fbpx
Now Reading
Vivy Dedah Hidap Lupus SLE, Jom Ketahui Simptom & Puncanya

Vivy Dedah Hidap Lupus SLE, Jom Ketahui Simptom & Puncanya

Usahawan Vivy Yusof juga menyatakan bahawa stres merupakan musuh utama dalam menguruskan penyakit autoimun itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, usahawan tempatan Vivy Yusof, mendedahkan bahawa dia mengalami penyakit Sistematik Lupus Eritematosus atau Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

Malah, Vivy menjelaskan bahawa stres merupakan musuh utama dalam menguruskan penyakit autoimun itu.

Jika anda mengikuti perkembangan industri muzik antarabangsa juga, pasti pernah mendengar tentang selebriti Selena Gomez yang juga berjuang melawan lupus.

Tapi apa sebenarnya penyakit autoimun lupus ini dan bagaimanakah ia boleh terjadi?

Baca Artikel Berkaitan: Ini Enam Ujian Fizikal Untuk Kenal Pasti Tahap Kesihatan Anda

Lupus Sebabkan Sistem Imum Badan Serang Tubuh Sendiri

Lupus merupakan sejenis penyakit autoimun di mana sistem imun badan menyerang tisu dan organ pesakit sendiri dengan jenis paling lazim ialah SLE.

Akibat serangan oleh sistem imun ini, keradangan meluas boleh terjadi dan ia turut merosakkan tisu pada organ yang terjejas.

SLE juga boleh memberi kesan kepada banyak bahagian tubuh badan antaranya sendi, kulit, otak, paru-paru, buah pinggang dan saluran darah.

Selain SLE, jenis lupus lain ialah:

  • Cutaneous Lupus Erythematosus (CLE)
  • Discoid Lupus Erythematosus (DLE)
  • Lupus disebabkan oleh ubat-ubatan
  • Neonatal Lupus

Jenis-jenis lupus ini dapat dibezakan menerusi organ yang diserang oleh sistem imun badan dan penyebab.

Demam, Sesak Nafas & Ruam Rama-Rama Antara Simptom Lupus

Menurut Mayo Clinic, simptom lupus boleh mula terjadi dengan serta-merta ataupun secara perlahan, ringan atau teruk, dan sementara atau kekal.

Kebanyakan pesakit lupus mengalami kesakitan ringan yang hanya berlaku secara bersiri dan akan bertambah baik atau hilang buat sementara waktu.

Tanda dan gejala lupus yang dialami bergantung kepada sistem tubuh badan yang terkesan dengan penyakit tersebut. Antara yang paling biasa berlaku adalah:

  • Ruam pada pipi dan batang hidung (ruam rama-rama)
  • Artritis
  • Fotosensitiviti (sensitiviti kepada cahaya)
  • Kelenjar bengkak 
  • Keguguran rambut 
  • Luka yang tidak menyakitkan di dalam mulut dan hidung 
  • Demam 
  • Sawan 
  • Kelesuan
  • Sakit sendi
  • Sesak nafas
  • Sakit dada
  • Mata kering
  • Jari tangan dan kaki bertukar putih atau biru apabila terdedah kepada sejuk atau ketika tertekan (fenomena Raynaud)
Sumber: MedlinePlus

Di samping itu, sesetengah individu dewasa juga boleh mengalami tempoh simptom SLE yang dikenali sebagai kekambuhan.

Kekambuhan adalah simptom SLE yang berulang dan boleh terjadi dengan selang masa bertahun-tahun serta terdapat tempoh reda dikenali sebagai remisi (remission).

SLE agak sukar didiagnosis memandangkan simptomnya yang berbeza antara individu dan selalu menyerupai masalah lain. Antara kaedah mendiagnosis SLE termasuk:

  • Ujian Antinuklear Antibodi (ANA), namun keputusan positif bukan muktamad bahawa seseorang mengalami SLE.
  • Ujian autoantibodi khusus seperti anti-dsDNA dan anti-Sm.
  • Ujian tahap protein komplemen kerana rendah protein pelengkap (C3, C4) menunjukkan lupus.
  • Kiraan darah lengkap (CBC) untuk mengenal pasti tahap sel darah putih dan platelet, serta urinalisis untuk mengesan darah atau protein di dalam air kencing.
Sumber gambar: Pexels

Lupus Boleh Terjadi Akibat Jangkitan Kuman

Lupus boleh terjadi kepada seseorang individu akibat pendedahan dengan persekitaran.

Antara potensi pencetus lupus termasuklah pendedahan kepada cahaya matahari yang boleh menyebabkan luka kulit lupus atau mencetuskan tindak balas dalaman pada individu rentan.

Jangkitan kuman juga boleh memulakan lupus atau menyebabkan kekambuhan dalam sesetengah individu.

Di samping itu, lupus boleh dicetuskan oleh sesetengah jenis ubat-ubatan tekanan darah, anti-sawan dan antibiotik. Dalam kebanyakan kes, lupus akan bertambah baik apabila ubat-ubatan tersebut berhenti diambil.

Siapakah Yang Lebih Berisiko Mengalami Lupus?

Penyakit lupus boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Namun terdapat faktor yang boleh menyebabkan risiko lebih tinggi.

Berdasarkan artikel oleh Pantai Hospital, individu wanita didapati lebih kerap menghidap lupus dengan risiko sembilan hingga 10 kali ganda berbanding lelaki.

Selain itu, persekitaran juga mempunyai faktor yang boleh menyebabkan penyakit lupus termasuk jangkitan virus, cahaya matahari, ubat-ubatan tertentu dan merokok.

Malah, terdapat juga kaitan genetik bagi penyakit lupus. Oleh itu seseorang individu mempunyai kemungkinan lebih tinggi menghidap lupus jika turut dialami oleh saudara-maranya.

Menurut Mayo Clinic, lupus juga lebih kerap didiagnosis dalam kalangan individu berumur 15 ke 45 tahun dan biasa dialami oleh mereka yang berketurunan Afrika Amerika, Hispanik dan Asia Amerika.

Sumber gambar: Freepik

Lupus Boleh Sebabkan Komplikasi Berbahaya Pada Organ, Saraf Pusat & Saluran Darah

Lupus adalah penyakit autoimun yang berbahaya memandangkan ia boleh memberi kesan kepada banyak bahagian tubuh badan dan menyebabkan komplikasi tertentu.

Jika simptom lupus menyerang buah pinggang, organ itu boleh mengalami kerosakan yang teruk. Malah ia merupakan salah satu punca utama kematian dalam kalangan pesakit lupus.

Selain itu, otak yang terkesan oleh lupus boleh mengganggu sistem otak dan saraf pusat yang menyebabkan sakit kepala, pening, perubahan tingkah laku, masalah penglihatan, serta strok atau sawan.

Malah ramai pesakit lupus mengalami masalah memori dan mengalami kesukaran untuk menyatakan apa yang difikirkan.

Sumber gambar: Pexels

Lupus juga boleh memberi kesan kepada darah dan saluran darah seterusnya menimbulkan masalah seperti anemia, risiko tinggi berdarah dan darah beku, serta keradangan saluran darah.

Disebabkan oleh ini, pesakit juga berisiko mengalami kematian avascular necrosis (AVN) iaitu kematian tisu tulang apabila bekalan darah kepada tulang berkurangan.

Di samping itu, lupus meningkatkan kebarangkalian berlakunya keradangan pada lapisan rongga dada yang menyebabkan sakit bila bernafas, serta kemungkinan pendarahan dalam paru-paru dan pneumonia.

Sistem imun yang menyerang jantung pula boleh menyebabkan keradangan otot, salur nadi dan membran jantung. Risiko penyakit kardiovaskular dan jantung juga meningkat dengan tinggi.

Sumber gambar: Pexels

Memandangkan lupus dan rawatan yang dilakukan boleh melemahkan sistem imun tubuh badan, maka pesakit lupus lebih senang mengalami jangkitan.

Dalam pada itu, wanita yang mengalami lupus mempunyai risiko tinggi keguguran memandangkan ia meningkatkan risiko tekanan darah tinggi ketika hamil dan kelahiran pramatang.

Simptom SLE Boleh Dirawat & Ambil Langkah Demi Elak Kekambuhan

Seperti yang dinyatakan oleh Vivy sebelum ini, SLE merupakan penyakit seumur hidup yang tidak dapat disembuhkan.

Pun begitu, simptom SLE boleh dirawat di samping mencegah kekambuhan dan meminimumkan kerosakan organ.

Doktor akan memberi ubat tertentu kepada pesakit SLE termasuk ubat antiradang bukan steroid (NSAID), kortikosteroid dan imunosupresan.

Selain itu, kekambuhan SLE juga boleh dielakkan menerusi langkah-langkah berikut:

  • Perlindungan matahari.
  • Diet dan pemakanan yang seimbang.
  • Bersenam untuk mengekalkan kekuatan otot seperti berenang, pilates dan berjalan kaki.
  • Elakkan merokok kerana dikaitkan dengan peningkatan simptom. 
  • Berhati-hati dengan kemungkinan alahan ubat, terutamanya antibiotik yang mengandungi sulfonamide.

Tekanan Juga Boleh Menyebabkan Simptom Lupus Berlaku

Vivy sebelum ini juga menyatakan bahawa tekanan merupakan musuh utama dalam menguruskan penyakit autoimun itu.

“Stres adalah musuh utama, saya fikir saya sudah menguruskan stres saya dengan baik sebagai seorang usahawan,” katanya dipetik Berita Harian.

Menurut Healthline, Lupus Foundation of America menjelaskan bahawa tekanan emosi boleh menyebabkan simptom lupus berlaku. Ini termasuklah tekanan akibat:

  • Menjaga anak-anak (parenting)
  • Penjagaan atau pengasuhan (caregiving)
  • Hutang atau tekanan kewangan
  • Tekanan kerja
  • Tekanan peperiksaan atau pembelajaran
  • Kesedihan melampau atau kehilangan
  • Penceraian
  • Diskriminasi dan gangguan
  • Kebimbangan
  • Trauma
Sumber gambar: Pexels

Baca Artikel Berkaitan: Pap Smear, Mamogram & 3 Lagi Pemeriksaan Kesihatan Yang Kaum Hawa Wajib Tahu

Baca Artikel Berkaitan: “Pendarahan Teruk” – Lelaki Kongsi Kisah Rakan Alami Masalah Kesihatan Kerana Tak Cukup Tidur

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.