perbuatan atau kata-kata juga dianggap nusyuz kerana melanggar perintah Allah dan Rasul.
Di dalam Islam, seseorang suami dilarang bahkan berdosa sekiranya bersikap zalim atau menyakiti isteri secara fizikal mahupun emosi.
Sudah menjadi satu kewajiban buat suami untuk memperlakukan isteri dengan baik, adil dan penuh kasih sayang.
#4 Suami bawa keburukan kepada keluarga
Berkongsi lanjut, Hafiz berkata seorang suami yang membawa keburukan kepada keluarga juga dikira sebagai nusyuz.
“Jika suami terlibat dalam maksiat atau perkara yang memudaratkan keluarga seperti zina, judi atau arak. Dia bukan sahaja berdosa tetapi juga menzalimi isteri dan anak-anak,” katanya.
#5 Enggan menjalankan tanggungjawab sebagai suami
Bukan hanya isteri, suami juga perlulah bertanggungjawab terhadap anak-anaknya juga.
Jelas peguam mediator itu lagi, seorang suami dikira gagal menunaikan amanah yang diberikan Allah SWT sekiranya enggan menjalankan peranannya sebagai pemimpin dalam rumah tangga dengan membiarkan isteri dan anak-anak tanpa bimbingan atau tidak mahu bertanggungjawab.
Apa maksud nusyuz?
Sekadar info, nusyuz dalam konteks perkahwinan Islam merujuk kepada perbuatan ingkar atau tidak taat seorang isteri kepada suami atau suami tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
Antara contoh nusyuz bagi kaum wanita adalah seperti menjauhkan diri dari suami, keluar rumah tanpa izin, tidak mentaati suami, menghalang suami untuk bersama dan hukum kelakuan nusyuz adalah haram serta berdosa besar.
Kesimpulannya, sebagai seorang suami, perkara-perkara sebegini perlulah dititikberatkan agar keluarga yang dibina sentiasa kekal bahagia di dalam rahmat Allah SWT.
Untuk tonton carousel klik [DI SINI]



